MohdZulkifli.Com

Motivasi Kewangan & Simpanan Emas

Buat Majlis Ilmu Sendiri Di Rumah, Bukan Harapkan Ustaz atau Ustazah

Ta'lim. Inilah perkara penting yang saya buat untuk jaga isteri dan anak-anak saya.

Setelah saya baca buku-buku tulisan Ustaz Ebit Liew ketika dalam penjara, saya sedar, selama ini saya terlepas pandang perkara penting dalam keluarga, iaitu mengajar isteri dan anak-anak tentang agama secara rutin, setiap hari.

Sessi itu dipanggil "ta'lim". Majlis ilmu, majlis tazkirah, majlis nasihat menasihati tentang agama. Jadi sejak saya kembali kepada keluarga, rutin setiap kali lepas solat Subuh berjemaah, kami adakan "ta'lim".

Solat berjemaah 5 waktu adalah wajib untuk kami 10 beranak. Dan majlis ta'lim setiap pagi juga wajib untuk semua.

Walaupun waktu isteri dan anak-anak dara saya datang period, mereka tetap kena bangun Subuh untuk ikuti ta'lim lepas solat subuh berjemaah. 

Itu majlis ilmu wajib setiap hari.

Pengalaman saya berjumpa dengan perompak-perompak dalam penjara, saya dapati mereka semua adalah orang yang cerdik. Mereka bukan orang bodoh. Maksudnya kalau exam, mereka dapat skor A atau A+!

More...

Bahana Cerdik Tanpa Agama

Tapi cerdik tanpa agama, tanpa ada rasa takut pada Tuhan, itu bahaya! Mereka akan jadi perosak dalam masyarakat. Kalaupun berjawatan tinggi, mereka akan buat banyak kerosakan.

Hidup tak kenal Tuhan ibarat kereta tak ada brek. Semua benda boleh dia langgar!

Jadi sebahagian mereka yang saya kenal, hanya mula kenal agama waktu dalam penjara, terutamanya mereka yang di tempatkan bersama kami, tahanan SOSMA.

Dalam penjara itulah baru mereka belajar solat dan belajar Al-Quran bermula dengan Iqra'.

Jadi bila bebas dari penjara, antara misi utama saya ialah jaga dan memperbetulkan keluarga saya sendiri. Dan ia mesti diprogramkan.

Time block untuk keluarga; solat berjemaah 5 waktu, ikuti majlis ta'lim setiap kali lepas solat Subuh, dan makan bersama. Itu waktu semua ahli keluarga akan berkumpul.

PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) ni juga satu peluang yang baik sebab semua ahli keluarga ada di rumah.

Setiap hari, ahli keluarga akan mendengar beberapa hadis dan beberapa potong ayat Al-Quran sebagai peringatan... Gurunya adalah saya sendiri.

Kesilapan saya dulu, saya fikir untuk bentuk keluarga ialah dengan menswastakan kepada orang lain iaitu Ustaz dan Ustazah. Itu silap!

kitab-riyadus-solihin-quran-humaira-mujam-1

Tanggungjawab Kita, Bukan Ustaz atau Ustazah

Sebagai imam besar dalam keluarga, tanggungjawab itu adalah dibahu saya sendiri. Saya mesti belajar dan faham agama, kemudian sampaikan kepada isteri dan anak-anak saya.

Alhamdulillah, bila buat program begini, saya dapati sebenarnya anak-anak ada banyak persoalan tentang agama. Dan majlis ta'lim keluarga itulah tempat merungkaikan persoalan-persoalan mereka.

Kalau di sekolah, saya rasa mereka tak berpeluang belajar begini.

Salah satu nikmat besar saya ketika dalam penjara ialah dapat mengaji dan mengkaji Al-Quran dan hadis. Saya sempat khatam membaca Al-Quran terjemahan termasuk dengan hadis berkaitan dan asbabun nuzul sebanyak 12 kali dalam tempoh 2 tahun. Dalam Al-Quran saya yang nampak lunyai ni, penuh dengan catatan saya ketika dalam penjara.

Dan syukur juga, saya hampir khatam membaca kitab Riyadhus Solihin oleh Imam Nawawi. Di penjara saya ada waktu yang banyak untuk membaca, merenung dan memahami hadis-hadis tersebut. Alhamdulillah.

Jadi bila banyak membaca, kita mudah kaitkan antara sesuatu ayat atau hadis dengan yang lain. Apatah lagi saya faham sedikit sebanyak bahasa arab dan mempunyai asas mempelajari Al-Quran dan Hadis ketika di sekolah.

Bila banyak membaca, kita akan nampak big picture apa yang Allah dan Rasul mahu sampaikan dan ingatkan kepada kita. Ibarat jigsaw puzzle.

Mengkaji, Bukan Sekadar Mengaji

Bila kita ada banyak jigsaw puzzle di tangan kita, barulah kita boleh susun dan nampak gambaran sebenar yang lebih luas.

Alhamdulillah. Pujian-pujian bagiMu Ya Allah.

Azam saya, majlis ta'lim ni akan saya dan ahli keluarga akan teruskan sampai bila-bila.

Buat masa ni saya yang mengajar. Satu hari nanti anak-anak akan teruskan budaya ilmu ini di dalam rumah dan juga ketika mereka berkeluarga nanti. InsyaAllah.

"Wahai orang yang beriman! Peliharalah dirimu dan ahli keluargamu dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu (berhala). Penjaganya adalah malaikat-malaikat yang kasar, dan keras, yang tidak derhaka kepada Allah terhadap apa yang Dia perintahkan kepada mereka, dan selalu mengerjakan apa yang diperintahkan." (At-Tahrim 66 : 6)

Kalau semua orang sibuk jaga diri sendiri dan ahli keluarga sendiri, nescaya dunia ini akan aman dan damai. InsyaAllah.

Zulkifli
Cyberjaya
21 Mei 2021
9 Syawal 1442H

Tentang Penulis

Mohd Zulkifli Shafie

Penulis buku bestseller; Wang Emas, dan Misi Bebas Hutang.

Menulis tentang kewangan sejak 2008. Berpengalaman membimbing lebih 7,000 penyimpan emas secara peribadi di Malaysia, Indonesia, Singapore dan Brunei sejak 2010.

Merupakan pengasas G100 Network; network terbesar dealer Public Gold (syarikat pengeluar emas terbesar di Malaysia), yang memberikan servis kepada lebih 500,000 penyimpan emas di seluruh Asia Tenggara.

  • Owh begitu, selalu juga masuk website ni cari update terbaru tapi tiada. Faham sudah, selamat kembali. Moga maklumat dan nasihat yang baik dapat dikongsi bersama.

  • {"email":"Email address invalid","url":"Website address invalid","required":"Required field missing"}
    >