Saya pun pernah juga terfikir...
“Kalau saya beli kereta mewah, mesti orang lebih percaya. Lebih ramai akan ikut. Bisnes pun mungkin lebih laju (berkembang)...”
Tapi lepas fikir panjang, saya tanya balik diri sendiri — apa sebenarnya tujuan saya buat semua ni?
Nak kaya yang penuh makna
Saya bukan nak cari follower yang tertarik dengan kereta saya.
Saya nak bantu ubah hidup 1,000 keluarga, yang percaya ilmu saya dapat ubah hidup mereka.
Bukan tunjuk kekayaan yang saya ada.
Sebab saya tahu, kalau orang datang sebab nak berguru dengan saya hanya kerana kereta saya mewah, saya tak rasa mereka akan kekal lama.
Tapi kalau dia datang kerana ilmu dan nilai yang saya bawa, insyaAllah dia akan terus bersama — sebab dia datang dengan hati, bukan dengan mata.
Yang pandang kemewahan semata-mata, biarlah dia cari sifu yang sekufu dengan dia.
Saya pilih hidup sederhana bukan sebab tak mampu. Tapi sebab saya tahu, apa yang penting bukanlah persepsi orang lain, tapi prinsip hidup saya sendiri.
Bukan tak mampu, tapi kerana prinsip
Saya lebih suka pakai duit pada perkara yang benar-benar saya perlu. Bukan gaya hidup mewah yang hanya nampak gah di mata manusia, tapi kosong di mata Tuhan.
Saya lebih seronok tengok tabungan bertambah, hutang berkurangan, dan harta berkembang.
Hidup makin bebas... Dan makin ramai orang dapat manfaat dari ilmu yang saya ada.
Itulah kekayaan yang bermakna bagi saya.
Dan satu perkara yang saya tak pernah nak kompromi: KETENANGAN...
Kekayaan bagi saya bukan sekadar kejar "plenty of money". Tapi yang lebih penting ialah "peace of mind".
P.O.M - P.O.M!
Hidup tenang-tenang...
Pakai kereta biasa tapi tak ada beban hutang. Tak perlu takut kereta tergesel atau tercalar. Tak perlu bimbang kalau income drop, instalment tak boleh bayar.
Tak perlu ‘impress’ sesiapa...
Nak hidup bebas dan tenang
Saya bebas bergerak ke sana sini tanpa orang kenal siapa saya. Naik MRT, naik bas pun tak ada masalah bagi saya.
Bebas dari tekanan gaya hidup. Bebas nak buat keputusan.
Dan hari ni, walaupun saya ada pilihan untuk hidup mewah, tapi saya rasa lebih tenang dengan gaya hidup biasa-biasa.
Sebab yang luar biasa tu bukan kereta saya, tapi perjalanan hidup saya.
Kalau orang nak ikut saya sebab kereta mewah, saya tak rasa mereka akan tahan lama. Sebab apa yang saya pakai, tak gah langsung di mata sesiapa...
Tapi kalau orang datang sebab mereka nampak niat dan ilmu yang saya bawa, insyaAllah mereka akan kekal lama.
Kereta cuma alat, bukan ukuran... Ia cuma untuk bawa kita bergerak dari point A ke point B sahaja.
Seronoknya dapat kereta baru bukannya lama... Tapi beban yang kita tanggung bertahun-tahun lamanya...
Jadi berpada-padalah membeli kereta... Beli apa yang benar-benar kita perlu sahaja.
Kereta cuma alat untuk bergerak
Kekayaan sebenar adalah kebebasan memilih hidup yang kita suka — bukan hidup yang dipaksa dengan apa orang kata...
Lepas 19 tahun asyik pakai kereta 2nd hand, tahun 2022 saya buat keputusan beli kereta baru (yang keluar dari show room).
Sebab tak nak lagi layan urusan repair kereta yang banyak memakan masa (yang sangat berharga).
Syukur alhamdulillah... Kereta ni dah cukup memudahkan urusan saya dan keluarga.
Walaupun tak mewah, tapi tetap sampai ke mana-mana sana nak pergi dengan selesa...
Bila bersyukur dan tak peduli apa orang kata, kita rasa serba cukup dengan apa yang kita ada...
Alhamdulillah...
Alhamdulillah...
Alhamdulillah...
Zulkifli
Cyberjaya
29 Julai 2025
3 Muharram 1447H
Daripada Sahl bin Sa‘d As-Sa‘idi r.a., beliau berkata:
“Seorang lelaki datang kepada Nabi (ﷺ) lalu bertanya: Wahai Rasulullah, tunjukkan kepadaku satu amalan yang jika aku lakukan, Allah akan mencintaiku dan manusia juga akan mencintaiku?”
Lalu Rasulullah SAW menjawab:
“Berlaku zuhudlah terhadap dunia, nescaya Allah akan mencintaimu. Dan zuhudlah terhadap apa yang ada di tangan manusia, nescaya manusia akan mencintaimu.”
- (Hadis Riwayat Ibnu Majah no. 4102, Riyadhus Solihin no. 471)
Coretan FB berkaitan:
- Saya memiliki banyak 'kereta mewah'! - FB (2021)
Artikel berkaitan:
- Beli Kereta Mewah, Orang Lain Tolong Bayarkan
- Sebelum Beli Kereta Mewah, Milikilah Harta RM1 Juta Dulu
- Bila Duit Banyak, Nafsu Nak Kereta Mewah Makin Berkurangan
- Kereta Baru Sebulan Dah Tergesel? Ini Rahsia Kekal Tenang
- Kita Jadi Tuan, Biar Kereta Jadi Hamba
- Miskin dan Kaya: Mana Lebih Baik?
- Kaya Segan, Miskin Tak Mahu

