MohdZulkifli.Com

Motivasi Kewangan & Simpanan Emas

Elak Duit Bocor Dengan Tingkatkan Rasa Syukur

December 31, 2023

Orang ada, kita pun nak ada juga. 

Duit sentiasa tak cukup, kadang-kadang bukan sebab gaji tak cukup. Tapi sebab keinginan yang besar... Berbelanja yang bukan-bukan, yang sebenarnya bukan keperluan pun. Tengok orang lain ada, kita pun nak ada juga. Tak nak kalah...

Kalau benar-benar mampu, tak ada hal lah... Tak mampu tapi tak nak kalah... Itulah yang bermasalah...

More...

Akhirnya rumah kita dan hidup kita penuh dengan 'sampah' - barang yang tak diperlukan dan tak dimanfaatkan...

Kita resah dengan apa yang belum ada. Sedangkan apa kita dah ada, belum lagi kita nikmati sehabisnya.

Ia bukan masalah kewangan, tapi masalah nafsu... Nafsu itulah yang kena dididik...

Betulkan nafsu, bukan kewangan

Salah satu cara mendidik rasa "cukup" (dengan apa yang ada), dan hilangkan rasa resah tengok apa yang orang lain ada (yang akhirnya menyebabkan duit kita selalu bocor terbeli barang-barang yang sebenarnya kita tak perlukan), sentiasalah ziarah orang lebih susah.

Dan lihatlah mereka yang ditimpa musibah. 

Nescaya kita akan rasa bertuah dan mewah berbanding mereka.

Kalau ada peluang, libatkan diri dengan misi bantuan orang susah, atau yang ditimpa benca. Ia bukan hanya untuk bantu mereka, tapi yang lebih penting, untuk bantu kita sendiri...

Mendidik diri kita supaya SYUKUR dengan apa yang ada, dan SABAR dengan apa yang belum ada... 

Misi bantuan yang menginsafkan

Saya masih ingat ketika saya menjadi Exco Kebajikan Masjid Damansara Damai tahun 2010 dulu, selepas berziarah dan hantar bantuan kepada salah seorang ibu tinggal (ya "ibu tinggal", bukan "ibu tunggal") dengan 4 orang anak-anaknya, terus saya rasa insaf...

Rasa bertuah, bahkan saya rasa hidup saya sangat mewah.

Walaupun ketika tu kami sekeluarga masih tinggal di rumah yang kecil (rumah flat) di Damansara Damai, tapi saya rasa macam duduk di kondominium mewah! Kereta buruk saya tu rasa macam kereta mewah Mercedes Benz! 

Ya lah... Ibu tinggal tu cuma menyewa sebuah stor kecil. Tak ada kenderaan. Dia cuma berjalan kaki sahaja pergi ke mana-mana. Anak-anak pula masih kecil... Anak sulong umur 7 tahun. Paling bongsu umur 3 bulan...

Hidupnya sangat susah... Tapi air mukanya kelihatan tenang-tentang sahaja... Tak nampak susah... 

Hikmah lihat orang lebih susah 

Lepas ziarah beliau, tak semena-mena saya rasa bertambah kaya dan mewah! Alhamdulillah...

Barulah saya sedar... Itulah antara hikmahnya kenapa Nabi s.a.w. sarankan kita berziarah orang sakit, bantu orang susah, ziarah kematian... Semua tu sebenarnya bukan untuk mereka, tapi untuk kebaikan diri kita sendiri. 

Ia mendidik diri rasa syukur, rasa cukup dengan apa yang ada, dan bersabar dengan apa yang belum ada.

Dengan kerja-kerja amal begitu, kita akan rasa apa yang Tuhan dah berikan kepada kita, sebenarnya "dah cukup" bagus untuk kita rasa syukur...

Kesusahan dan kesempitan yang kita alami, mungkin bukan disebabkan tak cukup duit, tapi tak cukup bersyukur...

Allahu a'lam. 

Abu Hurairah r.a. melaporkan, Rasulullah (ﷺ) bersabda, 

Pandanglah orang yang lebih rendah daripada kamu (dalam hal kekayaan dan penampilan fizikal), dan jangan melihat kepada orang yang lebih tinggi daripada kamu, kerana demikian itu lebih baik agar kamu tidak menganggap remeh nikmat Allah yang telah dikurniakan kepadamu.

(HR Bukhari dan Muslim) [Riyadus Solihin, 466]

Abu Hurairah melaporkan bahawa Rasulullah (ﷺ) bersabda: 

Apabila sesiapa daripada kamu melihat seseorang yang lebih tinggi daripadanya dalam hal kekayaan dan penampilan fizikal, dia juga sepatutnya lihat kepada mereka yang berada pada tahap lebih rendah daripadanya 

(HR Bukhari, 6490)

Zulkifli
Cyberjaya
31 Disember 2023
18 Jamadil Akhir 1445H 


Tentang Penulis

Mohd Zulkifli Shafie

Penulis buku bestseller; Wang Emas, dan Misi Bebas Hutang.

Menulis tentang kewangan sejak 2008. Berpengalaman membimbing lebih 7,000 penyimpan emas secara peribadi di Malaysia, Indonesia, Singapore dan Brunei sejak 2010.

Merupakan pengasas G100 Network; network terbesar dealer Public Gold (syarikat pengeluar emas terbesar di Malaysia), yang memberikan servis kepada lebih 500,000 penyimpan emas di seluruh Asia Tenggara.

{"email":"Email address invalid","url":"Website address invalid","required":"Required field missing"}
>