Memang Tuhan yang bagi rezeki. Tapi bukan bermaksud kita tak perlu berbuat apa-apa... Tiba-tiba makanan masuk dalam mulut kita!
Bukan...
Tuhan bagi rezeki melalui sebab usaha kita.
Tuhan jamin kita rezeki, tapi Dia suruh kita keluar berusaha. Bahkan Dia bagi pahala (dan hapuskan dosa kita) atas setiap usaha baik yang kita lakukan.
Tuhan suruh kita berusaha
Tak berusaha bersungguh-sungguh atau bermalas-malas dengan alasan semuanya sudah takdir, itu menyalahi sunnah Nabi s.a.w.
Berusaha tanpa berdoa itu sombong. Tapi berdoa tanpa usaha itu pula adalah 'bohong'!
Itu ‘berbohong’ dalam berdoa...
Waktu solat kena solat... Tapi lepas selesai solat, berterbaranlah di muka bumi untuk mencari apa yang Tuhan kurniakan kepada kita.
"Kemudian setelah selesai solat, maka bertebaranlah kamu di muka bumi (untuk menjalankan urusan masing-masing), dan carilah apa yang kamu hajati dari limpah kurniaan Allah, serta ingatlah akan Allah sebanyak-banyaknya supaya kamu berjaya (di dunia dan di akhirat)."
Jadi jangan sesekali tinggalkan usaha. Sebaliknya berusahalah sebaik-baiknya.
Tuhan yang kurniakan rezeki
Tapi dalam masa sama, jangan sesekali fikir hanya kerana usaha kita itulah yang menjamin rezeki dan kejayaan kita.
Kerana ada orang yang dah berusaha keras macam mana pun, tapi tak dapat hasilnya juga.
Ada orang sakit, dia dah berhabis duit dan berhabis ikhtiar pun tapi tak sembuh-sembuh juga!
Semua itu supaya kita sedar, hakikatnya Tuhanlah yang memberi rezeki dan berkuasa mutlak ke atas kita.
Bertawakkal kepada Tuhan bukanlah bermaksud meninggalkan ikhtiar, dan menyalahkan takdir. Bukan...
Bertawakkal maksudnya tidak sesekali meletakkan pergantungan hati kepada "sebab”.
Ia Tentang Pergantungan Hati
Ikhtiar tetap kena ikhtiar kerana Allah dan Rasul suruh kita berikhtiar.
Tapi hati kita bergantung harap sepenuhnya hanya kepada Tuhan - lepas dah berikhtiar sehabis baik.
Dari sudut ikhtiar, kena ikhtiar sebaik mungkin dan tak boleh sesekali berusaha secara ala kadar. Kemudian katakan “ini adalah takdir”.
Tak boleh...
Setelah ikhtiar sebaik mungkin, barulah kita berserah kepada Tuhan dan terima takdir tersebut. Sebab takdir Tuhan tu dihujung ikhtiar kita.
Bak kata pepatah Melayu, “habis akal baru tawakkal”.
Kalau tak, masakan tidak Nabi s.a.w. suruh tambat unta dulu baru bertawakkal (menyerah nasib kepada Tuhan).
Bukannya bertawakkal tanpa menambat unta tersebut.
Daripada Anas bin Malik r.a., beliau berkata:
Seorang lelaki bertanya: “Wahai Rasulullah! Patutkah aku ikat (unta) lalu aku bertawakkal kepada Allah, atau aku biarkan sahaja tanpa diikat lalu aku bertawakkal kepada Allah?”
Baginda ﷺ bersabda:
“Ikatlah (unta itu) dan kemudian bertawakkallah kepada Allah.”
Allahu a'lam.
Zulkifli
Cyberjaya
26 September 2022
29 Safar 144H
Takdir Tuhan dihujung ikhtiar kita. Kalau urus kewangan dengan baik, tapi jatuh terduduk, itu namanya TAKDIR. Ada kebaikan lain yang Tuhan sembunyikan untuk kita. Tapi kalau jatuh sebab memang boros, tak belajar menabung, itu bukan salah takdir. Tapi salah TADBIR. - FB Mohd Zulkifli Shafie, 6 Oktober 2024
Dah usaha menabung, tiba-tiba ada hal emergency sampai kena korek tabungan, itu namanya takdir. Tapi kalau tak usaha menabung dan tak belajar ilmu kewangan, tiba-tiba ada hal emergency sampai kena hutang sana sini, itu bukan salah takdir. Tapi salah tadbir. - FB Mohd Zulkifli Shafie, 19 Mac 2024
Belanja anak nak masuk sekolah perbelanjaan yang kita dah tahu sejak setahun lalu lagi. Bukannya baru tahu bulan lepas. Perbelanjaan macam ni kena potong siap-siap dari gaji setiap bulan, masukkan ke dalam sampul. Bila nak guna, tarik sahaja duit dari sampul tu. - FB Mohd Zulkifli Shafie, 9 Mac 2024
Coretan FB berkaitan:
- Bekerjalah sampai Tuhan kesian pada kita - FB (2015)
- Hati-hati dengan tip kewangan yang menyedapkan hati - FB (2024)
- Sahihkah hadis "ikatlah unta dan tawakallah"? - Dr Rozami
- Bolehkah bertawakkal tanpa berusaha? - Mufti Wilayah Persekutuan
- Habis akal baru tawakkal... Video menarik untuk faham antara doa, usaha dan tawakal... - FB (2025)


Benar Tuan Zul