MohdZulkifli.Com

Motivasi Kewangan & Simpanan Emas

Hutang Memerangkap Masa Depan Keluarga

Saya bersembang dengan sahabat saya yang kerjanya buat wiring rumah, katanya permintaan untuk sewa bilik makin meningkat sejak akhir-akhir ini. Hingga ada tuan rumah yang ubahsuai rumah dari 3 bilik menjadi 5 bilik hanya dalam rumah yang luasnya cuma 650 kaki per segi!

Antara sebabnya, peningkatan jumlah suami isteri yang masing-masing kerja berjauhan. Jadi daripada sewa sebuah rumah dan duduk bersendirian, lebih baik sewa bilik sahaja.

Bila bersembang pasal isu “suami isteri PJJ” atau “weekend husband and wife” ini, antara kebimbangan kami ialah masalah rumahtangga. Ada kes sampai 12 tahun hidup berjauhan sebab masing-masing bekerja.

Hidup berjauhan terlalu lama hingga banyak juga kedengaran kes penceraian.

Keluarga Dikesampingkan Demi Kerjaya

Kekadang kami fikir, kenapa sampai suami isteri terpaksa kerja berjauhan begitu lama?

Kenapa tidak isteri berhenti kerja dan ikut suami?

Adakah sampai hidup tak cukup makan kalau isteri berhenti kerja?

Apa sebenarnya yang nak dicari dalam pekerjaan hingga terpaksa mengutamakan kerja berbanding keluarga?

Pengalaman saya memerhati sahabat-sahabat yang isterinya berhenti kerja kerana suami dan keluarga, tak ada pasangan yang hidup melarat. Hidup mereka tetap cukup, bahkan lebih sempurna, alhamdulillah.

Begitu juga dengan pengalaman kami suami isteri dahulu; isteri saya berhenti kerja bila disahkan mengandung anak pertama. Sejak hari itu, dia tidak lagi keluar bekerja demi perhatian kepada anak-anak yang sentiasa bertambah 2 orang untuk setiap tempoh 3 tahun.

Walaupun lebih 5 tahun kami hidup di bawah paras kemiskinan, tapi alhamdulillah, semuanya cukup (walaupun pada kira-kiranya, memang tak cukup).

Hutang Memerangkap Kebahagiaan

Dalam banyak kes yang saya perhati, punca utama golongan isteri terpaksa terus berkerja (walaupun ada kepentingan keluarga yang lebih mendesak) ialah disebabkan hutang. Mereka dah masuk dalam “perangkap hutang”!

Baru masuk kerja, terus hutang beli kereta baru yang ‘paling mampu’ atas dasar keperluan katanya. Lepas tu beli rumah impian yang ‘paling mampu’ sebab takut rumah makin mahal katanya!

Lagi parah bila buat pinjaman peribadi untuk pastikan majlis perkahwinan tak kalah berbanding sepupu dan jiran sebelah (yang cuma sehari)!

Bila hutang-hutang ini telahpun mengikat, maka si isteri turut sama terpaksa bekerja menjadi ‘hamba bank’ berbanding mengutamakan kepentingan keluarga.

Saya tak pasti macam mana pasangan suami isteri boleh duduk berjauhan begitu lama, apatah lagi yang jarang-jarang berjumpa.

Risiko Lelaki Tak Ditemani Isteri

Saya bersembang dengan kenalan yang kerja oil and gas, katanya, syarikat oil and gas yang beroperasi di Malaysia buat polisi; kalau terpaksa kerja berjauhan (tinggalkan isteri), paling lama pun untuk tempoh 3 bulan. Lepas tu, lelaki itu perlu diberi cuti untuk balik berjumpa isteri.

Kalau tak katanya, nanti ‘kepala’ jadi tak betul sebab keperluan seksual yang tidak dipenuhi dengan baik.

Ia berbeza dengan syarikat oil and gas di barat. Mereka tak balik lama pun tak apa sebab mereka boleh ‘lepaskan’ keinginan seksual mereka kepada sesiapa sahaja walaupun bukan kepada isterinya.

Fitrah lelaki, dia mesti ditemani isteri. Salah satu sebab utama ialah untuk menjaga keperluan seksualnya.

Ia bukan perkara remeh, sehingga Nabi pesan kepada golongan isteri, kalau suami ajak ‘bersama’, maka tinggalkan kerja lain walaupun tengah memasak. Jangan ditangguh-tangguhkan. Ia bukan hal remeh bagi lelaki.

Ia boleh merosakkan lelaki itu kalau keperluannya itu tidak dipenuhi.

Sebab itu kita perhati, kebanyakkan lelaki bila kematian isteri, dia mesti berkahwin lagi. Dia perlu berkahwin lagi untuk kekal menjadi lelaki yang baik. Tapi situasinya berbeza dengan perempuan yang ‘boleh hidup’ sendirian selepas kematian suami.

Kewangan dan Masa Depan Keluarga

Jadi nasihat saya untuk pasangan muda yang baharu berkahwin, anggap gaji isteri itu sebagai DUIT SIMPANAN bulanan sahaja, bukan duit untuk menanggung keperluan hidup. Duit itu kalau dah banyak nanti, gunakan sebaiknya untuk menambah harta keluarga.

Jangan jadikan gaji isteri sebagai cagaran menanggung komitmen kewangan.

Hidup sahaja seadanya dengan duit suami. Bila ada kepentingan keluarga yang memaksa isteri berhenti kerja, nanti senang buat keputusan yang terbaik demi masa depan keluarga, insyaAllah.

Walaupun kedua-dua suami isteri bekerja itu boleh membantu membina kekayaan dengan lebih cepat, tetapi pastikan kita bekerja untuk hidup, bukan hidup untuk bekerja...

Saya percaya, pada kehidupan berkeluarga yang bahagia itu (walaupun tak kaya raya pada permulaannya), akan menjemput lebih banyak keberkatan rezeki daripada Allah, insyaAllah.

Allahu a’lam.

Zulkifli
Damansara Damai
27 Mei 2015
8 Syaaban 1436H

Tentang Penulis

Mohd Zulkifli Shafie

Penulis buku bestseller; Wang Emas, dan Misi Bebas Hutang.

Menulis tentang kewangan sejak 2008. Berpengalaman membimbing lebih 7,000 penyimpan emas secara peribadi di Malaysia, Indonesia, Singapore dan Brunei sejak 2010.

Merupakan pengasas G100 Network; network terbesar dealer Public Gold (syarikat pengeluar emas terbesar di Malaysia), yang memberikan servis kepada lebih 500,000 penyimpan emas di seluruh Asia Tenggara.

  • Perihal suami isteri PJJ ni ada berlaku di kalangan orang terdekat saya. Isteri di Nilai, Suami di Muar. Si anak dapat bermanja dengan si ibu pada hujung minggu sahaja. Mujur masih ada atuk & nenek lagi.

    Kos isteri bekerja sebenarnya bukan hanya tambang ke tempat kerja.

    Ramai orang terlepas pandang tentang kos isteri bekerja.

    Kos upah jaga anak + kos operasi nak ke tempat kerja (petrol,tol,parking,expenses makan tenghari min RM5 dan belum campur lagi duit bocor atas sebab2 lain).

    Kalau gaji isteri hanya cukup2 makan untuk tampung kos-kos tu, baik berhenti kerja dan jaga anak sendiri.

    Sekadar pandangan peribadi saya. 🙂

    • Betul tu Pn. Emellia.

      Kos-kos yang terpaksa dikeluarkan sebab isteri bekerja itu ramai yang terlepas pandang. Bahkan kalau dikira dengan penjimatan kos bila isteri berhenti kerja, mungkin ramai isteri sebenarnya lebih berbaloi duduk rumah dan fokus kepada keluarga. Dalam masa yang sama, dia ada peluang untuk fokus home-based bisnes yang tak kurang lumayan.

      • Salam En. Zul,
        Bagaimana pula dgn isteri yg berhenti kerja untuk jaga anak2 sedangkan suaminya masih belum habis belajar PHD? Pada masa yang sama, dia mempunyai ibu bapa yg susah. Adakah patut dia berhenti kerja sedangkan dia ada ibu bapa untuk ditanggung?

  • Perkongsian yang terbaik….tapi terbalik pula bagi keadaan saya….isteri dapat posting ke sabah dan xtau bila boleh dapat pindah semenanjung….5 tahun pun belum tentu dapat pindah …so saya yang berhenti kerja…dan buat kerja sendiri tapi alhamdulillah rezeki allah boleh tampung hidup seadanya disini…

  • salam encik zul,

    Saya bersetuju pandangan en. Zul kalau isteri boleh wat bisnes home based kalau betul2 niat nak perbaiki ekonomi keluarga, tidak semestinya harus bekerja di luar. Mentaliti bahawa rugi tidak bekerja walaupun ada kelayakan akademik yang tinggi seharusnya boleh dipertimbangkan. Home based bisnes kalau dibuat dengan betul dan serius, insyallah boleh menjadi satu sumber pendapatan yang jauh lebih baik dari makan gaji dan insyallah boleh jadi ‘back-up income’ kalo suami hilang pekerjaan.

  • Alhamdulillah, perkongsian yg hebat. Sedikit berkongsian dr sy. Isteri sy mmg tak kerja kt luar, tp kerja kt rumah mmg lbh byk dan tak pernah selesai tmasuk jaga 2 anak kami. Alhamdulillah, utk tampung pendapatan, sy buat 2nd job.. agent Pru BSN takaful. Sambil membantu org lain merancang masa depan, menolong hospitalization & claim, dpt pahala menolong dan berkongsi ilmu ttg takaful. Slps berkongsi ttg takaful, tak ambik pun tak pe, sbb sy tak rugi, tak perlu ade stock, ‘jual’ idea and service dan Insya Allah dpt pahala. Pernah juga hidup PJJ 2 thn, tp hidup bersama lbh sempurna. Walaupun blik kerja n tgk ank2 dah tidur, itu lbh baik dr blik kerja tgk dinding. Moga kehidupan kite semua lbh baik.

  • Salam En. Zul,

    Dalam kes saya pula terbalik. Kami sepakat utk decide salah seorang duduk dirumah uruskan anak2. Kami ada 4 org anak yg masih kecil, berumur dari 7~1 tahun. Sebelum ini mmg menghantar anak2 ke pengasuh, bila 2 anak dah masuk Tahun 1, bila dicongak2 hampir 60% duit gaji en. husband habis untuk urusan anak2. Di tambah jadual kerja 2 shift (mlm2 saya kena handle semua), ditambah perasaan anak2 yg ditinggalkan hampir 12 jam dirumah pengasuh, so kami decide untuk berhenti salah seorang.

    Bila dikira2, en. husband rela hati berhenti memandangkan dgn gaji saya ekonomi lebih stabil (boleh bayar insuran satu keluarga, simpan tabung haji, simpan pendidikan anak2, bantu ibu bapa dikg, etc).

    Lagipun kami hanya tinggal hutang sebuah kereta shj (hutang 1st car & rumah sudah settle!..), ditambah suami ada 2 buah rumah sewa (monthly installment dgn bank pun settle!), isu nafkah & tanggungjawab saya rasa tidak timbul sbb punca pendapatan rumah sewa suami masih cukup utk makan minum pakai kami seisi keluarga

    Mungkin isu di sini, ‘house-husband’ agak susah diterima masyarakat kita. Pada saya yg penting adalah kesefahaman kami berdua. Saya anggap sumbangan saya dlm urusan ekonomi keluarga adalah sedekah. Biarlah rumahtangga kami lebih terjaga…

  • isu PJJ paling popular di kalangan guru.
    ada yang dah berumahtangga dan anak tapi telah dihantar ke kawasan yang jauh, misalnya orang semenanjung dihantar ke sabah dan sarawak.

    Kalau kawasan bandar, takpe. tetapi ke kawasan pedalaman yang kekurangan akses jalanraya, elektrik, talian telefon dan internet serta kemudahan kesihatan yang lengkap serta kemudahan beribadat yang hampir tiada.

    Saya akui, bertugas di pedalaman ni habuannya besar dalam slip gaji dan saya takde masalah kerana saya masih bujang. Seronok duduk di perantauan.

    Cuma kesian dengan kawan-kawan yang dah kawen dan ada anak.
    Nak resign, si suami ni saja yang bekerja (cikgu), isterinya masih belajar pada masa yang sama saja si anak di kampung.

    Ada yang provoke suruh kami resign sahaja kalau tak sanggup berpisah jauh dengan isteri dan anak. Tapi realitinya kami sudah ikat perjanjian sebelum kami mula memulakan latihan perguruan dan kalau resign kurang 3-5 tahun dari hari pertama bertugas, kami dikenakan tindakan bayaran penalti oleh kerajaan sebanyak RM 80k-150k.

    Semoga Allah SWT memudahkan segala urusan guru-guru ini sekeluarga.

    PS: permohonan pertukaran saya tidak diluluskan sekali lagi. Kadang kala terfikir nak cari isteri yang orang asal tempatan di kawasan bertugas je. Hahaha. Cuma kesian dengan ibu bapa saya.

    So, saya kekal sebagai bujang buat masa sekarang, semoga saya dapat jodoh dan zuriat yang baik, soleh dan solehah… Aaaaaminnn

      • berbeza agama, bangsa, budaya dan bahasa.

        api ada je yang dah bersaudara dengan kita dengan kalimah.. alhamdulilah…

        tapi cabarannya hebat…

  • saya juga bercadang nk berhenti kerja cuma sy anak org susah buat hutang beli kereta utk ayah d kmpg.. cuma mmg sy stress sgt skrg kerja penat blik nk tgok anak wat keje sekolah lg,,makan umah sy beli aje..kdg2 anak terbiar… Insyaallah lps utang kete ayah abis sy berhenti kerja krn bakal bersalin anak ke3 kos pengasuh shj sudah 700.00

  • {"email":"Email address invalid","url":"Website address invalid","required":"Required field missing"}
    >