MohdZulkifli.Com

Motivasi Kewangan & Simpanan Emas

Untung Bawa Grab, Tapi Rugi Untuk Masa Depan

September 26, 2022

Kalaulah ada peluang jadi Grab Driver / Rider pada tahun 2003 dulu, taklah saya tak terkial-kial cari peluang buat side income.

Bagi yang tak pernah ada pengalaman buat bisnes macam saya pada waktu itu, bukan mudah nak dapatkan pendapatan tambahan walaupun hanya RM10 sebulan.

More...

Side Income Tak Semudah Hari Ini

Untuk dapatkan pendapatan tambahan, saya selalu buka surat khabar, cari iklan-iklan kerja sambilan - kerja dari rumah yang boleh saya buat di luar waktu kerja.

Antara yang menarik perhatian saya ialah peluang tambah pendapatan RM100 - RM200 seminggu, kerja buat “data entry” dari rumah, kononnya...

Tapi kebanyakkan tawaran tersebut ialah scam - penipuan!

Jenuh saya minta cuti untuk pergi interview demi interview, rupa-rupanya "kerja " yang mereka offer tu tak wujud. Sebaliknya mereka pujuk untuk laburkan dalam forex!

Zaman tu banyak yang kena scam forex.

Scam Ejen Cari Pekerjaan

Saya dan isteri beberapa kali kena dengan ejen-ejen cari pekerjaan yang menipu. Pergi interview, kena bayar yuran, kononnya mereka akan dapatkan pekerjaan sampingan (untuk saya dan isteri), tapi lepas bayar, tak dengar khabar berita!

Rupa-rupanya bisnes mereka ialah collect duit yuran...

Tapi sekarang zaman sudah berubah. Dengan wujudnya ekonomi Gig, dunia hari ini lebih baik berbanding dulu.

Sesiapa pun boleh buat side income dengan cara mudah dan sah. Asalkan kena rajin sahaja.

Mudahnya Dapat Pendapatan Sampingan

Bila ada peluang jadi Grab Driver / Rider, saya percaya nak dapatkan pendapatan sampingan setakat RM300 - RM500 sebulan bukan lagi satu masalah.

Asalkan rajin, insyaAllah boleh dapat.

Cuma satu perkara yang kena ambil perhatian; jangan sampai lalai dengan peluang “duit mudah” hari ini, hingga memperjudikan masa depan yang lebih panjang.

Kerja macam Grab Driver / Rider, pada saya ia bahaya kalau kita jadikan sebagai kerjaya jangka panjang.

Walaupun boleh dapatkan duit yang jauh lebih lumayan berbanding masuk kerja sebagai fresh grad (dengan kelulusan Diploma atau Ijazah), tapi ia akan merugikan dalam jangka panjang.

Kerugian Jangka Panjang

Rugi masa depan negara (disebabkan “hilangnya tenaga pakar”) tu kita letak ke tepi dulu. Apa yang lebih penting ia rugi untuk masa depan kita sendiri. Ia merugikan sebab kerja sebegitu tak meningkatkan NILAI DIRI kita dalam jangka panjang.

Kerja sebagai Grab Driver, hakikatnya adalah “driver” (pemandu) sahaja, sama macam pemandu teksi.


Untuk bayar upah kepada pemandu teksi, adakah kita sanggup bayar upah yang lebih mahal kepada pemandu teksi yang sudah 15 tahun berpengalaman berbanding yang baru 5 tahun?

Tentu sekali "Tidak". Sebab ianya tak ada beza.

Nilai Kerja Jangka Panjang

Pengalaman 5 tahun atau 15 tahun, tak ada bezanya dari sudut NILAI KERJA yang mereka dapat "deliver". Dan tentunya harga yang kita sanggup bayar juga tidak ada bezanya.

Maka hanya satu sahaja cara untuk tingkatkan pendapatan sebagai “driver”, iaitu kena memandu dengan masa yang lebih lama!

Kena JUAL MASA lebih banyak untuk dapatkan bayaran yang lebih banyak. Itu sahaja caranya.

Apa yang kita kena ingat, makin lama kita bekerja, usia makin bertambah, dan kudrat kita makin berkurangan. Kalau "nilai per jam" kerja kita tak meningkat dalam jangka panjang, ia meletakkan diri kita dalam risiko.

Risiko makin lama makin kecil pendapatan kita disebabkan makin kurang upaya untuk bekerja.

Kudrat Makin Berkurangan

Ia berbeza dengan kebanyakkan kerjaya lain. Yang mana makin lama kita bekerja, makin banyak pengalaman yang kita dapat. Dan kadar UPAH PER JAM kita makin mahal disebabkan pengalaman tersebut.

Bayaran seorang doktor yang sudah 15 tahun berpengalaman, sudah tentunya jauh beza bayarannya berbanding doktor yang baru 5 tahun.

Begitu jugalah dengan kerjaya lain seperti peguam, akauntan, engineer, technician, guru, designer, programmer, web developer dan sebagainya.

Usaha yang dibuat dalam kerjaya hari ini adalah pelaburan untuk masa depan.

Lagi lama bekerja, lagi banyak pengalaman, lagi mahal orang sanggup bayar hasil kerja kita.

Dalam hieraki kerjaya dalam dunia korporat, bagi yang mulakan kerjaya sebagai Eksekutif Rendah, lama-kelamaan akan dinaikkan pangkat sebagai Eksekutif Kanan > Assistant Manager > Manager > Senior Manager.

Walaupun waktu bekerja masih sama, tapi kadar bayaran makin lama makin mahal - kerana pengalaman dan skill yang makin meningkat dari tahun ke tahun.

Kadar Bayaran Makin Mahal

Apa yang setiap orang yang bekerja makan gaji kena tahu, pekerja yang ada pengalaman kerja yang bagus, majikan bayar mahal bukan kerana KUDRAT, tetapi kerana OTAK dan SKILL (khususnya dalam memimpin pasukan).

Dengan pengalaman yang cukup, mereka dibayar lebih mahal disebabkan kemampuan mereka untuk berfikir dan memimpin pasukan. 

Makin tinggi jawatan seseorang, makin ringan kudrat yang digunakan untuk bekerja, tetapi makin berat beban untuk berfikir dan memimpin.

Berbeza dengan kerjaya macam Grab Driver yang dibayar atas KUDRAT untuk memandu semata-mata, bukan sebab pengalaman ataupun skill.

Walaupun berpengalaman selama 15 tahun sekalipun, KADAR BAYARAN tetap sama macam driver yang baru 5 bulan bawa Grab!

Fikirkan Kesan Jangka Panjang

Jadi pada saya, walaupun peluang kerja jadi Grab Driver itu bagus, tapi ia hanya sesuai dijadikan sebagai kerjaya part-time disamping membina kerjaya hakiki.

Jangan sesekali 'membakul-sampahkan' kelulusan akademik ataupun pengalaman kerja selama ini hanya semata-mata boleh dapat pendapatan segera yang lebih besar.

Ia ibarat makanan segera. Walaupun boleh mengenyangkan, tetapi memudaratkan kesihatan dalam jangka panjang.

Fikir-fikirkanlah...

Zulkifli
Cyberjaya
26 September 2022
29 Safar 1444H

Tentang Penulis

Mohd Zulkifli Shafie

Penulis buku bestseller; Wang Emas, dan Misi Bebas Hutang.

Menulis tentang kewangan sejak 2008. Berpengalaman membimbing lebih 7,000 penyimpan emas secara peribadi di Malaysia, Indonesia, Singapore dan Brunei sejak 2010.

Merupakan pengasas G100 Network; network terbesar dealer Public Gold (syarikat pengeluar emas terbesar di Malaysia), yang memberikan servis kepada lebih 500,000 penyimpan emas di seluruh Asia Tenggara.

{"email":"Email address invalid","url":"Website address invalid","required":"Required field missing"}
>