MohdZulkifli.Com

Motivasi Kewangan & Simpanan Emas

Lepas SPM, Patut Sambung Universiti ataupun Tidak?

July 24, 2022

Bukan tentang gaji, tapi ilmu, kemahiran dan pengalaman.

Saya tak membantah anak-anak yang buat keputusan untuk tak sambung belajar ke universiti selepas SPM. 

Tapi saya tak setuju pada usia muda begitu, anak-anak kita berhenti belajar semata-mata hanya sebab prospek gaji dan pendapatan. 

"Kerja bawa Grab lebih baik dari belajar bertahun-tahun, akhirnya kena tanggung beban hutang PTPTN dengan gaji yang tak seberapa" katanya.

Bukan tentang masuk universiti

Pada saya bukan tentang masuk universiti atau tidak. Tapi belajar atau tidak.

Zaman sekarang, peluang nak dapatkan ilmu dan kemahiran terbuka luas.

Kalau bukan universiti fizikal, universiti online pun berlambak-lambak yang menawarkan kursus bernilai tinggi. Yang sangat diperlukan dalam industri. 

Bahkan universiti online menawarkan banyak kursus yang tidak diajar di universiti. Kalau diajar pun, ilmu itu outdated sebaik sahaja mereka tamat pengajian di universiti. 

Pada saya, apa yang penting, anak-anak kita lepasan SPM kena jelas kerjaya bagaimana yang mereka nak bina. Kemudian barulah buat keputusan samada nak masuk universiti ataupun tidak. 

Kalau tak sambung universiti, dia nak buat apa?

Waktu terbaik menuntut ilmu

Kalau terus bekerja untuk dapatkan gaji semata-mata, pada saya rugi. Sangat rugi pada usia terlalu muda itu disia-siakan dari menuntut ilmu.

Saya yang umur dah masuk 40-an pun tak pernah berhenti belajar; terus membaca buku, datang kelas, pergi berguru semata-mata nak dapatkan ilmu. 

Bagi yang nak terus bekerja pada saya okay, tapi syaratnya dia bekerja tujuannya untuk belajar dan dapatkan pengalaman untuk explore bidang yang dia minat. Itu tak ada masalah.

Bekerja untuk berkuli supaya dengan pengalaman tu dia dapat gunakan bagi membina kerjaya dia kelak. 

Mungkin setelah berkuli itu, dia rasa ada keperluan untuk sambung pengajian secara formal di kolej atau di universiti, maka sambunglah pengajian untuk memenuhi impian mereka.

Rugi masuk universiti kerana orang

Pada saya masuk universiti akan jadi satu kerugian kalau mereka tak tahu apa yang mereka nak.

Mereka masuk universiti, buat loan PTPTN hanya semata-mata sebab memenuhi expectation orang lain, bukan datang dari diri dia sendiri. 

Subjek yang belajar pun langsung dia tak minat. Asyik poteng kelas sahaja. Assignment pulak asyik copy hasil kerja kawan saja. 

Kalau masuk universiti dengan cara begini memanglah membuang duit dan buang masa saja. Dapat result pun cukup-cukup makan saja. 

Lepas tu terkial-kial cari kerja dengan segulung ijazah yang sekadar cukup makan saja tu.

Masuk universiti dengan matlamat

Bila masuk kerja, dia kerja dalam bidang yang dia tak ada passion (minat) langsung. Kerja pulak asyik mengular saja. Akhir sekali, bawa Grab lebih baik. 

Income lebih besar, kerja lebih fleksibel, dan terpaksa belajar balik untuk disiplinkan diri. Kerja lebih, dapat lebih. Kerja malas, dapat sikit. 

Maka kalau masuk universiti cara begini, pada saya buang masa.

Kalau nak masuk universiti, masuk dengan matlamat yang jelas, dalam bidang yang anak-anak kita minat untuk explore.

Barulah berbaloi. InsyaAllah.

Kita ibubapa kena tunjukkan jalan untuk anak-anak kita tentang membina masa depan dengan betul. Mereka mungkin belum cukup matang untuk berfikir.

Bimbang mereka menyesal di kemudian hari.

Zulkifli
Cyberjaya
24 Julai 2022
22 Zulhijjah 1443H

#TipIbubapa

Tentang Penulis

Mohd Zulkifli Shafie

Penulis buku bestseller; Wang Emas, dan Misi Bebas Hutang.

Menulis tentang kewangan sejak 2008. Berpengalaman membimbing lebih 7,000 penyimpan emas secara peribadi di Malaysia, Indonesia, Singapore dan Brunei sejak 2010.

Merupakan pengasas G100 Network; network terbesar dealer Public Gold (syarikat pengeluar emas terbesar di Malaysia), yang memberikan servis kepada lebih 500,000 penyimpan emas di seluruh Asia Tenggara.

{"email":"Email address invalid","url":"Website address invalid","required":"Required field missing"}
>