MohdZulkifli.Com

Motivasi Kewangan & Simpanan Emas

Ajarilah Anak-Anak Erti Kejayaan Sebenar

Saya pernah rasa jadi pelajar paling bodoh di sekolah paling pandai.

Saya rasa saya bodoh. Saya malu masuk kelas. Saya rasa saya tak berguna dan memalukan ibubapa saya yang hantar saya sekolah jauh-jauh, walaupun hakikatnya pencapaian saya dianggap cemerlang kalau saya berada di sekolah biasa-biasa.

Tapi disebabkan sistem ranking, sepandai mana pun pelajar di sesebuah sekolah, pasti ada pelajar yang dianggap paling bodoh!

More...

Kesan Psikologi Anak Kecil

Saya pernah tersentak ketika anak lelaki sulong saya mengadu yang dia pelajar yang tak pandai. Sebab dia tak berjaya masuk ke kelas A.

Dia hanya mampu masuk ke kelas C, walhal ketika itu dia baru sahaja darjah 1 (atau darjah 2)!

Pada saya, anak-anak yang belum kenal erti hidup itu belum sesuai untuk diletakkan ranking no. 1, no. 2, dan nombor paling corot sebegitu.

Saya bimbang, rasa diri tak pandai itu akan membawa kesan psikologi kepada anak-anak kecil untuk terus maju kalau kita ibubapa tak tanganinya dengan betul.

Perbetulkan Mindset Anak

Ibubapa kena memainkan peranan untuk perbetulkan mindset anak-anak kecil ini tentang hakikat kejayaan dan erti kehidupan sebenar.

Anak-anak yang belum kenal erti hidup ini perlu diajar, setiap kita boleh jadi nombor satu dalam hidup kita sendiri.

Setiap kita tak sama. Kita membina kehidupan kita sendiri. Jadi kita patut bersaing dengan diri sendiri untuk jadi lebih baik dari semalam.

Orang paling berjaya bukanlah yang ranking nombor satu dan meninggalkan yang lain. Dan tentunya orang berjaya bukanlah yang hanya memikirkan diri sendiri sahaja dan meninggalkan yang lemah (supaya dia kekal no. 1). Tetapi mereka adalah orang yang paling bermanfaat sesama manusia.

Hidup ini bukan tentang siapa ranking nombor 1 kerana setiap kita bermula di garisan berbeza.

Kita Membina Kehidupan Sendiri

Ada orang lahir dari keluarga miskin yang makan pun bercatu, dan ada orang yang lahir dalam ‘dulang emas’. Bahkan setiap kita mempunyai minat, bakat dan kecenderungan yang berbeza.

Dan matlamat yang setiap kita mahu capai dalam hidup juga berbeza.

Jadi sistem ranking di sekolah itu tidak sesekali mencerminkan siapa yang berjaya dan siapa yang gagal dalam hidup.

Hidup ini ialah tentang siapa paling banyak memberi manfaat sesama manusia di sepanjang hidupnya.

Tak kisah dia adalah seorang doktor, engineer, pemilik bisnes, lawyer, penguatkuasa, pomen, hatta kerjanya sebagai cleaner sekalipun, dia tetap boleh jadi nombor 1 dalam hidupnya sendiri.

Bukan Tentang Siapa Nombor 1

Asalkan dengan kerjaya itu, dia sentiasa perbaiki dirinya supaya dapat berbuat baik sebanyak-banyaknya sesama manusia, dan sentiasa berusaha menjadikan dunia ini lebih baik dengan kerjayanya itu.

Dan akhirnya setiap kita akan sedar, sepandai mana pun kita, kita bukanlah manusia ranking nombor 1. Kerana setiap kita saling bergantungan antara satu sama lain.

Walaupun dia seorang professor di universiti paling terkemuka sekalipun, dia tetap perlukan bantuan pomen untuk repair keretanya supaya dia dapat pergi kerja.

Dia tak mampu repair keretanya sendiri.

Walaupun dia orang paling kaya sekalipun, dia tetap akan susah untuk dapatkan keperluan hidupnya kalau semua peniaga tutup kedai pada musim cuti perayaan atau PKP!

Orang Yang Paling Berjaya

Maka tidak ada siapa yang ranking nombor 1.

Mereka yang nombor satu ialah mereka yang paling banyak memberi manfaat sesama manusia.

Berlumbalah dengan diri sendiri untuk jadi manusia paling baik, yang hidupnya sentiasa mahu berbuat baik dengan apa saja kelebihan yang Tuhan kurniakan.

Orang paling berjaya ialah yang paling banyak menjayakan orang lain dalam hidupnya...

Salah satu petanda berjayanya seseorang itu, lihatlah berapa ramai yang hadir pada hari kematiannya nanti...

Zulkifli
Cyberjaya
18 Jun 2022
18 Zulkaedah 1443H

Tentang Penulis

Mohd Zulkifli Shafie

Penulis buku bestseller; Wang Emas, dan Misi Bebas Hutang.

Menulis tentang kewangan sejak 2008. Berpengalaman membimbing lebih 7,000 penyimpan emas secara peribadi di Malaysia, Indonesia, Singapore dan Brunei sejak 2010.

Merupakan pengasas G100 Network; network terbesar dealer Public Gold (syarikat pengeluar emas terbesar di Malaysia), yang memberikan servis kepada lebih 500,000 penyimpan emas di seluruh Asia Tenggara.

{"email":"Email address invalid","url":"Website address invalid","required":"Required field missing"}
>