Masa saya umur saya 23 tahun, saya teringin sangat nak beli rumah sendiri. Tapi waktu tu nak menyimpan RM50 sebulan pun tak mampu. Kerja baru setahun, baru kahwin, pendapatan cuma satu, gaji kecil, dan komitmen "hutang-hutang miskin" pun banyak.
Insentif daripada kerajaan untuk beli rumah pertama tak ada waktu tu. Nak beli rumah, memang kena stand-by duit deposit dan kos berkaitan sekitar 10% - 15% daripada harga rumah.
More...
Perbaiki Keadaan Kewangan Dulu
Harga sebuah rumah flat atau apartment kos sederhana di Lembah Klang (KL dan Selangor) ketika tu sekitar RM50k - RM90k. Kalau nak beli rumah, maksudnya kena ada duit sekurang-kurangnya dalam RM10k.
Jadi ketika belum mampu, apa yang saya buat; saya fokus baca banyak buku (tentang kewangan dan hartanah), dapatkan ilmu, settlekan hutang-hutang miskin satu per satu, sampai akhirnya dapatlah beli rumah pertama saya pada usia 28...
Umur 27 tahun zero hutang. Umur 28 beli rumah pertama. Alhamdulillah...
Pencapaian saya memang lambat berbanding murid-murid saya hari ni. Pada umur 28 tahun, ada di kalangan mereka yang dah ada 3 buah rumah. Dan dalam proses nak beli rumah ke-4 tahun berikutnya...
Jangan Bimbang Rumah Mahal
Tapi itulah perjalanan kewangan saya dulu.
Umur 28 baru mampu beli rumah pertama. Itupun beli rumah flat sahaja. Beli rumah dari tangan orang (rumah subsale), bukan rumah baru.
Bagi siapa yang senasib dengan saya, nasihat saya, jangan bimbang...
Biarlah harga rumah makin mahal... Biarlah tanah kampung (untuk buat rumah hari tua) tu pun makin mahal... Tak perlu kelam-kabut beli kalau kewangan tak ready...
Fokus selesaikan masalah kewangan satu per satu. Settlekan dulu masalah tak dapat menabung dengan baik tu. Susun balik kewangan dan komitmen bulanan supaya dapat menabung sekurang-kurangnya 10% daripada pendapatan setiap bulan.
Cari pendapatan tambahan supaya dapat tingkatkan tabung dan settlekan hutang-hutang yang menyesakkan nafas setiap bulan.
Peluang Terbaik Akan Sentiasa Ada
Bila kewangan dah okay, peluang-peluang yang baik akan sentiasa ada. Ya, betul. Ia akan SENTIASA ADA, InsyaAllah. Itu yang saya percaya sejak dulu lagi...
Bila kewangan dah baik, nak beli sebuah rumah setiap tahun (untuk pelaburan) pun tak ada masalah.
Selagi kewangan belum baik, duduk menyewa dulu pun tak apa. Secara fizikalnya, tak ada beza rumah sewa dengan rumah beli. Yang penting ketika sedang menyewa, fokus banyakkan tabungan, dan kukuhkan kewangan.
Bukan gunakan duit penjimatan tu untuk melayan nafsu berbelanja yang tak sudah-sudah tu.
Keputusan Lebih Rasional dan Tenang
Perasaan bimbang dan kelam-kabut tu sebenarnya tu sebab kewangan kita tengah sakit. Macam orang yang tengah sakit, cakaplah ubat apa pun yang boleh sembuhkan penyakit dia, dia akan beli walaupun terpaksa bergolok-bergadai.
Kita tak rasional dalam buat keputusan waktu kita tentang sakit ataupun stress.
Tapi bila kewangan dah baik nanti, peluang-peluang yang baik sentiasa ada. Dan ketika tu, kita akan buat keputusan lebih rasional yang akan menjadikan kita lebih kaya, insyaAllah.
Jangan bimbang... Kita tak berlumba dengan sesiapa. Perjalanan hidup setiap kita tak sama. Kita bina hidup kita sendiri... Kita hanya perlu fokus buat perkara yang betul dengan sabar, kejayaan hanyalah persoalan masa sahaja. InsyaAllah...
Allahu a'lam.
Zulkifli
Cyberjaya
22 Ogos 2023
5 Safar 1445H
Artikel berkaitan:
- Anak Muda, Jangan Kelam-kabut Beli Rumah Duduk Sendiri
- Bila Berduit, Peluang Terbaik Sentiasa Ada
- Cara Betul Semak Cashflow Sendiri dan Bebas Masalah Kewangan
- Beli Rumah Tanpa Menanggung Hutang
- Cara Menggandakan Kekayaan Dengan ‘Hutang’
- Beli atau Sewa Rumah, Mana Lebih Berbaloi?
- 2 Kerugian Beli Rumah Paling Mampu