MohdZulkifli.Com

Motivasi Kewangan & Pelaburan Emas

Berbisnes Mencari Akhirat

February 20, 2010

“Ish… ana tak nak la menjual. Takut jatuh ‘martabat’ (sebagai seorang best student!)” jawapan saya pada sahabat bila diminta berniaga untuk mencari dana menggerakkan program dakwah di kampus. “Kenapa jatuh martabat pulak. Nabi berniaga, tak jatuh pun martabat kenabian!” Balas sahabat saya. Aduh, terasa ‘sakit’ di pipi saya macam kena penampar dengan tazkirah tersebut. Nabi juga berniaga, jadi, siapa lah saya hingga rasa terhina untuk berbisnes?

Tazkirah sahabat tu membuatkan saya terfikir-fikir. Ada yang tak kena dengan cara saya berfikir… Sebelum tazkirah itu, saya pandang orang berniaga adalah orang yang ambil ‘kesempatan’ atas orang lain. Mereka nak kaut sebanyak mungkin duit dalam poket kita! Persepsi itu jadi semakin teruk bila saya tertipu ribuan ringgit di tangan salesgirl dan salesman ‘gores dan menang’ di saat saya kesempitan duit dan sangat naif tentang kewangan!

Persepsi Negatif Pada Bisnes

Memang benar, ramai orang di luar sana berbisnes cara begitu. Mereka cuma fikir “duit, duit dan duit” sahaja. Duit adalah segala-galanya baginya. Asalkan dapat jual, asalkan dapat duit, mereka rasa mereka berjaya. Pada hakikatnya, itulah yang dinamakan “kapitalis”! Hujung perjalanan seorang kapitalis hanyalah duit dan dunia semata-mata. Dapat untung, dapat kaya, itulah rukun iman bagi seorang kapitalis.

Persoalan sekarang, adakah Nabi s.a.w. berbisnes cara begitu? Pastinya tidak.

Roh Bisnes Dalam Islam

Bisnes yang diajarkan oleh Allah dan Rasul bukan begitu. Ia tak cukup dengan sah ataupun tidak sesuatu aqad jual beli, tapi ia lebih jauh daripada itu. Bisnes Nabi bukan sekadar syariat lahir, tapi ada roh di dalamnya. Bak kata rakan-rakan dalam Rufaqa’ (Global Ikhwan); berbisnes ‘bermodalkan’ Tuhan, dan bermatlamatkan Tuhan. Mereka bermodalkan “taqwa” untuk mendapat “redha” Tuhan.

Bisnes wujud sebab setiap manusia ada keperluan (sebagai pengguna). Keperluan makan dan pakai, keperluan tempat tinggal, keperluan kesihatan, keperluan hidup selesa, keperluan bergerak ke sana ke mari, keperluan perlindungan dan keselamatan dan macam-macam lagi. Tak kira kanak-kanak atau orang dewasa, semua manusia ada keperluan, sedangkan setiap manusia tak dapat penuhi keperluannya sendiri tanpa bantuan orang lain. Jadi siapakah yang sediakan keperluan tersebut?

Peniaga Sediakan Keperluan Manusia

Ya. Allah lah yang sediakan keperluan tersebut – melalui orang yang berbisnes!

Orang yang berbisnes, maksudnya dia membuat kerja sebagai Khalifah Tuhan – sediakan keperluan manusia. Dia bertungkus lumus membantu ramai manusia untuk dapatkan keperluan hidup. Kerjanya membantu, memberi khidmat dan memberi manfaat. Lebih ramai manusia dapat manfaat dari dia, lebih besarlah kasih sayang Tuhan padanya. Dan lebih untunglah dia di Akhirat kelak!

Oh, betapa mulianya orang yang berbisnes…

Berbisnes Mencari Akhirat

Orang mukmin berbisnes mencari Akhirat. Dia kejar Akhirat, tapi Tuhan pakejkan sekali dunia bersama Akhirat – keuntungan dunia akan kejarnya dari belakang. Dunia tak perlu dia risaukan-risaukan. Asalkan dia patuh pada hukum syariatullah dan sunnatullah (sains) dalam perniagaan, kedua-dua keuntungan Dunia mahupun Akhirat dia akan dapat, InsyaAllah.

Dulu saya fikir, kalau nak kejar Akhirat, kita kena duduk lama di masjid dan dah terus beribadah di atas tikar sejadah. Kena banyak bersolat, berwirid dan mengaji. Tak perlu fikir sangat pasal kerja dan kerjaya. Tapi sebenarnya fikiran tu adalah salah. Itu ‘sekular’ namanya – sekular atas nama agama. Orang berfikiran begitu, mereka sebenarnya memisahkan urusan dunia dan akhirat. Padahal Dunia adalah ladang untuk Akhirat. Setiap aktiviti kita di Dunia, sepatutnya ada kena mengena dengan Akhirat.

Memberi Manfaat Sesama Manusia

Kalau mahukan keuntungan di Akhirat, ia tak cukup dengan hanya menumpukan kepada ibadah khusus sahaja. Kita kena keluar masjid, dan beri manfaat kepada seramai mungkin manusia. Ia di panggil sebagai “amal soleh” atau “ibadah umum”. Selain menyambung kerja Nabi s.a.w dengan dakwah, berbisnes salah satu cara memberi manfaat sesama manusia.

Bila saya faham akan hakikat ini, saya rasa cukup kagum dengan mereka berbisnes.

Kerana ada orang berbisnes “cakoi” contohnya, saya dapat jimat duit dan masa untuk menikmati “cakoi”. Walaupun saya boleh buatnya sendiri, peniaga “cakoi” sebenarnya telahpun memudahkan hidup saya. Saya tak perlu berhabis masa menguli, dan tak perlu berhabis duit membeli bahan-bahan membuat cakoi. Saya boleh menikmati “cakoi” sambil fokus kepada tanggungjawaba saya. Jika difikirkan tentang “cakoi” sahaja, oh… betapa berjasanya si penjual cakoi pada saya… Bagaimana pula dengan orang berniaga barang-barang keperluan lain yang lebih penting dalam hidup kita?

Si Penjual Cakoi Mencari Akhirat

Ok, cuba bayangkan jika penjual “cakoi” itu buat dengan terbaik, dimasukkan bahan-bahan yang terbaik, dipastikan kebersihan dan kesuciannya terbaik, berjual beli dengan cara terbaik, wah… besarnya kasih sayang Tuhan untuk si penjual cakoi. Si penjual cakoi telah beri manfaat pada saya dan kepada ramai manusia. Manusia suka, Tuhan redha. Akhirat dia dapat, dunia Tuhan pakej sekali, insyaAllah…

Bila kita berniaga sampai tahap Tuhan suka, dan manusia (pelanggan) pun suka, untung rugi tak perlu dirisau-risaukan lagi… InsyaAllah.

Zulkifli
Damansara Damai
9 Februari 2010
25 Safar 1431

(Kredit foto : allpostersimages)

Tentang Penulis

Mohd Zulkifli Shafie

Penulis buku Wang Emas, dan Misi Bebas Hutang.

Menulis tentang kewangan sejak 2008. Berpengalaman membimbing lebih 6,500 penyimpan emas secara peribadi di Malaysia, Indonesia, Singapore dan Brunei sejak 2010.

Merupakan pengasas G100 Network; network terbesar dealer Public Gold (syarikat pengeluar emas terbesar di Malaysia).

  • {"email":"Email address invalid","url":"Website address invalid","required":"Required field missing"}
    >