Gara-gara berbisnes pun boleh bersama Nabi di Syurga?
Betul. Itulah apa yang saya faham dari hadis Nabi s.a.w.
Dulu saya fikir, bisnes ni hanya dapat keuntungan dunia. Nak dapat akhirat, kena bersedekah dulu. Bahkan kalau nak jadi golongan VVIP di Syurga, hanya untuk alim ulama, dan orang yang berjihad sahaja.
Rupa-rupanya tidak. Syurga tu ada banyak pintu. Dan Syurga tu ada banyak tingkatan (level).
Dan tingkatan paling tinggi tentunya bersama para Nabi s.a.w.
Salah satu pintunya ialah dengan berbisnes. Jadi peniaga yang jujur lagi amanah.
Kerana orang yang berniaga secara jujur lagi amanah itu, mereka bukan sahaja melepaskan kesusahan orang lain, tapi mereka juga memenuhi hajat-hajat orang lain yang tak mampu dipenuhi oleh dirinya sendiri tanpa bantuan orang lain - peniaga.
Peniaga Memenuhi Hajat Orang Lain
Wujudnya bisnes sebab setiap manusia ada kehendak dan keperluan.
Kehendak dan keperluan manusia itu ada berbagai-bagai. Bermula dari lahir sampai mati, hatta sampai nak dikebumikan pun ada keperluan.
Tetapi setiap manusia tak mampu penuhi semua keperluan dan kehendak diri sendiri melainkan ada orang lain yang membantu mereka.
Di situlah perlunya ada orang berniaga.
Di sebalik buat duit dan membina kekayaan, kerja hakiki orang yang berniaga ialah bantu memenuhi kehendak dan keperluan orang lain.
Kalau tak ada orang berniaga, semua orang akan susah. Macam susahnya nak cari barang keperluan bila semua kedai tutup pada hari cuti perayaan.
Mulianya orang berniaga bila mereka dapat penuhi keperluan dan kehendak orang lain dengan cara yang paling baik. Mereka menjadikan hidup orang lain lebih baik. Maka tentunya ia dikira sebagai "amal soleh" (amal kebaikan) di sisi Tuhan.
Tetapi syaratnya, mesti berniaga dengan jujur dan amanah sebab ‘nasib’ pembeli berada di ‘tangan’ penjual.
Kalau peniaga menipu, maka kebarangkalian besar pembeli teraniaya.
Nasib Pembeli Di ‘Tangan’ Peniaga
Dalam bisnes makanan misalnya... Kalau peniaga memasukkan bahan yang tak halal (sebab nak menjimatkan kos), maka pembeli akan makan makanan yang haram.
Sebagai pembeli, mana kita tahu bahan yang dimasukkan dalam makanan itu halal atau haram kan?
Kita membeli hanya atas kepercayaan kita yang mereka adalah peniaga muslim.
Dalam hal timbangan pula contohnya... Kalau peniaga kurangkan timbangan, maka pembeli teraniaya membayar lebih dari yang sepatutnya.
Akhir-akhir ini tersebar dalam media sosial bagaimana peniaga menambah berat pada timbangan dengan cara menipu, hatta pada ayam, dan ikan sekalipun!
Dalam bisnes takaful contohnya... Kalau ejen takaful ‘propose’ polisi yang tak kena dengan risiko sebenar ‘pembeli’ takaful semata-masa nak dapat komisyen yang lebih tinggi, maka pembeli akan rugi ratusan ringgit setiap bulan membayar polisi yang mereka tak perlukan!
Dalam pelaburan emas pulak... Kalau penjual emas memberi nasihat yang salah tentang pelaburan emas, maka pelabur akan kerugian besar sebagaimana wujudnya skim-skim cepat kaya bertopengkan emas pada tahun 2014!
Dan begitulah juga dalam bisnes apa sekalipun...
Amanah Dalam Promosi
Dalam aktiviti marketing dan membuat apa-apa promosi... Kalau peniaga buat promosi berbentuk hype (gembar-gembur berlebihan), maka pembeli bakal membeli produk yang mereka tak perlukan. Lepas beli baru menyesal!
Walaupun hal begini kita nampak remeh, tetapi Nabi s.a.w. memandang serius sehingga Baginda s.a.w berpesan;
“Sumpah itu melariskan barang dagangan akan tetapi menghapuskan keberkatannya” (Hadis Riwayat Bukhari)
Jadilah peniaga yang amanah dan berpada-pada dalam membuat promosi.
Promosi yang berlebih-lebihan akan menghilangkan keberkatan dalam bisnes.
Dalam jangka panjang, ia boleh merosakkan bisnes. Promosi-promosi begitu sebenarnya menganiaya pembeli.
Mulianya Orang Berniaga…
Sebab itu saya katakan, ‘nasib’ pembeli berada di ‘tangan’ penjual.
Dan saya percaya, atas amanah yang begitu besar yang terletak di atas bahu peniaga inilah Nabi s.a.w. berpesan;
Abu Sa'eed meriwayatkan bahawa Nabi (ﷺ) bersabda:
“Peniaga yang jujur dan amanah (akan ditempatkan) bersama dengan para nabi, siddiqin (orang jujur) dan syuhada (di Syurga)” (HR Tirmizi no. 1209)
Nabi, siddiqin, dan shuhada’ adalah golongan yang ‘rare’. Golongan ini tak ramai.
Dan begitulah juga dengan peniaga yang amanah. Ia peniaga yang rare.
Dalam pemerhatian saya, kalau ada 10 peniaga, mungkin hanya satu atau dua sahaja peniaga yang benar-benar amanah, yang benar-benar ambil berat tentang kepentingan pelanggaan dan pembeli melebihi kepentingan poketnya sendiri.
Selebihnya, hanya mementingkan kepentingan diri dan poket sendiri melebihi kepentingan pembeli.
Peniaga Amanah Untung Berganda
Tetapi percayalah... Akhirnya yang akan benar-benar kaya, berjaya dan bahagia dalam perniagaan ialah peniaga yang jujur lagi amanah.
Walaupun bisnes mereka mungkin tidak cepat berkembang, tetapi bisnes mereka akan bertahan lebih lama berbanding mereka yang tak jujur dalam perniagaan.
Dan inilah yang sering saya ingatkan kepada dealer-dealer emas Public Gold di bawah bimbingan saya.
Saya bukan sekadar mahu melahirkan dealer emas Public Gold yang berjaya, tetapi peniaga emas yang amanah dalam urusniaga supaya pembeli mendapat bimbingan yang betul.
Bila kita berniaga, selian memilih perniagaan yang betul, kena pastikan kita berniaga dengan betul, dan berniagalah betul-betul.
Mudah-mudahan kita semua berjaya Dunia dan Akhirat... Perniagaan yang kita usahakan itu akan jadi amal kebaikan yang akan menjadi bekalan untuk menghadap Tuhan suatu hari nanti. Itulah hari yang pasti!
Wallahu a’lam.
Zulkifli
Damansara Damai
9 November 2015
27 Muharram 1437H
“Sesungguhnya para peniaga ini akan dibangkitkan pada hari Kiamat dalam keadaan yang berdosa melainkan orang yang bertaqwa kepada Allah, berbuat kebaikan dan jujur.” (HR al-Tirmizi no. 1210)
noted sifu
As salam,
Encik Zul,
1) Antara pelaburan emas, dinar dan perak, mana lagi baik?
2) Bagaimana cara nak simpan emas di safe deposit box Public Gold?
3) Saya ada terbaca teknik pajak emas di arrahnu untuk selesaikan pinjaman kereta dalam masa beberapa tahun saje. Tapi saya kurang faham teknik ini. Sekiranya encik tahu mengenai teknik ini, harap tak keberatan untuk berkongsi.
Terima kasih.
Wslm Pn. Fiza,
1. Dinar tu syiling emas. Dinar dan perak masing-masing ada kelebihan dan kekurangan. Puan boleh baca artikel saya di http://www.mohdzulkifli.com/2014/05/5-tips-pantas-fahami-pelaburan-silver.html .
2. Safe deposit box Public Gold hanya ada di Penang. Puan boleh dapatkan maklumat lanjut di http://www.publicsafe.com.my/ .
3. Kaedah tu merugikan berdasarkan pengiraan yang saya buat.
Wallahu a’lam.
kt tempat sy berniaga burger,isi dlm burgernya cuma diletakkan salat dan sedikit sos tetapi harganya sama dgn harga orang lain.apakah ini juga dikira tidak amanah?yg menghairankan custumernya x putus2 dtg..
Tak amanah dan strategi kawal kos tu isu berbeza.
Minta share tuan, suka ayat dan susunan yg Tuan coretkan:-)
Silakan En. Saifullah. Mudah-mudahan bermanfaat, insyaAllah.
Assalammualaikum wbt.
Memang betul tu En. Zul, berniaga mesti kena amanah. Setiap sen kena ambik kira jangan terambil sedikit pun hak pelanggan. Itu yang selalu kawan-kawan cakap. Walaupun kami masih makan gaji prinsip tu kami cuba praktikkan dalam bekerja. Insyaallah…
Wslm En. Rosfan,
Alhamdulillah. Mudah-mudahan artikel ini bermanfaat, insyaAllah.
ASSALAMUALAIKUM tn zulkifli, mohon share utk masukkan dalam page fb saya.. jazakallah
Wslm En. Norazlan,
Silakan. Mudah-mudahan bermanfaat, insyaAllah.
[…] peniaga yang benar-benar amanah bukan mudah. Kita boleh kelihatan baik di depan pelanggan, tetapi ‘kerja-kerja’ di belakang tabir, hanya kita dan Allah sahaja yang tahu. Peniaga yang amanah, benar-benar golongan yang “rare”. […]