Ibu Kekurangan Zat, Risikonya Pada Anak

by on August 9, 2008

Setiap kali isteri disahkan mengandung, datang perasaan gembira, bercampur bimbang. Bimbang apa ‘nasib’ anak yang bakal dilahirkan. Itulah yang saya rasa, setiap kali dapat berita isteri mengandung.

Pelajari Kesihatan

Slot ini, saya nak sentuh tentang kesihatan ibu dan bayi berdasarkan sedikit pengalaman dan kefahaman yang kami belajar melalui kursus dan seminar, serta buku berkaitan.

Bila cakap tentang jaga kesihatan, ia sangat berkait rapat dengan pemakanan. Topik kesihatan cukup luas, tetapi kali ini saya nak kongsikan tentang betapa pentingnya ibu mengandung menjaga pemakanan dan mengambil suplemen.

Ibu Kekurangan Zat, Risikonya Pada Anak

Masa isteri saya mengandung anak pertama, kami tak ambik berat langsung tentang pemakanan. Asalkan kenyang jadilah. Selain dari faktor kewangan, kejahilan tentang kesihatan juga adalah faktornya. Akibatnya, anak pertama kami yang jadi mangsa.

“Ish, mata Aisyah nampak kelabu. Mungkin dia tak cukup zat ni.” Kata seorang sahabat – seorang doktor.

“Eh! Kenapa Aisyah tak besar-besar ni?” Tegur makcik dan pakcik saya.

“Anak awak umur berapa bulan?” Tanya seorang kenalan yang pada ketika tu Aisyah dah lebih setahun.

Berat badan Aisyah tak sampai 7 kilo walaupun umur dah setahun lebih. Payah makan, dan terlalu memilih makanan. Dia mengalami masalah “underweight”.

Selain masalah berat badan, dia mudah jatuh sakit. Inilah yang paling ‘meletihkan’ dan merisaukan kami dulu. Boleh dikatakan setiap bulan mesti kena demam terutamanya lepas injection bulanan, dan ketika setiap kali balik kampung – mungkin kerana sensitif dengan perubahan cuaca.

Setelah belajar serba sedikit tentang kesihatan, rupa-rupanya kami terlepas pandang soal pemakanan yang sihat. Setiap apa yang kita makan, rupa-rupanya zat makananlah yang perlu dititik beratkan. Kerana tubuh kita perlukan ZAT, sedangkan mulut hanya mahukan SEDAP!

Cukup Zat, Badan Sihat

Tubuh kita perlukan zat supaya sihat. Zat makanan termasuklah Karbohidrat, Protein, Vitamin, Mineral, dan Serat. Betapa pentingnya zat ini dimasukkan ke dalam tubuh melalui pemakanan supaya tubuh sentiasa sihat.

Sebagai contohnya, badan kita perlukan karbohidrat sebagai sumber tenaga utama kita. Badan kita juga perlukan protein, kerana ia membentuk tubuh kita. Protein ibarat simen untuk membina sebuah bangunan.

Kita juga perlukan vitamin dan mineral kerana secara umumnya, ia mengelakkan kita daripada penyakit. Contohnya, VITAMIN C menguatkan daya tahan tubuh daripada serangan penyakit berjangkit. KALSIUM pula berperanan menguatkan tulang dan gigi, juga mengelakkan kita daripada bongkok di usia tua, dan tulang yang rapuh – osteoporosis.

Zat Makanan Ibu Mengandung

Bagi ibu mengandung, Vitamin C bantu menguatkan sistem imum bayi – daya tahan dari penyakit. Payah kena sakit demam selsema. Kalau kenapun, biasanya tak lama.

Ibu mengandung juga sangat perlukan kalsium. Kalau tak cukup kalsium, dia mudah kena “cramp” (kekejangan otot), lenguh-lenguh sendi, dan sakit gigi ketika mengandung. Puncanya kerana bayi dalam kandungan ‘sedut’ kalsium daripada tubuh ibu untuk membesar.

Vitamin C dan Kalsium, hanyalah sebahagian contoh zat makanan yang perlu diambil oleh ibu mengandung. Nak tahu lebih lanjut, sahabat boleh baca sendiri dalam buku atau laman web berkaitan kerana fokus saya kali ini, risiko pada anak akibat ibu yang kekurangan zat.

(bersambung)

Zulkifli
Kuala Terengganu
19 Mei 2008, 10:47 pagi

{ 0 comments… add one now }

Leave a Comment

Previous post:

Next post: