"Dan sesungguhnya kamu benar-benar datang sendirian kepada Kami sebagaimana Kami ciptakan kamu pada mulanya, dan kamu tinggalkan di belakangmu (di dunia) apa yang telah Kami kurniakan kepadamu." (Surah Al-An’aam 6 : 94)
Ibrah menziarahi kematian
Menziarahi orang mati, lihat jenazah disolatkan, diusung ke tanah perkuburan, fikiran saya sedikit ‘terganggu’. Terganggu bila memikirkan cita-cita saya.
Cita-cita menjadi kaya perlu disemak semula...
Sekaya mana pun kita, kita tetap kembali kepada Tuhan sehelai sepinggang. Tak ada apa yang kita bawa. Duit, kereta, rumah, pakaian berharga semuanya luput sekelip mata...
Alangkah ruginya hidup ini kalau sekadar untuk dunia.
Memang benar... Dunia ni cuma sementara. Tak ada apa kemegahan yang akan kita bawa (ke kubur), kecuali kain putih sehelai sepinggang.
Berpisahlah dari segala harta, pangkat, kuasa, ahli keluarga serta sahabat handai...
Kereta mewah yang dibanga-bangkan itu ditinggalkan. Yang menghantar kita ke kubur cumalah van jenazah. Seatnya cumalah keranda yang ukurannya tak sebesar mana.
Tiada apa yang dibangga
Memang benarlah pesan Ayat Mat (Muhammad Hamidin), guru saya katanya:
“Tak ada mulianya pada jasad kita. Kalau ianya benar-benar mulia, kenapa cuma tiga hari saja (dalam kubur) habis di makan ulat?”
Ayah Mat mengingatkan kami (murid-muridnya) supaya benar-benar ambil berat persoalan rohani. Tak ada apa yang perlu dibanggakan pada rupa paras yang cantik, fizikal dan material kerana semuanya akan hilang sekelip mata. Ia tak kekal...
Yang kekal bersama kita hanya amal kebaikana kita, yang akan menentukan kehidupan kita di alam sana (Akhirat). Di alam yang kita akan hidup yang selama-lamanya.
Nilai dunia kalau dibandingkan dengan Akhirat, hanyalah sedikit...
Cari kekayaan untuk Akhirat
Bila sedar kita akan mati, apakah masih nakkan kekayaan?
Ya, saya masih nakkan kekayaan. Tetapi kekayaan yang macam mana? Dan untuk apa?
Itulah yang kena difikirkan dalam-dalam...
Bila sedar dunia bukan tempat tinggal yang kekal, kekayaan yang kita cari mestilah yang memberikan manfaat untuk Akhirat kita. Jadi orang kaya di akhirat...
Banyak yang fikir, nak kaya Akhirat, kenalah sedekahkan harta banyak-banyak. Ya, ia memang benar, tetapi pada saya itu belum cukup... Siapa yang boleh jamin dia akan kaya, dan bila kaya dia akan bersedekah?
Tiada siapa boleh jamin...
Jadi, nak kejar akhirat jangan tunggu jadi kaya dulu. Tapi dalam proses mencari kekayaan itu sendiri mestilah tambah saham-saham untuk Akhirat kita. Maksudnya, ketika kita bekerja mencari kekayaan itu mesti ada kena mengena dengan Tuhan dan Akhirat kita.
Macam mana caranya?
Berbuat kebaikan 24 Jam Sehari
Caranya, jadikan seluruh aktiviti harian sebagai amal kebaikan (amal soleh).
Pastikan setiap waktu dalam hidup kita hanyalah untuk kebaikan, samada ketika bekerja, dalam berbisnes, dalam melayani isteri dan anak-anak, ahli keluarga, jiran tangga dan sesiapa sahaja sekeliling kita.
Umpama hidup ini sentiasa dalam 'ibadah' (berpahala). Ibadah secara full-time, 24 jam sehari.
Buat baik sebanyak-banyaknya sesama manusia. Anggaplah sesiapa sahaja di sekeliling kita, itu ladang pahala untuk kita.
Moga Allah berikan kekuatan untuk kita jadi hamba yang tunduk dan patuh kepadaNya.
“Wahai jiwa yang tenang. Kembalilah kepada Tuhanmu dengan hati yang puas lagi diredhai-Nya. Maka masuklah ke dalam jemaah hamba-hambaKu, dan masuklah ke dalam syurgaKu” (Surah Al-Fajr 89: 27 – 30)
“Maha Suci Allah, yang telah memperjalankan hamba-Nya (Muhammad) pada suatu malam dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa yang telah Kami berkahi sekelilingnya agar Kami perlihatkan kepadanya sebahagian dari tanda-tanda (kebesaran) Kami” (Surah Al-Isra’ 17: 1)
Zulkifli
Damansara Heights
25 Julai 2008
22 Rejab 1429
Bingkisan muhasabah diri ini tercetus ketika menziarahi kematian Allahyarham Mohd Radzi, Kuala Selangor yang kembali ke rahmatullah pada 21 Julai 2008. Allahuyarham adalah ayah kepada sahabat saya, Muhammad Zahid b. Mohd Radzi.
Solat sempena pemergiaannya diimamkan sendiri oleh anak beliau (Zahid) membuatkan hati saya hiba bercampur gembira. Moga doa anak-anak solehnya terus membantunya di alam sana.
[…] Hancurnya Cita-cita Untuk Dunia […]