MohdZulkifli.Com

Motivasi Kewangan & Simpanan Emas

Kiraan Zakat Barang Kemas, Berbeza Uruf Mengikut Negeri

November 20, 2023

Cukup 85 gram simpan gold bar dan dinar dalam setahun (tahun hijrah), kita diwajibkan keluarkan zakat emas 2.5% dari KESELURUHAN jumlah emas yang kita ada. Gold bar dan dinar dikategorikan sebagai emas yang TIDAK DIPAKAI.

Maksudnya, kalau ada barang kemas yang "tidak dipakai" walaupun sekali dalam setahun, maka kiraanya sama macam zakat gold bar dan dinar. 

Tapi sebenarnya bukan sahaja gold bar dan dinar, barang kemas yang DIPAKAI pun benarnya kena zakat kalau lebih daripada kadar uruf sesuatu negeri.

More...

Jika dipakai tak dikenakan zakat, tetapi...

Saya percaya banyak yang terlepas pandang pasal perkara ni.

Di sini saya nak share tulisan Dr Sufyan, salah seorang pakar muamalat Islam dan juga Ahli Majlis Fatwa Negeri Perlis tentang kadar uruf zakat ni dari Facebook Page Muamalat.my, 8 November 2017 (kemaskini 2022).

Menurut beliau, ulama berbeza pendapat tentang zakat emas perhiasan (bukan jongkong atau dinar). Majoriti tidak mewajibkan JIKA DIPAKAI, tapi mazhab Hanafi tetap mewajibkan walaupun dipakai asalkan CUKUP NISAB (kadar gram emas ditetapkan). 

Di Malaysia, untuk emas dipakai pun, majlis agama negeri kita tetap mengehadkan jumlah maksimum yang dipakai berasaskan uruf (kebiasaan pemakaian emas di kalangan pemakai emas) yang tidak dikenakan zakat, agar maqasid (tujuan) Syariah dalam Zakat tetap terpelihara. 

Kalau "lebih", kena zakat juga

Dengan bahasa lain, walaupun hukum asal emas perhiasan yang dipakai tidak dikenakan zakat, jika di pakai melebihi kadar kebiasaan yang masyarakat pakai, maka ia sudah dianggap berlebihan dan wajib dikenakan zakat. 

Setiap negeri, jumlah ini berbeza mengikut majlis agama negeri masing-masing. Sila perhatikan baik-baik jadual di bawah.

Nisab Zakat Emas Perhiasan Yang Dipakai Mengikut Kadar Uruf:

  • Wilayah : 800 gram (kiraan ikut tahap ketulenan emas) - keseluruhan 
  • Johor : 850 gram - lebihan 
  • Selangor : 800 gram - lebihan 
  • Terengganu 850 gram - lebihan 
  • Perak : 600 gram - keseluruhan 
  • Negeri Sembilan : 200 gram - lebihan 
  • Kelantan : tidak dikenakan zakat asalkan pakai dalam masa setahun 
  • Pahang : 500 gram - keseluruhan 
  • Melaka : 200 gram - keseluruhan 
  • Kedah 85 gram : lebihan 
  • Perlis : 85 gram (ikut tahap ketulenan emas) - keseluruhan 
  • Pulau Pinang 165 gram : keseluruhan 
  • Sabah 152 gram : lebihan 
  • Sarawak 90 gram : lebihan 

Maksud "KESELURUHAN" - maksudnya jika melepasi nisab yang ditetapkan ini, kiraan zakat ialah 2.5% daripada jumlah keseluruhan .

Maksud "LEBIHAN" - maksudnya jika melepasi nisab ini, zakat dikira 2.5% setelah ditolak dengan nisab ini.

Menurut beliau lagi, majoriti negeri di Malaysia mengikut mazhab jumhur (majoriti), kecuali Perlis ikut mazhab Hanafi. 

Mazhab Hanafi, semua pun kena zakat

Beliau secara peribadi dan atas dasar keluar daripada khilaf adalah afdal, bersetuju dengan pandangan Hanafi yang mana nisab zakat emas perhiasan sama sahaja dengan zakat emas jongkong sama ada dipakai atau tidak dipakai, namun tertakluk kepada tahap ketulenan emas. 

Dengan kata lain, menurut mazhab Hanafi, kadar kiraan zakat barang kemas, sama sahaja dengan zakat gold bar dan dinar. Kalau cukup 85 gram, kena kira 2.5% atau KESELURUHAN nilai barang kemas tersebut.

Mudah-mudahan sharing ni bermanfaat. InsyaAllah.

Zulkifli
Cyberjaya
20 November 2023
7 Jamadil Awwal 1445H

Tentang Penulis

Mohd Zulkifli Shafie

Penulis buku bestseller; Wang Emas, dan Misi Bebas Hutang.

Menulis tentang kewangan sejak 2008. Berpengalaman membimbing lebih 7,000 penyimpan emas secara peribadi di Malaysia, Indonesia, Singapore dan Brunei sejak 2010.

Merupakan pengasas G100 Network; network terbesar dealer Public Gold (syarikat pengeluar emas terbesar di Malaysia), yang memberikan servis kepada lebih 500,000 penyimpan emas di seluruh Asia Tenggara.

{"email":"Email address invalid","url":"Website address invalid","required":"Required field missing"}
>