MohdZulkifli.Com

Motivasi Kewangan & Simpanan Emas

Jangan Mulakan Bisnes Dengan Buat Produk Sendiri

December 14, 2023

“Kalau nak buat duit RM3,000 sebulan dari bisnes pun tak boleh, dia memang losser!”. Aduh... Keras bunyinya. Tapi itulah pendapat peribadi Pn Marlia Ramli, team kami yang sememangnya seorang jutawan. Dia anak penjual sayur. Sepanjang hidup dia, dia dah buat macam-macam jenis bisnes sejak muda lagi.

Saya setuju dengan pendapat beliau. Sekarang zaman serba mudah. Memulakan bisnes hari ni tak sesusah 20 tahun dulu.

Hari ni kita boleh buat bisnes dengan hujung jari. Serba serbi sudah online. Peluang sangat banyak. Rajin atau malas sahaja cari side-income.

Tak Ada Produk, Tak Pandai Bercakap

Walaupun kata-kata beliau tu ada orang akan sentap, tapi saya tahu beliau bercakap jujur. Hari ni peluang buat duit terlalu banyak. Dan ianya terlalu mudah berbanding 20 tahun lalu.

Asalkan kita rajin dan sanggup kerja kuat, peluang buat duit terbuka luas untuk kita.

Cuma sebelum buat apa-apa sekalipun, pastikan bermula dengan ilmu dulu.  Buat sesuatu tanpa ilmu, ibarat tebang pokok gunakan kapak yang tumpul. Penat berusaha, tapi hasilnya tak seberapa.

Dulu saya pun tak ada pengalaman dalam bisnes. Tapi saya terpaksa buat bisnes sampingan sebab saya perlukan pendapatan tambahan untuk tampung keperluan hidup kami sekeluarga.

Saya fikir nak berjaya dalam bisnes, saya kena pandai buat produk sendiri, dan kena pandai bercakap. Cakap pulak kena pandai ‘berbelit-belit’, barulah dapat menjual dengan baik. Itulah yang saya fikir dulu...


Tapi pengalaman 20 tahun saya dalam bisnes menunjukkan sebaliknya.


Kalau Kembali Bermula Dari Bawah

Saya dan isteri pernah buat bisnes yang buat produk sendiri. Dan kami pernah buat bisnes jadi ejen jual produk orang lain.

Kalau saya perlu bermula semula dari bawah, saya tak akan mulakan bisnes dengan buat produk sendiri. Lambat, renyah, dan banyak hal nak kena fikir.

Sedangkan kita sebenarnya nak buat duit sahaja. Kita nak cari duit sebagai pendapatan tambahan, dan tambah tabungan untuk tingkatkan kekayaan kita.

Fokus kita sepatutnya buat duit, bukan buat produk, apatah lagi fikir nak jadi "founder" produk.

Kalau ada peluang duit tanpa perlu sakit kepala (untuk buat produk sendiri), pada saya itu lebih baik.

Lainlah kalau dah kaya raya, dan rasa puas hati bila dapat hasilkan produk kita sendiri.

Jadi nasihat saya bagi yang baru nak bermula, jangan mulakan bisnes yang kena buat produk sendiri dulu. Jadi ejen jual produk orang lain dulu.

Paling Penting, Belajar Buat Sales

Kita boleh kaya raya dalam bisnes tanpa buat produk sendiri pun. Buat produk sendiri tu cuma melambatkan kita untuk berjaya dalam bisnes.

Ilmu paling penting dalam bisnes bukanlah buat produk. Tapi buat marketing dan buat jualan (sales). Kalau pandai buat jualan, apa bisnes pun kita boleh buat. Apa keadaan ekonomi pun kita boleh survive, insyaAllah.

Pengalaman menunjukkan, kebanyakan founder produk ataupun pemilik bisnes yang berjaya hari ini, mereka bermula sebagai seorang jurujual. Mereka mula dengan belajar buat sales dulu.

Belajar jual produk sedia ada kepada orang yang perlukan produk tersebut. Belajar jual produk orang lain. Bahkan kalau tak buat produk sendiri pun, kita tetap boleh jadi kaya raya, insyaAllah.

Yang penting, tahu jadi 'jambatan' antara produk yang bagus dengan orang yang perlukan produk tersebut!

Tahu pasarkan produk. Dan tahu jual produk kepada orang yang betul. Itulah kunci pertama...

Tahu Urus Duit Dengan Baik

Kedua ialah ilmu urus duit. Kena tahu jaga cashflow dengan baik.

Tahu buat duit tak semestinya tahu urus duit. Tahu buat jualan, dapat buat jualan yang banyak, belum tentu bisnes kita akan mampu berkembang dengan besar. Dan belum tentu kita semakin kaya.

Kebanyakan orang yang baru sahaja boleh buat duit dari bisnes, dia terus ‘tarah’ duit hasil bisnes. Duit yang dia ada terus dia guna untuk 'reward' diri sendiri dulu berbanding laburkan semula untuk kembangkan bisnes dia sendiri.

Belum apa-apa lagi dah tukar kereta baru. Belum apa-apa lagi dah guna duit hasil bisnes untuk buat komitmen hutang baru.

Jadi duit masuk banyak pun, keluar pun banyak juga. Itulah antara sebab kenapa buat bisnes bertahun-tahun tapi tak kaya-kaya. Masih berlari di tempat yang sama!

Laburkan Semula Dalam Bisnes

Orang lain, walaupun mulakan bisnes kecil-kecilan dari rumah, akhir sekali dapat beli premis kedai sendiri. Dari satu cawangan, sudah buka beberapa cawangan.


Dari menjual seorang diri, akhirnya ada beratus bahkan beribu ejen di bawah dia.

Sebab apa? Sebab bila dapat hasil bisnes, dia laburkan semula duit tu untuk untuk kembangkan bisnes dulu.

Dia gunakan duit tu pergi kursus untuk tingkatkan ilmu dan kemahiran dia tentang bisnes. Dia beli mesin ataupun alatan yang boleh percepatkan perkembangan bisnes. Bahkan dia gajikan orang lain untuk bantu dia kembangkan bisnes.

Barulah bisnes makin lama makin membesar.

Tangguhkan Kepuasan Sementara 

Orang putih sebut “delayed gratification”. Tangguhkan kepuasan buat sementara waktu untuk kita capai kejayaan lebih besar.

Bagi yang baru nak mula buat bisnes, ingat pesan saya ni.

Belajar (ya, BELAJAR) jual produk orang lain dulu. Belajar ilmu sales (menjual) dan marketing (pemasaran) dulu. Lepas tu belajar jaga cashflow dengan baik. Reinvest (laburkan semula) ke dalam bisnes.

Itulah langkah yang kena buat kalau nak berjaya dalam bisnes. Dan itulah juga pengalaman yang saya lalui sepanjang 20 tahun membina bisnes.

Bermula modal bisnes cuma RM400. Hari ini nilai bisnes saya sudahpun jutaan ringgit. Alhamdulillah.

Sama Seperti Orang Kebanyakan

Saya pun bermula dengan tak ada produk, tak tahu buat produk, tak pandai bercakap, dan tak pandai nak menjual. Tapi saya ada keinginan yang kuat untuk belajar dan berusaha untuk berjaya.

Kalau tak pandai, boleh belajar. Kalau tak tahu, boleh bertanya. Kalau tak mahir, boleh berlatih sampai mahir...

Asalkan kita ada kemahuan yang kuat, di situ pasti akan ada jalan... InsyaAllah...

“If you are not willing to learn, no one can help you. If you are determined to learn, no one can stop you.” - Zig Ziglar

Allahu a’lam.

Zulkifli
Cyberjaya
14 Disember 2023
1 Jamadil Akhir 1445H

“Zaman sekarang tak macam zaman dulu. Peluang buat duit berlambak-lambak. Main handphone pun boleh buat duit. Ada motorsikal sendiri pun boleh buat duit. Kalau ada kereta, lagilah banyak peluang buat duit. Nampak atau tidak saja.” - FB Mohd Zulkifli Shafie, 8 Januari 2022

Tentang Penulis

Mohd Zulkifli Shafie

Penulis buku bestseller; Wang Emas, dan Misi Bebas Hutang.

Menulis tentang kewangan sejak 2008. Berpengalaman membimbing lebih 7,000 penyimpan emas secara peribadi di Malaysia, Indonesia, Singapore dan Brunei sejak 2010.

Merupakan pengasas G100 Network; network terbesar dealer Public Gold (syarikat pengeluar emas terbesar di Malaysia), yang memberikan servis kepada lebih 500,000 penyimpan emas di seluruh Asia Tenggara.

{"email":"Email address invalid","url":"Website address invalid","required":"Required field missing"}
>