"It's never too late to do the right thing".
Ayat paling penting yang saya ingat masa layan cerita Kungfu Panda 4 dengan anak-anak hari tu.
Tak ada istilah terlambat untuk buat perkara yang betul.
Tak kisah orang lain dah jalan dulu, atau umur kita agak terlewat berbanding orang lain. Kalau ianya perkara yang betul, mulakan sahaja sekarang.
More...
Tanam benih walau esok Kiamat
Tak ada istilah terlambat untuk buat perkara yang betul atau berbuat baik.
Hatta kalau tahu esok nak Kiamat sekalipun, kalau masih ada benih di tangan, Nabi s.a.w. suruh kita tanam.
Anas Bin Malik r.a. melaporkan bahawa Nabi (ﷺ) bersabda,
“Jika terjadi hari kiamat sementara di tangan salah seorang dari kamu ada sebiji benih tanaman, maka jika dia mampu sebelum terjadi hari kiamat untuk menanamnya maka tanamlah.”
(HR Ahmad, disahihkan oleh Al-Albani)
Logiknya, apa manfaat tanam benih kalau esok Kiamat?
Pertama, Tuhan beri ganjaran atas usaha kita, bukan pada hasil yang kita dapat.
Tugas kita cuma berusaha dengan betul dan bersungguh-sungguh. Tentang hasilnya tu Tuhan yang tentukan. Ia bukan kerja kita.
Berusaha untuk kehidupan infiniti
Kedua, setiap usaha baik yang kita lakukan, Tuhan akan lipat gandakan ganjaran kepada 10 - 700 kali ganda, bahkan lebih!
Tak ada sia-sia di sisi Tuhan atas setiap usaha baik yang kita lakukan.
Bahkan kalau ada orang lain tiru usaha baik kita, setiap orang yang tiru tersebut, Tuhan akan berikan 100% pahala atas usaha orang tersebut kepada kita, tanpa sedikit pun berkurangan pahala untuk dia.
Ketiga, walaupun mungkin umur kita tak panjang. Tapi umur kita di Akhirat adalah infiniti - tak mati.
Kita akan hidup selama-lamanya. Setiap usaha baik yang kita buat di Dunia, semuanya akan dikira untuk tentukan tempat kita di Akhirat nanti (Syurga).
Tak ada yang sia-sia.
Tiada istilah terlambat untuk bermula
Nak buat perkara yang betul, tak ada istilah terlambat.
Nak belajar agama, nak belajar Al-Quran (mula mengaji alif, baa, taa), mulakanlah sekarang walaupun umur dah pertengahan usia.
Nak belajar pasal kewangan, nak menabung, mulakanlah sekarang. Walaupun tinggal beberapa tahun lagi nak capai umur pencen.
Nak jaga kesihatan, nak diet, mulakanlah sekarang walaupun tubuh tak lagi secergas dulu.
Nak perbaiki hubungan suami isteri, dan hubungan dengan anak-anak serta ahli keluarga, buatlah sekarang sebelum Tuhan ambil nyawa.
Tak ada yang sia-sia.
Walaupun usaha baik kita tu nampak kecil di mata manusia, tapi besar nilainya di sisi Tuhan (untuk hari Akhirat kita).
Allahu a'lam.
Zulkifli
Cyberjaya
4 April 2024
24 Ramadhan 1445H
Daripada Adi bin Hatim r.a. Dia berkata, aku mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda:
“Takutlah kamu semua terhadap seksa neraka. Berbuatlah kebaikan walaupun hanya dengan bersedekah separuh biji kurma” (Muttafaqun 'alaih)
[Riyadhus Solihin, 139] [Bukhari, 1417, 6023] [Muslim, 1016]
Jabir (Semoga Allah meredhai dia) melaporkan: Rasulullah (ﷺ) bersabda,
"Apabila seorang Muslim menanam pokok, apa sahaja yang dimakan daripadanya akan dikira pahala sedekah daripadanya, dan apa sahaja yang dicuri daripadanya adalah sedekah, dan apa sahaja yang dikurangkan daripadanya adalah sedekah".
Riwayat lain menyatakan: "Jika seorang Muslim menanam pokok, atau menabur ladang dan manusia, binatang, dan burung-burung makan daripadanya, semua itu (dikira pahala) sedekah daripadanya".