MohdZulkifli.Com

Motivasi Kewangan & Simpanan Emas

Formula Jadi Kaya : Simple, Tapi Ramai Orang Tak Tahu

August 1, 2025

Dalam banyak-banyak seminar kewangan yang saya kendalikan, antara topik yang paling saya suka kupas ialah topik formula membina kekayaan.

Sebab apa? Sebab ramai orang nak kaya. Tapi mereka sendiri tak faham apa maksud sebenar “kaya”, apatah lagi jalan untuk mencapainya.

Ramai fikir, kaya tu bila ada kereta mewah. Bila duduk rumah banglo.

Dan ramai fikir, bila gaji gaji besar, automatik dia bertambah kaya! 

Tapi bila ditanya, “Berapa jumlah kekayaan sudah dimiliki sekarang? Nak cari kekayaan sampai berapa banyak?”, mereka terkebil-kebil.

Kaya Bukan Soal Banyak Duit Semata

Dalam Seminar Membina RM1 Juta Pertama, saya selalu tunjukkan satu formula mudah — tapi sangat ‘power’ — untuk bantu orang faham konsep sebenar kekayaan.

Formula ni simple, tapi kalau tak faham, itulah ramai yang kerja bertahun-tahun, tapi tak kaya-kaya. Dia rasa dia semakin kaya, tapi hakikatnya dia sedang berlari di tempat yang sama.

Penatnya tak habis!

Formula dia macam ni: 

KAYA = TABUNGAN + HARTA – HUTANG

Simple kan?

Tapi inilah asas kukuh untuk bina kekayaan sebenar. Bukan kaya atas kertas, tapi kaya yang boleh buat kita capai financial freedom — tak kerja pun masih ada duit masuk. 

1. Tabungan: Simpanan Yang Jadi Buffer Kewangan

Ramai orang bekerja siang malam, tapi tak ada tabungan langsung.

Bila gaji masuk, habis. Bila kereta rosak sikit, terus kena pinjam. Bila anak masuk universiti, panik sebab duit tak cukup. 

Sedangkan simpanan tu macam payung. Kita tak guna hari-hari, tapi bila hujan ribut datang, dialah penyelamat. 

Tabungan ni tak perlu juta-juta. Cukup sekurang-kurangnya 6 – 12 bulan gaji, letak dalam tempat yang mudah diakses seperti: 

  • Bank
  • Tabung Haji / ASB
  • KWSP - bagi yang dah pencen
  • Emas (untuk lindung nilai)
  • Fixed Deposit
  • Unit trust dan sebagainya.

Simpanan ni bukan untuk kaya, tapi untuk kekalkan 'bertahan' bila krisis datang. 

2. Harta Yang Ada Cashflow: Ini Mesin Duit Sebenar

Kalau simpanan sekadar ‘payung ketika hujan’, harta yang ada cashflow pula ibarat ‘kilang cetak duit’. 

Inilah yang benar-benar buat seseorang makin kaya dari tahun ke tahun. 

Contoh harta yang jana pendapatan pasif: 

  • Rumah - sewa
  • Tanah yang diusahakan - hasil 
  • Saham - dividen 
  • Buku, lagu atau karya (harta intelek) - royalti 
  • Bisnes bersistem yang dah jalan sendiri - gaji, dividen, royalti 

Setiap bulan, walaupun tak bekerja, harta ni tetap bawa duit masuk.

Inilah asas kepada financial freedom (kebebasan kewangan). 

3. Hutang: Musuh Senyap Kekayaan 

Kalau tabungan dan harta adalah ‘kawan baik’ dalam dunia kewangan, "hutang miskin" pula musuh dalam senyap. 

Ia nampak kecil, tapi bila dibiarkan, boleh makan hasil penat lelah kita sedikit demi sedikit. 

Lebih teruk lagi, ada yang sanggup berhutang untuk nampak kaya — beli kereta mewah, renovate rumah, swipe kad kredit untuk gaya hidup yang tak padan dengan pendapatan. 

Hutang yang baik ialah yang bantu kita jana pendapatan (contohnya pinjaman beli rumah sewa). Tapi hutang untuk ‘gaya hidup’?

Itu jerat kewangan. 

Dalam formula kaya tadi, hutang tu kita tolak. Maknanya, makin banyak hutang, makin kurang kekayaan sebenar kita. 

Tanda-Tanda Kita Sedang Bertambah Kaya: 

Ada 3 petanda mudah: 

  1. Tabungan dah cukup 6 – 12 bulan gaji. Dan sentiasa bertambah dari bulan ke bulan. 
  2. Hutang makin berkurangan, dilangsaikan satu demi satu. 
  3. Harta yang jana pendapatan (cashflow) makin bertambah setiap tahun. 

Kalau semua ini berlaku - dari bulan ke bulan, dari tahun ke tahun - barulah kita sedang bergerak ke arah kekayaan. 

Makin lama bekerja semakin kaya, insyaAllah. 

Akhirnya, Bebas Kewangan Itu Matlamat

Bila sampai tahap pendapatan pasif lebih besar dari kos keperluan hidup, kita dah tak perlu kerja untuk duit.

Masa tu, kita kerja sebab minat. Sebab nak berbakti kepada masyarakat. Nak bantu lebih ramai orang. Nak tambah saham akhirat. 

Itulah nikmat sebenar kekayaan.

Bila duit tak lagi jadi beban... Tapi jadi alat untuk capai misi hidup yang lebih besar yang bermakna dalam hidup.

InsyaAllah...

Zulkifli
Cyberjaya
1 Ogos 2025
6 Safar 1447H

Loading TikTok video...

Tentang Penulis

Mohd Zulkifli Shafie

Penulis buku bestseller; Wang Emas, dan Misi Bebas Hutang.

Menulis tentang kewangan sejak 2008. Berpengalaman membimbing lebih 9,000 penyimpan emas secara peribadi di Malaysia, Indonesia, Singapore dan Brunei sejak 2010.

Merupakan pengasas G100 Network; network terbesar dealer Public Gold (syarikat pengeluar emas terbesar di Malaysia), yang memberikan servis kepada lebih 800,000 penyimpan emas di seluruh Asia Tenggara.

{"email":"Email address invalid","url":"Website address invalid","required":"Required field missing"}
>