Bila saya cakap; nafkah tu 100% tanggungjawab suami, bukan share 50-50 dengan isteri... Ada yang tuduh, katanya...
“Senanglah cakap macam tu (jadi lelaki provider). Sembang T20. Cubalah gaji RM1,700, anak tiga orang tengok macam mana...”
Sebenarnya prinsip saya tentang nafkah ni bukan baru wujud bila dah senang.
Tapi ini prinsip yang saya pegang sejak zaman saya miskin bandar lagi. Sejak 20 tahun dulu... Sejak zaman saya masih golongan B40 lagi...
More...
Prinsip sejak zaman miskin lagi
Saya ada 8 orang anak. Anak berderet-deret... Alhamdulillah... Isteri saya suri rumah sepenuh masa. Tak ada income tetap...
Dan sejak berumahtangga lebih 20 tahun lalu, bila masuk bab nafkah keluarga, memang saya tak pernah buat konsep 50-50 dengan isteri.
Malah 10 sen pun saya tak pernah minta isteri share untuk tanggung nafkah keluarga.
Bukan sebab saya kaya. Tapi itu prinsip yang saya pegang berdasarkan apa yang saya faham dalam agama.
Masa income saya sekitar RM1,600 sebulan pun prinsipnya sama.
Apa yang berubah hanyalah taraf kehidupan kami, bukannya siapa yang bertanggungjawab.
Nafkah tu pun ikut kemampuan semasa.
Rumah ikut kemampuan.
Makan dan belanja dapur ikut kemampuan.
Pakaian ikut kemampuan.
Kenderaan ikut kemampuan.
Tapi tanggungjawab tetap saya ambil 100%.
Ikut kemampuan, bukan kemahuan isteri
Kadang orang salah faham bila saya sebut nafkah 100% tanggungjawab suami. Ia bukan bermaksud kalau gaji RM1,700, suami kena sediakan kehidupan macam orang bergaji RM17,000.
Bukan...
Tuhan tak suruh buat macam tu.
Tuhan ajar kita supaya beri nafkah ikut kemampuan kita, apa adanya... Bukan juga ikut kemahuan isteri.
“Hendaklah orang yang mampu memberi nafkah menurut kemampuannya; dan sesiapa yang disempitkan rezekinya, maka hendaklah dia memberi nafkah daripada apa yang Allah kurniakan kepadanya.”
- (Surah at-Talaq, 65 : 7)
Maksudnya, kalau gaji kecil, nafkah pun kecil.
Bila gaji besar, nafkah pun lebih besar.
Tapi tanggungjawab tetap berada atas bahu kita (suami).
Allah tak kata bila gaji kecil, tanggungjawab nafkah automatik jadi 50-50 dengan isteri. Sebab kewajipan pun tetap juga pada kita.
“Dan kewajipan bapa pula ialah memberi makan dan pakaian kepada para ibu itu menurut cara yang sepatutnya.”
- (Surah al-Baqarah, 2 : 233)
Income kecil, kecilkan gaya hidup
Sebab tu pada saya, kalau income belum besar, penyelesaiannya bukan pindahkan separuh tanggungjawab kepada isteri.
Sebaliknya, kecilkan gaya hidup ikut kemampuan kita.
Dulu masa income saya kecil, kami hidup sekat apa yang ada saja.
Tak mampu benda mahal, kami tak beli.
Tak mampu rumah besar, duduk rumah kecil (rumah flat).
Tak mampu kereta mahal, pakai kereta murah (2nd hand).
Tak mampu makan di kedai, masak bawa bekal sendiri.
Yang penting, jangan sebab nak kejar gaya hidup yang kita belum mampu, akhirnya isteri pula kena tanggung nafkah, yang pada asalnya bukan kewajipan dia pun.
Kalau isteri bekerja atau buat side income nak bantu keluarga, itu kira bonus. Itu kebaikan dan sumbangan isteri buat kita sekeluarga.
Tapi duit isteri tetap saya tak akan sentuh.
Jangan sampai bantuan isteri tu kita anggap memang kewajipan dia bayar 50-50.
Itu dua perkara berbeza.
Keberkatan bila ambil tanggungjawab 100%
Pengalaman hidup mengajar saya; tak perlu tunggu kaya baru nak jadi provider.
Jadilah provider daripada sekarang, ikut kemampuan yang Tuhan bagi.
Saya percaya, kalau kita bersungguh-sungguh ambil 100% tanggungjawab, Tuhan akan lorongkan jalan untuk kita... Yang akan mendorong kita bekerja lebih kuat untuk sentiasa besarkan kemampuan.
Ambil tanggungjawab 100%. Tunaikan mengikut kemampuan 100%.
Selebihnya, serahkan kepada Tuhan. Tuhan pasti akan bukakan jalan. InsyaAllah...
#TipSuamiIsteri
#TipKewanganKeluarga
Zulkifli
Cyberjaya
18 Ogos 2026
4 Rabiul Awwal 1448H
Artikel berkaitan:
- Lelaki Sejati Tak Berkongsi Tanggungjawab Nafkah Dengan Isteri
- Bekerjalah Cari Nafkah, Tuhan Berikan Pahala Bersedekah
- Kerja Kuat Cukupkan Nafkah Tanda Sayang Suami Pada Isterinya
- Maruah Lelaki Pada Bekerja Cukupkan Keperluan Untuk Keluarga
- Suami Isteri : Betapa Manisnya Hidup Bila Berjuang Bersama-sama

