Hutang Perlu atau Hutang Mahu?

by on July 1, 2008

“Anta boleh la semuanya beli tunai, sebab anta kaya”

Antara komen sahabat terhadap coretan saya tentang isu hutang. Ada yang menyangka, saya berani berkongsi topik kewangan sebab saya telahpun kaya raya. Hm, sebenarnya tak begitu. Saya mula berkongsi topik kewangan sewaktu saya masih dibelengu ‘kemiskinan’. Seperti yang pernah saya sebut, saya menulis untuk berkongsi, bukan untuk mengajar. Dapat ilmu sikit, saya berkongsi sikit, moga ada manfaatnya.

Saya Juga Berhutang

Sebenarnya, saya pun berhutang, dan pernah juga dibelengu hutang. Sejak pengajian diperingkat diploma lagi saya mula berhutang. Hutang dengan Yayasan Pelajaran Johor (YPJ) – sebab saya anak kelahiran Johor. Masuk ke peringkat ijazah, saya buat hutang lagi – PTPTN.

Habis belajar, saya terpaksa berhutang beli kereta (second hand) untuk sambut kelahiran anak pertama kami – sebab fobia dengan kemalangan yang melibatkan isteri saya sewaktu bermotosikal ke tempat kerja. Nak tak nak, saya terpaksa berhutang lagi. Kemudian, saya berhutang lagi untuk membeli laptop untuk urusan peribadi – mudah dibawa ke mana-mana.

Dan akhir sekali, saya ambil tanggungjawab untuk langsaikan hutang PTPTN isteri saya. Lima hutang ke semuanya. Nasib baik satu lagi hutang tak diluluskan oleh HSBC Bank, iaitu permohonan untuk mendapatkan kad kredit. Tak diluluskan kerana pendapatan kecil. Bank rasa saya tak mampu bayar hutang,  sedangkan saya perlukan kad kredit tu semata-mata untuk mendapatkan kemudahan pembayaran secara online (order) untuk bisnes MLM saya.

pengurusan kewangan

Hutang Perlu dan Hutang Mahu

Itulah semuanya hutang saya setakat ini. Hutang memang tak salah, tapi hutang kita biarlah pada perkara yang benar-benar menjadi keperluan, bukannya untuk memenuhi kemahuan yang tak pernah habis tu. Dan paling bahaya, memang dah jadi tabiat suka berhutang – suka bayar ansuran.

“Berapa harga sofa ni”
“Ah, tak mahal. RM50 jer sebulan. Bayar tiga tahun”

Terkejut ‘beruk’ saya dibuatnya. Ada yang berhutang sofa sampai tiga tahun. Tak banyak katanya, sebab RM50 jer. Itu baru sofa, belum kira perabot dan barangan elektrik yang lain lagi. Padahal, kalau tak ada sofa di rumah pun tak menjadi masalah bagi orang muda macam kita. Bukannya ada sakit-sakit lutut macam orang lama.

Lagi malang, ada yang terpaksa kerja overtime sebab pendapatan bulanan tak cukup untuk tampung perbelanjaan dan melangsaikan hutang. Hidup begini, sesuai benar dengan pantun dua kerat yang bunyinya:

Keluar pagi balik petang,
cukup bulan bayar hutang!

Tanamkan Azam Dari Sekarang

Berazamlah untuk keluar dari belengu hutang. Insyaallah, dengan berkat usaha dan tawakkal, suatu hari nanti Allah keluarkan kita semua dari belengu hutang. Barulah seronok hidup ini untuk lebih berperanan sebagai khalifah Tuhan.

Wallahu ‘alam.

Zulkifli
Damansara Damai
8 Jun 2008, 11,41 pagi
4 Jamadil Akhir 1429

(Kredit foto : theinvestmentpropertyguide)

{ 0 comments… add one now }

Leave a Comment

{ 1 trackback }

Previous post:

Next post: