MLM: Merubah Ayam Menjadi Helang?

by on April 19, 2010

Berubahlah dari seekor ayam daging yang diberi makan kepada helang yang bebas memilih makanan. Bukan sekadar cacing, bahkan kambing gunung pun boleh jadi rezeki seekor helang!

Satu Lagi Bisnes MLM

Semalam, saya di approach oleh rakan kepada rakan. Katanya nak tunjuk peluang bisnes. Saya memang agak open untuk melihat apa sahaja peluang bisnes. Kebetulan nak bawa anak-anak bermain di playground di McDonald Damansara Damai, so saya pun join sekali ke busines sharing tu.

Ikut pada yang dimaklumkan, bisnes yang nak dikongsikan ialah Skor A, tapi bila jumpa, bisnes lain yang dikongsikan. Oklah, at least satu lagi bisnes MLM yang sampai ke pengetahuan saya.

Agak impressive juga dua orang ‘presenter’ tu. Pakai smart, macam pergi office. Seorang bekas guru, seorang bekas professor universiti. Umur akhir 40an, rasanya. Datang dengan BMW5 Series. Terasa agak rendah diri juga sebab saya cuma berbaju t-shirt (walaupun berpakaian kemas). Langkah pertama, saya sudah ‘tewas’.

Jiwa Terganggu Dengan Bisnes Bermalas-Malas

Oklah, dengan rendah diri, saya mendengar presentation tu. Cuma bila keluar perkara di bawah, ah… jiwa saya terganggu:

  1. Bisnes ni senang, tak payah keluar duit. Cuma bagi salinan IC, salinan kad kredit (dan saya lupa lagi dokumennya), dah siap pinjaman RM10,000 dengan Hong Long Bank! Sekarang kami nak tolong anda dapatkan duit! (Dalam hati saya, “itu bukan duit aku, itu duit orang. Ish… aku cukup tak gemar dengan hutang!”)
  2. Lepas dapat pinjaman, guna RM6,000 untuk masuk bisnes ni, RM4,000 untuk cover overhead. Lepas tu, cari 5 orang kawan untuk dapat duit (buat loan) RM10,000 dan masuk bawah kita, kita akan dapat balik RM10,000 dan kita boleh settle balik loan kita. Tak susah, cari 5 orang jer! (Dalam hati saya menambah, “lepas dapat 5 orang, kita pun selamat… kemudian giliran 5 kawan kita tu pulak cari orang-orang dia kalau dia pun nak ‘selamat’”)


  3. Tak payah jual barang, tak payah pergi meeting. Kita cuma tolong kawan kita dapat duit. Very simple! (Dalam kepala saya, “mana ada bisnes tak jual barang atau perkhidmatan? Adakah bisnes ni benar-benar genuine kalau produk tak begitu penting? Sampai bila boleh bertahan? Mungkin selagi ada orang masuk dalam network kita!”)

  4. Dan macam-macam lagi ‘perhiasan’ yang disolek dengan nada Islamik. Berulang-ulang kali diperingatkan, bisnes ni kita tolong orang! Tolong orang! Tolong orang dapat duit! (Dalam kepala saya, “Ish, nak tolong orang, atau nak ambik kesempatan atas orang?”

Adoi… kawan-kawan, cuba belajar dan selidik kenapa orang kaya itu kaya, dan kenapa orang miskin itu miskin. Adakah orang kaya jadi kaya sebab dia banyak duit? Dan adakah orang miskin itu miskin sebab tak ada duit?

Kenapa Si Kaya Menjadi Kaya?

Inilah ramai yang orang tak faham. Kalau si miskin bermain loteri, dan dia dapat hadiah RM1,000,000, dia akan jatuh miskin! Duit dia memang banyak untuk seminggu dua, tapi dia akan tetap kembali miskin.

Kenapa? Sebab nilai dan cara dia berfikir masih lagi seorang miskin. Diri dia belum lagi dilengkapi dengan ilmu, kemahiran, nilai, dan cara berfikir seorang kaya. Ia persoalan dalaman, bukan sekadar duit dalam poket.

Merubah Diri Perlukan Masa

Menurut Cikgu Zainal (bukan nama sebenar), katanya “saya boleh jadi Diamond Director dalam masa sebulan! Dah dapat kereta BMW5 Series, income lebih kurang RM10,000 sebulan”

Adoi… kawan-kawan, duit memang boleh dapat, tapi adakah nak tingkatkan ilmu, kemahiran, nilai, dan cara kita berfikir, merubah mentaliti dari seorang pokai kepada orang kaya hanya makan masa satu bulan? Mustahil kawan-kawan.

Pendapatan Berkadar Terus Dengan Self-Image

Robert T. Kiyosaki cukup-cukup jelas tentang perkara ni.

Katanya dalam buku hasil kajiannya tentang MLM bertajuk The Business School For People Who Like Helping People, “untuk merubah dari seorang bermentaliti ‘pokai’ kepada seorang kaya sekurang-kurangnya memakan masa 2 – 5 tahun”. Beliau tak bercakap tentang duit yang kita dapat dari MLM, tapi ilmu, kemahiran, nilai dan cara kita berfikir. Itulah yang penting bila nak jadi kaya.

Mentor kami selalu pesan, “Your income will not exceed your self-image”. Pada mulanya saya tak berapa faham apakah dimaksudkan self-image. Apakah penampilan diri? Self-image bukan penampilan diri, tapi apakah nilai dalaman diri kita yang akhirnya terzahir ke luar. Self-image maksudnya “what do you think other people think of you”. Apakah kita rasa orang lain fikir tentang kita.

Memang benar. Bisnes maksudnya kita berhubung dengan manusia. Apakah orang lain fikir tentang kita, memberi impak terus pada pendapatan kita. Bukan sahaja bisnes, dunia pekerjaan pun begitu. Sikap, akhlak, peribadi, ilmu, kemahiran, perkataan-perkataan yang keluar dari mulut kita, memberi impak terus pada pendapatan kita.

Kalau nak besar pendapatan, kerja keras yang perlu dibuat ialah tingkatkan self-image. Perbaiki hal-hal dalaman. Flush pemikiran yang negatif dan pesimis. Tanamkan tabiat-tabiat yang betul. Pertingkatkan diri dengan membaca, mendengar CD yang membina, dan bergaul dengan orang yang positif dan berjaya. InsyaAllah, lambat laun pendapatan akan meningkat, berkadar terus dengan self-image yang meningkat.

Dan baru saya faham, kenapa guru kepada mentor kami boleh mengagak, berapa pendapatan seseorang hanya setelah berbual selama 5 minit! Kerana beliau benar-benar mahir ‘membaca’ self-image seseorang individu.

Kaya Bukan Persoalan Poket

Kaya bagi Kiyosaki adalah merubah diri kita, bukan sekadar poket kita. Pendek kata, kalau kita tarik harta kekayaan pada orang kaya (yang beliau maksudkan), dia akan hilang kekayaan sekejap sahaja, dan tetap bangkit kembali menjadi seorang kaya! Dia benar-benar berjati diri seorang kaya!

Dari situ saya teringat huraian Ustaz Pahrol tentang ayat “Sesungguhnya Allah tak akan merubah nasib sesuatu kaum sehinggalah mereka berubah DIRI mereka sendiri”. Menurut Ustaz, kita tak boleh ubah nasib, tapi kita boleh ubah diri kita. Ubah ilmu, kemahiran, nilai-nilai dalaman, dan cara kita berfikir, insyaAllah Tuhan akan ubah nasib kita.

Jadilah Seekor Helang

Kalau masih bermentaliti seorang ‘pokai’, masih pekat dengan nilai-nilai seorang pekerja dalam berbisnes, masih lagi mencari jalan senang untuk senang, masih belum dapat atasi rasa takut dengan cabaran, masih rimas berhadapan pelbagai kerenah manusia, lupakanlah untuk menjadi seorang kaya. Lupakanlah… dalaman kita belum lagi seorang kaya walaupun luaran kita berlagak seperti si kaya. Itu orang kaya yang miskin namanya.

Sabar kawan-kawan… Pertingkatkan diri… Jangan risau bab duit dan kekayaan. Ia akan datang bila kita sudah berubah. Walau apa pun bisnes yang anda buat, fokuslah pada mengubah diri, bukan sekadar poket. Berubah dari seekor ayam daging yang diberi makan kepada helang yang bebas memilih makanan. Bukan sekadar cacing, bahkan kambing gunung pun boleh jadi rezeki seekor helang!

Pointnya, ubahlah diri, bukan sekadar ubah poket! Kalau diri berubah, insyaAllah poket pun akan turut berubah…

(Bersambung…. diskusi bersama Prof. Zain dalam artikel “MLM: Awasi Pemburu Kepala”)

Zulkifli
Damansara Heights
19 April 2010
5 Jamadil Awal 1431

Previous post:

Next post: