MohdZulkifli.Com

Motivasi Kewangan & Simpanan Emas

DIA Menyuruh dan Melarang Kerana Sayang

April 23, 2008

Muslim – Menyerah diri sepenuhnya kepada Pencipta

(sambungan artikel “Islam: Jalan Mendapat Apa Yang Kita Cita” )

Siapakah “Muslim”?

Persoalan seterusnya, siapakah yang ‘layak’ digelar “muslim”?. Menurut definisi kita tadi, sesiapa sahaja makhluk Tuhan yang tunduk dan patuh kepada Tuhan, dia adalah “muslim” [An-Nisa’ 4: 125]. Sebaliknya sesiapa yang ingkar, dia itu “kafir”.

Rupa-rupanya, makhluk Tuhan ada yang diberi pilihan dan ada yang tak diberi pilihan. Yang diberi pilihan, mereka boleh memilih sama ada mahu taat, ataupun ingkar. Manakala makhluk yang tak diberi pilihan, mereka taat dan menyerah diri 100% kepada Tuhan.

Jin dan Manusia, Makhluk Yang Diberi “Pilihan”

Dua makhluk Tuhan yang diberi pilihan ialah Jin dan Manusia. Sebab itulah Nabi Muhammad S.A.W digelar “saiyyidul jinni wal bashar” iaitu penghulu segala jin dan manusia. Manusia ada yang muslim, dan ada yang kafir. Begitu jugalah dengan jin. (Syaitan juga termasuk golongan jin)

Sesiapa sahaja yang memilih untuk tunduk dan patuh kepada Tuhan, dia akan selamat, sejahtera, aman, damai, tenang, dan bahagia di Dunia mahupun di Akhirat. Manakala sesiapa yang ingkar, tak payah tunggu di Akhirat, di dunia lagi pun hidup mereka tak selamat, tak tenang dan tak bahagia sebagaimana yang mereka cita.

Itulah janji Tuhan kepada makhluknya, dan tiada sesiapa yang lebih menepati janji selain Dia.

Makhluk Yang Tidak Diberi “Pilihan”

Makhluk lain selain jin dan manusia, tak diberi pilihan oleh Tuhan. Mereka taat 100% kepada Tuhan [Al-Baqarah 2: 12 dan Ar-Ra’d 13: 15]. Malaikat sebagai contohnya, tak pernah ingkar akan suruhan ataupun larangan Tuhan. Matahari, bulan dan bintang pun tiada pilihan melainkan turut sama patuh secara 100% kepada Tuhan. Mereka mengikut suruhan Tuhan supaya berputar di atas paksi yang Tuhan tetapkan untuk mereka.

Kalaulah mereka diberi pilihan, dan memilih untuk ingkar, maka hancur leburlah mereka. ‘Hidup’ mereka akan huru-hara. Mereka tak akan mendapat “selamat” sebagaimana yang Tuhan janjikan. Sama jugalah dengan manusia dan makhluk yang lainnya.

Tuhan Menyuruh dan Melarang, Semuanya Untuk Kebaikan Kita

Apabila ingkar, musibahnya hanyalah pada diri sendiri. Tuhan sedikit pun tak tergugat dengan keingkaran makhlukNya. Sebab itulah Tuhan berkali-kali ingatkan kita di dalam Al-Quran bahawa kerugian bagi yang ingkar adalah pada diri mereka sendiri.

Contohnya, Tuhan suruh kita menutup aurat supaya kita semua “selamat”. Wanita yang menutup aurat, akan selamat dari gangguan lelaki yang jahat. Bukan sahaja wanita itu selamat, tetapi juga menyelamatkan para lelaki daripada menjadi jahat. Kes rogol misalnya, wanita yang dirogol kekadang bukan disebabkan tak menutup aurat, tetapi disebabkan wanita lain yang tak menutup aurat, dan ‘mendesak’ lelaki menjadi jahat.

Begitulah sedikit contoh, supaya kita nampak KESAN “taat atau ingkar” kepada Tuhan. Semua syariat Tuhan yang berupa suruhan ataupun larangan, tak lain tak bukan hanyalah untuk faedah kita sebagai makhlukNya. Dialah yang lebih (Maha) mengetahui kerana Dialah yang mencipta.

Wallahu ‘alam.

Moga kita semua tergolong dalam makhlukNya yang tunduk dan patuh kepadaNya. Itulah dia jati diri seorang muslim yang mukmin.

Wassalamu a’alaikum.

Zulkifli
Damansara Damai
13 April 2008, 8.21 pagi

Artikel pendek ini, mungkin relevan untuk diskusi usrah peringkat pengenalan (Ta’arif), di bawah tajuk “Islam Sebagai Ad-Deen”.

Tentang Penulis

Mohd Zulkifli Shafie

Penulis buku bestseller; Wang Emas, dan Misi Bebas Hutang.

Menulis tentang kewangan sejak 2008. Berpengalaman membimbing lebih 7,000 penyimpan emas secara peribadi di Malaysia, Indonesia, Singapore dan Brunei sejak 2010.

Merupakan pengasas G100 Network; network terbesar dealer Public Gold (syarikat pengeluar emas terbesar di Malaysia), yang memberikan servis kepada lebih 500,000 penyimpan emas di seluruh Asia Tenggara.

{"email":"Email address invalid","url":"Website address invalid","required":"Required field missing"}
>