MohdZulkifli.Com

Motivasi Kewangan & Simpanan Emas

Islam Bukan Bermula 1400 Tahun Lalu

“Bukankah agama Kristian, Hindu dan Budha lebih awal daripada Islam?

Apa nasib ummat-ummat sebelum kenabian Muhammad S.A.W? Adakah mereka semua kafir?” 

Itulah antara persoalan yang pernah bermain difikiran saya suatu ketika dahulu. Ish, agak susah saya menjawab persoalan yang asas sebegitu.

Alhamdulillah, kuliah Ramadhan 1427 – dua tahun yang lalu, saya pelajari sesuatu yang baru tentang Islam melalui ceramah yang disampaikan oleh Dr. Abdullah Yasin, Kedutaan Arab Saudi. Ia menjawab persoalan-persoalan asas tersebut. Melalui sedikit ‘pengajian’ saya daripada Dr. Abdullah dan juga Saudara Shah Kirit (http://www.shahkirit.com/), saya nukilkan di sini sebagai nota buat diri.

Setiap Ummat Ada Dua Persaksian

“Laa ilaaha illaallah, Muhammadur rasuulullah”

Itulah syahadah (persaksian) kita, yang melayakkan kita digelar muslim. Kalimah yang kita lafazkan setiap hari terutamanya ketika solat rupa-rupanya mengandungi dua persaksian:

Persaksian pertama “Laa ilaaha illaallah” ialah persaksian Ketuhanan iaitu supaya manusia mengesakan Tuhan (tauhid), dan menolak segala makhluk daripada disama-tarafkan sebagai “Tuhan”. Menolak segala sembahan dan perhambaan selain dari Tuhan yang Maha Esa, yang menjadikan manusia, langit dan bumi serta segala isinya [An-Nahl 16: 36].

Persaksian kedua “Muhammadur rasuulullah” ialah persaksian Kenabian. Bagaimana Tuhan itu diesakan adalah mengikut syariat Nabi yang diutuskan pada setiap kaum dan zaman [Al-Hajj 22: 67]. Syariat Nabi Adam a.s. misalnya, masih dibenarkan berkahwin sesama adik beradik. Namun begitu, syariat itu terhapus ketika zaman Nabi Nuh a.s. Bagi ummat Muhammad pula, Tuhan telah menghapuskan segala syariat yang berat sebagaimana ditanggung oleh Bani Israel seperti disyariatkan membunuh diri sebagai syarat sah taubat, membuang bahagian pakaian yang terkena najis dan sebagainya [Al-A’raaf 7: 157].

Aqidah Sama, Syariat Berbeza

Semua Nabi membawa seruan aqidah yang sama iaitu kalimah “La ilaaha illallah”. Tiada Tuhan yang patut diperhambakan diri melainkan Allah. Aqidahnya sama, cuma syariat antara Nabi sedikit berbeza. Syariat yang diturunkan Tuhan semuanya untuk mengajar manusia bagaimana caranya manusia tunduk dan patuh kepada Tuhan. Dengan syariat itu, manusia akan selamat dan bahagia di Dunia, mahupun Akhirat.

Suatu ketika dahulu, saya fikir Islam datang 14oo tahun yang lalu iaitu setelah kenabian Muhammad S.A.W. Maksudnya, agama lain di dunia seperti Hindu, Kristian dan Budha lebih awal dari Islam. Dan seingat saya, itulah juga yang diajar ketika mempelajari subjek sejarah tamadun dunia.

Islam Bukan Bermula 1400 Tahun Lalu

Oh! Rupa-rupanya ia silap sama sekali. Mana mungkin semua yang lahir sebelum kedatangan Muhammad adalah kafir. Saya sedar, betapa Maha Adilnya Tuhan. Islam yang diturunkan Tuhan merupakan agama semenjak azali lagi, iaitu semenjak terciptanya manusia pertama (Adam). Bukannya 1400 tahun yang lalu. Muhammad S.A.W bukanlah pengasas atau pemula Islam, tetapi baginda adalah khatamul anbiyaa’ – Nabi Terakhir, yang tiada lagi Nabi setelah baginda. Baginda adalah penutup, bukan pemula kepada Islam.

Setiap Manusia Asalnya Muslim
(selalu disebut Islam itu agama fitrah)

Setiap manusia asalnya ialah muslim. Lahirnya setiap manusia, semuanya berkeadaan fitrah – suci bersih daripada dosa. Mereka semua ketika di alam roh, telah berbai’ah (berjanji taat setia) persaksian mereka kepada Tuhan yang Esa [Al-A’raaf 7: 172]. Apabila lahir ke dunia, mereka lupa akan persaksian itu. Oleh yang demikian, mereka semua perlu dibimbing mengenali Tuhan yang mereka saksikan dahulu, supaya kembalinya (mati) mereka kepada Tuhan dalam keadaan fitrah sebagaimana mereka datang. Disitulah peranan pendakwah, ibubapa khususnya.

Revert, Bukan Convert

Mereka yang memeluk Islam, bukan bererti “convert” (menukar), tetapi “revert” (kembali) kepada agama fitrah mereka – Islam. Mereka kembali kepada Tuhan yang mereka saksikan di alam roh dahulu. Dan Tuhan itulah juga yang menjadi Raja di hari manusia menerima pembalasan atas segala amalan ketika dunia [Al-Faatihah 1: 4].

Moga kita semua selamat kembali kepada Tuhan dalam keadaan muslim – menyerah diri sepenuhnya kepada Tuhan. Berjaya di garisan penamat (husnul khaatimah) itulah kemuncak kejayaan kita di dunia.

Wallahu ‘alam.

Wassalamu a’alaikum.

Zulkifli
Damansara Damai
6 Mei 2008

Artikel ini, mungkin relevan untuk diskusi di dalam usrah peringkat pengenalan (Ta’arif), di bawah tajuk “Aqidah Muslim – Syahadah”.

Tentang Penulis

Mohd Zulkifli Shafie

Penulis buku bestseller; Wang Emas, dan Misi Bebas Hutang.

Menulis tentang kewangan sejak 2008. Berpengalaman membimbing lebih 7,000 penyimpan emas secara peribadi di Malaysia, Indonesia, Singapore dan Brunei sejak 2010.

Merupakan pengasas G100 Network; network terbesar dealer Public Gold (syarikat pengeluar emas terbesar di Malaysia), yang memberikan servis kepada lebih 500,000 penyimpan emas di seluruh Asia Tenggara.

{"email":"Email address invalid","url":"Website address invalid","required":"Required field missing"}
>