Fungsi CA – Kelab Alumni
Saya nampak, memang terlalu sukar untuk jadikan CA sebagai ‘badan dakwah’ yang mentarbiyyah ahli. Saya secara peribadi gagal mencari formula ideal itu untuk CA.
Yang saya nampak, CA adalah medan bertemu sesama sahabat. Bertemu secara fizikal, mahupun di alam siber. Moga dalam pertemuan itu juga adalah tarbiyyah. Solehnya sahabat-sahabat dapat memberi kesan kepada kita. Kerana dalam persahabatan (yang soleh) itu juga ada bekalan (iman) kata Kak Ani.
Usrah Alumni
Pasal usrah ni, saya agak buntu. Keluarga CA yang semakin membesar membuatkan usrah cara konvensional dah tak relevan lagi. Rumah kita yang sempit, memang tak lagi sesuai untuk pertemuan usrah.
Tambahan pula, ahli-ahli kita yang sudah beranak-pinak, memang tak sesuai membuat pertemuan lebih daripada satu jam. Bukan 1 jam, bahkan mungkin setengah jam pun anak-anak kecil kita dah mula boring dan meragam untuk menunggu lebih lama.
Usrah Siber?
Em, saya pun tak tahu macam mana usrah yang ideal bagi CA. Saya nampak, jalan mengislah sesama sahabat ialah dengan bertemu dan berbual di alam siber, dan saling berziarah yang mana termampu. Menulis blog, dan berziarah di blog-blog sahabat juga satu cara untuk kita mengekalkan ukhuwwah sesama sahabat.
Nak berkumpul semua? Tunggulah HAMCA atau Hari Keluarga peringkat Zon masing-masing. Ataupun lain-lain gathering yang sama waktu dengannya.
Hidup Tanpa Jamaah
Kalau rasa gersang dari pengisian, saya pernah kongsikan tipsnya di artikel “Kembali Beriltizam Bila Iman Dibangunkan” dalam blog saya. Itulah nasihat saya untuk diri sendiri dan sahabat.
Pentingnya pengisian, dan juga sentiasa hidup berjemaah bukan untuk jemaah, tetapi untuk diri sendiri. Hidup tanpa berjemaah dan tak bergaul dengan masyarakat adalah hidup yang sangat membosankan. Bahkan boleh membahayakan iman kita. Syaitan-syaitan jin dan manusia mudah benar ‘membaham’ orang begini kata Nabi S.A.W.
Paksa Sampai Rasa Selesa
Nasihat saya juga, paksalah diri untuk jadi kaki surau dan masjid. Paksa diri ke majlis ilmu. Paksa, paksa dan paksa sampai dah rasa SELESA. Bahkan mungkin sampai rasa terseksa kalau tak dapat ke surau, masjid dan majlis ilmu. Kerana tempat-tempat itu ramai orang soleh. Moga wangian iman dan taqwa orang soleh itu juga terlekat pada kita.
Bila selalu ke surau dan masjid, dan bergaul dengan orang yang soleh, insyaAllah kita tak akan gersang dari pengisian. Hidup jadi bahagia dan lebih gembira insyaAllah.
Kejar Akhirat, Ingat Dunia
“Carilah Dunia, tapi jangan lupa akhirat” adalah ungkapan yang kurang tepat kata seorang sahabat. Yang betulnya ialah “carilah Akhirat, tapi jangan lupa dunia” kerana Akhirat tempat kekal kita. Akhirat tempat tuju, dunia tempat singgah.
Ish, cukuplah berceloteh. Cakap memang senang. Takut-takut tak terbuat apa yang saya cakap. Sekadar memperingati diri sendiri yang selalu alpa.
Wallahu a’lam.
Zulkifli
Damansara Damai
Resolusi HAMCA 2005 di Cameron Highland; tiga komitmen setiap alumni PMI iaitu:
1- Infaq Bulanan RM10 secara berterusan kepada PMI;
2- Hadir usrah berkala zon masing-masing apabila dianjurkan; dan
3- Hadir HAMCA setiap kali di anjurkan.
Kalau setiap Alumni komited dengan yang no. 1, saya raya itu sudah cukup baik dari sudut peranan kita sebagai alumni PMI.