Malam tadi bermulanya Liga Futsal Belia Subang. Saya ditugaskan mengurus gelanggang A di Paya Jaras. Gelanggang B diurus oleh Akhi Azuandi.
Tak Sihat
Sebenarnya dari pagi lagi badan rasa tak selesa. Sakit tekak, badan lemah, mulut kena ulcer, dan kepala sakit. Habis office hour, saya terus buka email pengarah program untuk tengok checklist tugasan saya pada malamnya. Kemudian contact semua petugas Gelanggang Paya Jaras, pengadil jemputan, dan semua ketua pasukan untuk ingatkan tentang perlawanan.
Selesai semua tugas, baru balik rumah. Sampai rumah dalam pukul 8.15 malam. Letih betul rasa badan. Sempat rebahkan badan dan letakkan kepala pangkuan isteri. Isteri sapukan minyak angin, dan picit-picit kepala. Anak-anak nakkan layanan, tapi saya tak dapat layan – tak larat.
Sukan Jambatan Dakwah
Kuatkan badan, isi perut dengan makan malam sikit. Lepas tu terus siap-siap untuk ke gelanggang. Kalau ikutkan badan, memang tak larat, tapi sebab tanggungjawab, kena laksanakan juga.
Liga Futsal ni sebenarnya nak tarik golongan muda supaya dekat kepada Islam. Sebelum mesej dakwah disampaikan, pastinya pendakwah kena bina Jambatan Dakwah dulu. Main bola dan sukan begini, salah satu cara yang baik untuk bina Jambatan Dakwah.
Lebih kurang jam 9.20 saya sampai di gelanggang. Dua orang pengadil (bertauliah) India dah stand-by untuk perlawanan. Lebih kurang jam 9.40 perlawanan pertama bermula – Damai Muhtadin vs Indraloka.
Buat Seadanya, Apa Termampu
Sepatutnya, sambil mengurus, saya kena main wakil pasukan Damai Muhtadin. Tapi badan tak larat, tambah dengan kaki belum baik – terseliuh dua minggu lepas. So, saya cuma mengurus dan menonton.
Malam tadi penat sikit sebab petugas tak cukup. Cuma saya dan Akhi Suffi yang handle game malam tadi. Air minumam sepatutnya disediakan, tapi tak sempat nak bancuh. Hella (pembesar suara) pulak tak ada – digunakan di Gelanggang B. Nak buat pengumuman kena menjerit la sikit. Meja urusetia pun tak ada. Checklist dan dokumen perlawanan di tangan saya pun jadi bercelaru.
Masa telefon Suffi petang tu, kami dah bincang, just buat apa yang ada. Janji perlawanan berjalan mengikut jadual. Kekurangan, akan di baiki pada game akan datang. “Kita buat mudah jer Zul. Jangan susah-susahkan” pesan Suffi. Oklah, saya memang dah bersedia.
Overload Dengan Tanggungjawab
Habis perlawanan lebih kurang 11.10 malam. Saya terus ke Gelanggang Sungai Buloh untuk serahkan keputusan kepada Riyadh - Pengarah. Kat sana Ustaz Wan (Ketua Pemuda) pun ada sekali.
Sebelum tu Ustaz Wan ada call, tapi tak sempat angkat. Tengah handle game. Saya tak pasti kenapa Ustaz Wan call. Rasanya mungkin sebab sms saya tengahari tadi, mohon undur diri dari jawatan Exco Pemuda Subang – sebab saya dah overload dengan jawatan dan tanggungjawab.
Saya nak fokus pada khidmat masyarakat Damansara Damai. Banyak agenda di Damansara Damai, tapi tak berapa jalan. Nak buat semua, tapi semua tak menjadi. Sebab tu saya fikir, saya kena fokus pada satu dua benda saja. Biar ia betul-betul menjadi.
Lemah Semangat
Lepas serah keputusan pada Riyadh, catatan saya kena komen. Katanya ada kekurangan. Uh, saya dah tak boleh fikir dah. Saya minta diri balik awal. Tak sabar dah nak tidur. Badan rasa panas-sejuk.
Dalam perjalanan balik rasa lemah semangat. Badan tak sihat, tapi kuatkan diri. Pastu kena pulak komen. Tak ada apa-apa penghargaan walaupun dengan ucapan “Terima kasih”. Kalau fikir memang kecil hati, tapi, ah, saya tak ambil hati. Saya buat bukan kerana orang, tapi kerana Tuhan. Berbaik sangka. Kerana berbaik sangka adalah penting untuk mengekalkan ukhuwwah.
Kekadang, bila masing-masing sibuk, benda-benda (yang dilihat) kecik ni kita terlepas pandang.
Aisyah ‘Insist’ Duduk Di Rumah
Sampai rumah dalam pukul 11.30 malam. Aisyah buka pintu. “Ish, anak aku belum tidur” saya bercakap sendirian. Sebelum turun gelanggang tadi, Aisyah insist saya duduk rumah jer. “Aisyah nak Papa ajarkan Aisyah (selesaikan buku Matematik)…”. Aisyah menangis, tapi saya terpaksa keluar juga. “Papa nak masuk Syurga, Papa kena selesaikan tanggungjawab di luar (masyarakat) juga” saya cakap sendiri. Susah nak fahamkan Aisyah yang masih kecil.
Sebelum tidur, layan Aisyah buat kerja sekejap sambil pasang telinga dengar perkembangan terkini/ harian dari isteri. Uh, dah nak tidur, letih... Masuk toilet, ambik wudhuk pastu terus rebahkan diri ke tilam.
Sebelum terlelap, sempat pesan pada isteri “Yang, kalau Anis bangun (mintak susu) malam ni, nak mintak Ayang layan yer. Malam ni abang tak larat (macam hari-hari biasa)”. Dan terus terlelap…
Sms ‘Hadiah’ Dari Pengarah
Bagun pagi, buka handphone;
“Salam, ana ucapkan tahniah kepada semua atas kerja dan maaf atas kesilapan yang berlaku. Hargai kesilapan sebagai sesuatu yang berharga. Tahniah sekali lagi” – Riyadh
Sms pukul 12.20 semalam, tapi saya buka dan baca sebaik bagun tidur pagi tadi. Penat semalam rasanya kembali pulih bila baca sms dari pengarah program. Riyadh prihatin rupanya. Semua petugas dihantarkan sms ucapan “terima kasih dan tahniah”.
Belajar Menghargai
Itulah sikap yang sepatutnya ada pada orang mukmin, lagi-lagi seorang pendakwah. Maha Prihatinnya Tuhan, tak ada sikit pun amal kita yang Dia terlepas pandang. Apa yang baik, walaupun sekecil zarah, pastinya Dia akan bagi ganjaran [Az-Zalzalah 99: 7].
Ganjaran kita sesama manusia, tak semestinya diberikan harta atau wang ringgit. Walaupun dengan ucapan “tahniah dan terima kasih”, cukup besar maknanya bagi si penerima. Apatah lagi kita bekerja secara sukarela. Kalau energy level berkurang ke tahap 1, ia mungkin melonjak balik ke tahap 10! Hanya dengan satu ucapan penghargaan.
Belajarlah menghargai, tapi jangan terlalu berharap untuk dihargai…
Zulkifli
Damansara Damai
19 Mei 2009
“Barang siapa yang mengerjakan kebaikan seberat zarah sekali pun, niscaya dia akan melihat (balasan) nya” [Az-Zalzalah 99: 7]
“Apabila kamu dihormati dengan suatu penghormatan, maka balaslah penghormatan itu dengan yang lebih baik, atau balaslah (dengan yang serupa). Sesungguhnya Allah memperhitungkan segala sesuatu” [An-Nisa’ 4: 86]
[Ada lagi satu nas (petikan Hadis/ Quran), tapi saya lupa. Mafhumnya lebih kurang, “jika orang berikan kebaikan pada kita, balaslah juga dengan kebaikan. Setidak-tidaknya dengan mendoakannya”. Kalau sahabat/ pembaca tahu, sila kongsikan untuk manfaat bersama yer. Jazakumullah…]