Masa business presentation bersama rakannya yang lalu, saya nampak macam ada yang tak kena dengan program tersebut. Dan saya yakin, ramai orang Islam akan keliru sebab namanya ialah ta'awoon (tolong menolong).
Terhidu Unsur Riba
Walaupun namanya agak 'mulia', tetapi berdasarkan sistem yang dibentangkan, saya terhidu unsur riba di dalamnya. Mereka fikir, riba boleh terhapus dengan 'ikhlas' - sumbangan ikhlas. Benda ni saya faham masa hadir di Seminar Pengaruh Riba Dalam Muamalat moden di Masjid Damansara Damai tahun lepas bersama Ustaz Zaharuddin Mohamad.
Jadi, dengan cara yang terbaik, saya terangkan pada En. Sharif dan rakannya tentang unsur riba di dalam program tersebut. Saya tak boleh bagi kepastian, tetapi saya minta mereka rujuk pada yang lebih pakar dalam Muamalat Islam. Saya berterima kasih kerana mereka tunjukkan peluang tersebut kepada saya dan saya sangat hargai.
Bisnes Bermalas-malas
Saya agak sangsi sebab program tu tak ada produk, tak payah menjual, tak payah belajar dan semuanya tak payah. Cuma masuk dan bagi 'sumbangan' sahaja, kemudian rekrut orang ramai masuk dalam network kita.
Saya sebenarnya memang terbuka untuk sesiapa sahaja tunjukkan peluang, tetapi peluang yang semuanya "tak payah", jawapan saya biasanya ialah "tak payah".
Pada saya, duit bukan segala-galanya. Duit itu perlu, tapi apa yang menjadi keutamaan saya ialah value (nilai) yang dipakejkan bersama duit. Memang betul boleh dapat duit, tapi kalau ada elemen haram, syubhah, mengambil 'kesempatan', dan bermalas-malas, saya tak begitu teruja. Peluang 'bisnes' yang semuanya "tak payah" hanya sesuai untuk orang yang malas!
Bukan Bisnes "Tak Bagus"
Orang yang malas memang tak akan berjaya. Sekalipun dah 10 jenis bisnes mereka join, semuanya tak akan menjadi. Malangnya, orang kitalah (Melayu) yang suka dengan bisnes yang malas. Sebab tu orang Melayu ramai yang tertipu dengan skim-skim cepat kaya!
Dah 10 bisnes dia join, tapi tak satu pun menjadi. Semuanya habis duit, bukan dapat duit. Alasan mereka mudah, "bisnes tu tak bagus"!
Sebenarnya bukan bisnes "tak bagus", tapi diri sendiri yang "tak bagus". Suka cari jalan mudah, suka bisnes yang "tak payah" buat itu dan ini. Tapi berangan-angan nak jadi jutawan!
Ingat Mengingati Sesama Teman
Lepas baca artikel Ustaz Zaharuddin tentang program wang pos tu, saya terus sms pada En. Sharif dengan cara terbaik supaya beliau rujuk artikel tersebut. Sebagai kenalan, saya ada tanggungjawab untuk ingatkan beliau. Sharing is caring...
Terkejut!
Tetiba datang satu sms kepada saya mengecam kerjaya saya, mengaitkan pencarum KWSP terlibat dosa sebab pelaburan KWSP yang tak halal 100% dan macam-macam lagi. Dan semua dakwaan beliau tersebut saya dah ada jawapannya. Semuanya dah dijawab oleh Ustaz Zaharuddin dalam buku "Wang, Anda dan Islam" yang tersusun elok di workstation saya ni.
Kalau ikutkan, teringin nak jawab satu persatu tetapi berdasarkan pengalaman, saya belajar satu pelajaran hidup yang penting iaitu tinggalkan perdebatan!
Tinggalkan Perdebatan
Ya, tinggalkan perdebatan adalah lebih baik kalau perdebatan itu bermotifkan menang-kalah. Bukan nak cari kebenaran. Sebabnya, perdebatan begitu biasanya merugikan.
Pertama rugi masa melayannya. Kedua rugi emosi melihat orang yang membutakan mata dan memekakkan telinga dari kebenaran. Dan yang paling penting ialah merugikan persahabatan. Perdebatan menang-kalah biasanya akan berakhir dengan mencalar persahabatan.
Jadi, saya buat keputusan untuk tinggalkan perdebatan. Sekurang-kurangnya saya tak rugi sms membalas hujah. Tugas saya cuma memberi peringatan, dan biarlah Tuhan yang merubahnya. Dan memang itulah pesanan Tuhan berkali-kali dalam Al-Quran kepada Nabi S.A.W iaitu supaya menyampaikan kebenaran dan memberi peringatan. Bukan merubah...
Wallahu a'lam.
"Janganlah bertengkar dalam apa juga perkara sekalipun kerana pertengkaran yang kosong tiada memberi apa-apa kebaikan" - Asy-Syahid Hassan Al-Banna
"Sesungguhnya kamu tidak akan dapat memberi petunjuk kepada orang yang kamu kasihi, tetapi Allah memberi petunjuk kepada orang yang dikehendaki-Nya, dan Allah lebih mengetahui orang-orang yang mahu menerima petunjuk" [Al-Qasas 28:56]
Zulkifli
Damansara Heights
12 Oktober 2009
[…] Tinggalkanlah Perdebatan […]