Belasungkawa – Allhuyarham Hilmy Hamzah

by on May 23, 2011

Terkejut dengan berita pemergian Abe Mie – Allahuyarham Muhammad Hilmy Hamzah. Baru jer kami berziarah beliau sekeluarga, seminggu lepas kelahiran anak ke-5 beliau dua bulan lepas.
“Zul anak berapa orang?”
“Lima orang Abe Mie. Ada seorang lagi tidur dalam kereta. Yang ni anak ke berapa Abe Mie?”
“Oh, sama la dengan Abe Mie. Abe Mie pun anak yang lima orang. Yang ni nama …., yang tu namanya…” beliau perkenalkan seorang demi seorang anaknya yang aktif dan comel-comel.
Abe Mie adalah abang sulong kepada sahabat karib saya, Hifdzi Hamzah. Anak saya yang ke-5, kami suami isteri ‘ciplak’ dari nama beliau, dengan izin beliau sendiri. Dan saya memang kenal, Hifdzi sekeluarga memang orang baik-baik.
Pada hemat saya, mereka sekeluarga memang jenis orang yang tak tinggal qiamullai. Seama bersahabat dengan Hifdzi, saya tak pasti bila dia tinggal solat tahajjud. Setiap kali bangun subuh, biasanya Hifdzi dah siap bersimpuh disejadah.
Masa jumpa Abe Mie hari tu, kami bersembang pasal pendidikan anak-anak. Beliau memang pastikan anak-anaknya bersekolah di sekolah yang Islamik. Habis duit pun tak apa katanya.
“Macam kita dulu la Zul. Macam mana boleh lekat kopiah dikepala kita? Bukan ker sebab kita bersekolah agama? Kalau tak sekolah agama, ish… nak lekat kopiah pun rasa janggal. Itu baru kopiah, belum lagi hal-hal agama yang lain…” jelas Abe Mie. Itulah yang saya ingat lebih kurang perbualan kami.
Jumaat lepas, genap seminggu pemergian Abe Mie. Saya hadir ke majlis tahlil arwah beliau di pejabatnya di Batu Caves. Penuh orang yang hadir. Entah dari mana. Yang bergelar “Dr.” pun ada. Lepas habis tahlil, saya tunggu dan duduk sembang-sembang dengan Hifdzi dan sahabatnya yang cedera ringan tu. Belia cerita detik-detik lepas kemalangan.

“Alhamdulillah… syukur dengan ilmu agama. Kami sekeluarga dapat terima pemergian Abe Mie secara bulat. Tak ada kekecewaan. Cuma, rasa kehilangan tu biasalah”

Kata Hifdzi, “Walaupun ramai insan yang kita sayang dalam hidup ni, mereka bukanlah milik kita. Bahkan diri kita sendiri pun bukan milik kita. Kita semua milik Pencipta. Dia berhak panggil kita bila-bila masa. Tak cepat, tak lambat walaupun sesaat. Kita redha jer lah…”

Memang benar tazkirah Hifdzi. Cepat atau lambat, kita semua pasti berpisah dengan semua orang yang kita sayang. Kalau tak hari ni, esok. Kalau tak esok, lusa. Pergi, tetap akan pergi. Cuma masa jer yang menentukan.

Zulkifli
Damansara Heights
23 Mei 2011
20 Jamadil Akhir 1432

{ 0 comments… add one now }

Leave a Comment

Previous post:

Next post: