Sewaktu saya menunggu isteri membeli barang di sebuah kedai, ada seorang jurujual UNIFI minta saya snap foto di booth UNIFI yang baru dibukanya betul-betul berhadapan kedai. Jurujual (berumur sekitar awal 20-an) itu nak hantar foto kepada bossnya sebagai bukti dia bertugas membuka booth. Sebaik sahaja snap foto, saya terus tanya, adakah dia dibayar gaji tetap ataupun komisyen? Jawabnya gaji tetap, RM1,000 sebulan katanya. Ada sales atau tak ada sales, tetap RM1,000 hanya dengan menjaga booth.
Saya pun terus mencongak potensi pendapatan sebagai ejen UNIFI. Suatu ketika dahulu, saya pernah menjadi ejen UNIFI secara sambilan. Kalau tak silap saya, komisyen sekitar 150%. Maksudnya, kalau customer sign-up pakej RM150 sebulan, kita dibayar komisyen sekitar RM200 lebih. Jadi kalau setakat nak dapat gaji RM1,000 sebulan, kita hanya perlu dapatkan 5 pelanggan sahaja!
Fokus Potensi Masa Depan
Saya fikir, satu bulan bekerja, takkan tak boleh dapat 5 pelanggan? Kalau kerja kuat sedikit dan dapatkan 10 pelanggan, boleh dapat komisyen lebih RM2,000 sebulan. Nah, mana lebih baik, gaji tetap RM1,000 sebulan atau komisyen yang potensi lebih besar? Pada saya, ambil komisyen lebih baik.
Saya perhati, apa yang bagusnya bila makan komisyen; kita terpaksa majukan diri kita sendiri. Kita tak akan menunggu gaji tetap jatuh ke riba, sebaliknya kita akan bekerja lebih keras. Motivasi kerja akan jadi lebih tinggi, dan kita terpaksa asah kemahiran diri kita sendiri supaya lebih pandai menjual. Maka produktivi akan jadi lebih tinggi, insyaAllah…
Saya teringat waktu tahun pertama saya bekerja, gaji saya yang mempunyai segulung IJAZAH hanyalah RM1,600 sebulan. Tetapi isteri saya hanya bekerja sebagai salesgirl jual pin Aman Malaysia (waktu itu), pendapatannya lebih RM100 sehari! Maksudnya kalau dia bekerja 20 hari sebulan, komisyennya lebih RM2,000! Dan dia hanyalah pemegang DIPLOMA… Tiap-tiap pagi sebelum memulakan kerja, dia dilatih oleh supervisor dengan tips menjual yang akan dipraktikkan sewaktu bekerja nanti…
Jangan Hadkan Potensi Diri
Bila saya melihat potensi pendapatan isteri, waktu itu baru saya sedar, saya telah MENGHADKAN POTENSI diri sendiri dengan hanya menunggu gaji tetap setiap bulan tanpa berfikir untuk bangunkan diri sendiri. Sedangkan isteri saya dapat jana pendapatan dengan cara MEMAKSIMUMKAN POTENSI DIRI. Dan akhirnya dia menikmati hasil yang lebih banyak berbanding gaji saya walaupun kelulusan akademiknya lebih rendah…
Berbalik kepada cerita adik jurujual UNIFI itu tadi, untuk memajukan diri sendiri dalam jangka panjang, memilih KOMISYEN lebih baik berbanding GAJI TETAP. Pesan Tuan Azizi Ali (Pakar Kewangan), orang yang pandai menjual, mereka boleh ‘survive’ dalam apa juga keadaan ekonomi sekalipun. Bila kita pandai menjual, banyak lagi ruang-ruang menjana pendapatan yang boleh kita explore pada masa depan, InsyaAllah…
Potensi Kerjaya Sebagai Jurujual
Sewaktu saya masih belajar dahulu, saya pandang ‘jurujual jalanan’ sebagai kerjaya bagi mereka yang tak ada masa depan. Tetapi seorang pakcik jutawan pernah beritahu saya, kerjaya ‘jurujual jalanan’ sebenarnya satu latihan yang hebat. Ia kerjaya yang melatih keyakinan diri, dan mendorong motivasi diri. Bukan senang nak buat kerja-kerja tu. Saya pernah mencubanya, tetapi saya belum pernah berjaya! ☺
Saya kenal seorang pemuda Cina bernama Jeff, berumur 28 tahun, tinggal di kediaman mewah sejak 3 – 4 tahun lepas. Kawasan kediaman itu, bagi saya kalau orang yang pendapatan biasa-biasa, memang tak mampu duduk di situ. Tetapi Jeff telahpun bina kerjayanya sendiri. Bermula dengan menjadi ‘jurujual jalanan’ pada umurnya belasan tahun lagi, tetapi sekarang dia sudah memilik dua buah bisnes yang diurus oleh kakitangannya sendiri. Dia cuma turun jenguk-jenguk bisnesnya sesekali sahaja.
Pada usianya yang belum lagi mencecah 30 tahun, dia bukan sahaja berduit, tetapi dia mempunyai masa yang fleksible. Di waktu kawan-kawan seusianya sedang berkuli di syarikat-syarikat koprat dari 9.00 pagi – 5.00 petang dan menunggu nasib kenaikan gaji setiap tahun, Jeff sudah menikmati kebebasan masanya sendiri. Katanya, dia mahu hidup bebas! Dan ‘empire’ bisnesnya kini semuanya bermula dengan latihan menjadi ‘jurujual jalanan’ ketika usianya belasan tahun lagi…
Perkongsian menarik dari Tuan Nas Azizi
Kesimpulan
Apa yang boleh saya simpulkan, dari sudut membina kerjaya, jangan pandang pendapatan yang kita dapat hari ini, tetapi fokus kepada potensi masa depan. Fokus dapatkan ILMU DAN PENGALAMAN yang kita perlukan untuk membina masa depan kita. Kalau bidang kerja kita sekarang tak dapat berikan ilmu dan pengalaman yang kita perlukan, itu alasan kukuh untuk tukar kerjaya lain.
Yang kedua, untuk melihat masa depan kita mudah sahaja, lihat boss kita. Boss atau senior kita itulah salah satu contoh masa depan kita. Kalau kita suka dengan apa yang senior kita dapat, maka belajar dari mereka dan fokus. Kalau tak suka dengan apa yang senior kita dapat, maka carilah mentor di lapangan lain yang kita suka jadi seperti mereka. Dan belajarlah jadi berjaya seperti mereka.
Wallahu a’lam.
Zulkifli
Damansara Damai
12 April 2016
5 Rejab 1437H
[Kredit foto : sonography.training]
Terbaik tuan Mohd Zulkiflie. Artikel mi sangat bermotivasi dan berinspirasi. Saya cuma ikut laluan yang Tuan dah sediakan . Insha Allah kami sekeluarga akan sampai ke tahap tuan sekeluarga. Insha Allah. DOakan kami ya Tuan
Alhamdulillah. Mudah-mudahan bermanfaat. InsyaAllah.
Artikel yang sangat berguna pada kita…dari ‘jurujual jalanan’ kita sendiri boleh tahu dimana tahap pencapaian diri kita dan juga potensi kita.. 🙂
Alhamdulillah. Mudah-mudahan artikel ini bermanfaat, insyaAllah.
Aslm En.Zul…saja nk tnya. pnh ke en zul bt bisnes mcm tepi jalan buka payung. dlm bnyk2 bisnes yang mana bisnes yg en zul serasi.
Wslm EN. Hairum,
Saya tak pernah buat bisnes buka payung tepi jalan sebab kehidupan saya agak sibuk sehinggalah saya bebas dari pekerjaan. Kebanyakkan bisnes yang saya buat; bisnes yang boleh dijalankan di waktu-waktu sibuk. Tapi saya bersedia untuk bisnes-bisnes yang begitu.
Assalamualikum Tuan.
Saya ialah salah seorang yang meng’kuli’kan diri dari 8 pagi hingga ke 5 petang. Kadang-kadang sampai ke malam. Manusia mana tak berhasrat bebas kewangan seperti tuan? Manusia, seperti saya, mudah lupa. Sehari bersemangat berusaha keluar dari kitaran gaji, hari yang lain pula terjelepuk berputus asa.
Motivasi ialah sesuatu yang cepat basi. Mendegar atau membaca perkara yang memberi semangat, esok lusa kembali layu. Sebab itu orang seperti saya perlukan motivasi hari-hari. Blog tuan ialah salah satu tempat saya mencari semangat.
Saya berharap tuan terus dapat berkongsi anekdot kehidupan dari kacamata tuan, sebagai cerita motivasi, pembakar semangat dan panduan kepada kami.
Terima Kasih.
Wslm En. Azwan,
Penyelesaian kepada motivasi yang selalu basi ialah kenalpasti dan menulis impian hidup sendiri. Andaikan En. Azwan ada masa untuk hidup hanya 6 bulan lagi, apa sebenarnya yang En. Azwan nak capai dalam hidup? Tulis dan senaraikan impian-impian tersebut dengan andaian, DUIT DAN MASA bukan halangan. Itulah sebenarnya perkara paling penting dan paling bermakna yang ingin di capai dalam hidup. Fokuskan kepada impian itu, hinggalah En. Azwan rasa tak senang hati selagi impian itu tidak tercapai. Impian itu akan memotivasikan diri tanpa perlu dimotivasikan oleh orang lain, insyaAllah.
Setuju dengan apa yang disampaikan dalam artikel ni..
Jurujual, agen takaful adalah antara pekerjaan yang kerap dipandang sinis oleh orang ramai tetapi sebenarnya banyak mengajar diri dan mempunyai pendapatan yang lebih tinggi berbanding orang yang makan gaji..
Mungkin budaya masyarakat kita ni lebih memandang gaji tetap, kurang mengambil risiko, malas nak berubah, selalu berasa di zon selesa menyebabkan ramai yang berpandangan sedemikian..
Sekadar pendapat saya..
Betul. Ada potensi yang besar disebalik persepsi biasa orang ramai tentang mereka yang tidak bergaji tetap.
Perkongsian yang hebat..
Tuan boleh try jengok website ni jugak
kokotiam.com
Moga bermanafaat
Alhamdulillah. Mudah-mudahan bermanfaat.
Terima kasih juga En. Zulhilmi.
Salam tuan. Saya duduk asrama dan umur saya 17. Apa yg saya boleh buat untk dpt duit selain jual makanan dan tlng orang jual barang dia. Harap bantu
Wslm Cik Nash,
Jual apa yang orang nak beli. Jual barang apa yang orang perlu / mahu.