Saya telah diminta untuk memberikan pencerahan kepada kedua-dua tulisan memandangkan saya adalah peguam kepada Mohd Zulkifli Shafie. Pencerahan ini bukan untuk menuding jari kepada mana-mana pihak dan bukan bertujuan untuk mempertikaikan keputusan Mahkamah.
Posting ini saya niatkan untuk memberikan sedikit pencerahan terhadap kedua-dua tulisan yang telah membentuk dua blog pemikiran yang berbeza.
Pihak pertama, masyarakat yang menyokong Zulkifli dan memandang buruk kepada SOSMA dan kedua, masyarakat yang memandang negatif kepada Zulkifli.
Berikut adalah pencerahan saya supaya masyarakat berhenti menyerang kredibiliti Zulkifli secara peribadi mahupun kredibilti PDRM yang menjalankan tugas untuk menjaga keamanan negara.
Surat Zulkifli Dari Penjara
Saya telah meneliti penulisan Zulkifli bertarikh 29.10.2019 (yang telah posting di FB oleh isteri beliau baru-baru ini). Posting itu telah menjadi tular dan mengundang pelbagai simpati, sokongan, doa dan harapan pelbagai pihak. Tidak kurang pula pihak yang mengecam beliau. Beberapa hari selepas itu, terdapat satu penjelasan atau maklum balas yang dikeluarkan oleh pihak PDRM.
Saya cuba memberikan pencerahan ini dari kaca mata seorang profesional dan bukannya seorang kawan baik kepada Zulkifli. Ya, saya berkawan sejak kecil kerana ayah kami berdua adalah kawan dan sama-sama mengajar di Johor. Kami mula menjadi kawan baik sewaktu sama-sama belajar di Kolej Islam Sultan Alam Shah (KISAS). Selain itu, kami juga adalah roommate selama dua tahun (1996-97).
Isteri beliau yang masih terkejut dengan penangkapan Zulkifli menghubungi saya untuk mendapatkan khidmat nasihat tentang penahanan Zulkifli. Pada mulanya isteri beliau menyangka mungkin Zulkifli ditahan hanya untuk membantu siasatan sahaja. Tetapi selepas saya melihat dokumen yang dibekalkan oleh PDRM, saya mula faham ini bukan kes kecil apabila Zulkifli di tahan di bawah SOSMA (Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012).
Saya mula berinteraksi dengan pihak polis dan memohon untuk berjumpa dengan Zulkifli sebagai anakguam saya. Sewaktu dalam tempoh siasatan 23 hari, saya telah berjumpa Zulkifli sebanyak 2 kali dan beberapa kali sewaktu di Penjara Sg Buloh selepas Zulkifli di letakkan di bawah tahanan Penjara (sementara menunggu tarikh perbicaraan).
Alhamdulilah, polis memberikan kerjasama dengan baik dan Zulkifli telah dibenarkan berjumpa dengan dengan ahli keluarga beliau. Memang syahdu melihat bagaimana rindunya anak-anak 8 orang dan isteri kepada ayah mereka. Air mata saya pun mengalir deras.
Pencerahan ini bertujuan mengajak pihak yang telah memberikan komen positif mahupun negatif kepada Zulkifli dapat memahami dalam sudut pandang yang lebih ilmiah dan bukannya dibaluti dengan emosi semata-mata.
Setelah meneliti kedua-dua tulisan tersebut dan berikut adalah beberapa pencerahan yang ingin saya berikan, iaitu:
1. Saya mendapati, kandungan surat Zulkifli bertarikh 29.10.2019 adalah satu perkongsian ikhlas dari seorang yang masih tak faham, terkejut dan keliru kenapa beliau dipenjara hanya kerana bersedekah RM200 (secara perbankan online pada 23.2.2017) kepada orang yang dikenali sejak bangku universiti dan bukan seorang Pengganas. Selain itu, ia satu perkongsian dan peringatan kepada masyarakat di luar sana. Pastinya bukan bertujuan memprejudiskan mana2 pihak dan undang-undang di Malaysia.
2. Saya yakin masyarakat secara majoriti tidak mengetahui bagaimana untuk mengetahui samada seseorang itu di senaraikan sebagai individu dan entiti yang mempunyai kaitan dengan kumpulan pengganas di bawah Seksyen 66B Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFAPUA). Malah saya berani menjamin pengamal undang-undang yang tidak banyak mengendalikan kes jenayah juga mungkin tidak mengetahui perkara tersebut.
3. Jadi, bagaimana mungkin orang awam seperti Zulkifli mampu mengetahui status Akel Zainal dan di mana sebenarnya maklumat tersebut boleh di capai (access) oleh masyarakat? Ya, ini bukan nak bela siapa-siapa, tapi inilah realiti sebenar yang dialami oleh masyarakat di luar sana (sila rujuk perenggan 6 (i) dan (ii)).
4. Saya juga mendapati maklum balas dan penjelasan dari Dato’ Ayob Mydin Pitchay, Ketua Penolong Pengarah Counter Terrorism, Cawangan Khas (E8), PDRM Bukit Aman pula satu bentuk penjelasan untuk mengelakkan kekeliruan dan salah faham masyarakat terhadap penulisan Zulkifli yang boleh disalah erti seolah-olah “hanya dengan bersedekah RM200 atas dasar kemanusiaan, saya terus ditahan dan tuduh dengan kesalahan SOSMA”.
5. Jadi, pastinya pihak PDRM akan meredakan “satu persepsi dan stigma” yang menjadi tular dalam masyarakat dan boleh memberi salah tafsir (misinterpret dan misleading) seolah-olah sistem perundangan di Malaysia begitu longgar dan tidak adil.
6. Saya merujuk kepada beberapa bahagian daripada Surat PDRM iaitu:
i. No. 2 “Mohd Zulkifli telah menyalurkan dana kepada Akel Zainal”,
ii. No. 4 “mana-mana individu yang memberi atau menyalurkan dana kepada anggota kumpulan pengganas boleh ditangkap dan dituduh di bawah Seksyen 130Q atau 130N Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 30 tahun”;
iii. No. 5 “Mohd Zulkifli mengetahui wang yang disalurkan kepada Akel Zainal melalui akaun pihak ketiga bukan digunakan untuk makan dan minum sahaja tetapi turut digunakan untuk membeli kelengkapan senjatapi”
iv. No. 5 “Ini berdasarkan perbualan dengan Akel Zainal dari 5 Feb 2017 sehingga 12 Oktober 2018”; dan
v. No. 5 “Perbualan tersebut turut mengesahkan bahawa beliau (Zulkifli) mengetahui Akel Zainal adalah seorang pengganas dan menyokong perjuangan Akel Zainal dan IS. Ini dikuatkan lagi dengan perkongsian video dan artikel IS oleh Akel Zainal kepada beliau”.
7. Apa yang dinyatakan oleh PDRM adalah berdasarkan fakta dan bukti yang dikumpul sepanjang tempoh siasatan dan semakan forensik ke atas peralatan (devices) yang dirampas daripada Zulkifli.
8. Namun harus difahami juga bahawa fakta-fakta tersebut belum dicabar dan tidak boleh diterima terus melainkan setelah pihak-pihak membuktikan kedudukan bukti tersebut sehingga diterima oleh Mahkamah (admissible fact).
9. Pada satu sudut, masih terdapat isu-isu teknikal yang masih boleh mencabar fakta-fakta tersebut sebelum diterima oleh Mahkamah.
10. Pada masa ini, tiada lagi keperluan untuk membuktikan status fakta dan bukti tersebut kerana kes ini telahpun selesai melalui satu pengakuan oleh Zulkifli terhadap pertuduhan oleh pihak pendakwaan (sila baca kedudukan Pengakuan Salah di bahagian bawah).
11. Sedikit perkongsian terhadap perenggan 6 (iii) dan (iv) berkenaan “pengetahuan Zulkifli” terhadap penggunaan wang untuk membeli senjata. Ayat yang ditulis oleh PDRM ini adalah mengambilkira siri perbualan secara telegram di antara Zulkifli dan Akel Zainal.
12. Untuk pengetahuan semua, perbualan telegram di antara Zulkifli dengan Akel Zainal (setakat yang dibaca oleh Zulkifli) bukan berkisar tentang keganasan. Ia lebih kepada perkongsian Akel Zainal tentang jalan yang di pilih untuk mati syahid. Zulkifli pula tidak pernah menyokong dan hanya membuat “passive response” dan tidak pernah menyokong atau menunjukkan sebarang minat untuk mengetahui apa kegiatan yang dilakukan. Setiap kali Akel Zainal menghantar mesej, Zulkifli tidak terus menjawab dan jawapan hanya ringkas sahaja.
13. Cuma di dalam siri perbualan telegram, sekitar Feb 2010 Akel pernah meminta sedekah kerana anak dan isteri Akel kelaparan dan dia tidak dapat nak bagi duit kerana berada jauh. Atas dasar kemanusiaan, Zulkifli dan isteri membuat keputusan untuk membantu keluarga Akel “yang dipercayai” sedang kelaparan dengan menggunakan peruntukan tabung derma seisi keluarga mereka. Derma RM200 tersebut di buat pada 23.2.2017.
14. Tanpa diduga, dalam tempoh Zulkifli ingin membuat derma secara perbankan online, Akel sempat menghantar 1 lagi mesej yang berbunyi “jika ada lebihan duit bagi lah lebih sikit. Boleh saya guna untuk membeli aksesori bedil” (ni versi saya sendiri sebab perbualan mereka dalam loghat kelantan).
15. Zulkifli pula dalam keadaan “passive responder” menjawab “In sha Allah” dengan anggapkan takkanlah derma sekecil RM200 nak guna untuk beli senjata sedangkan keluarga ko sendiri dalam kelaparan. Jadi, secara mudah dan tak nak banyak argue Zulkifli reply saja “In Sha Allah”. Lagipun Zulkifli telahpun bersetuju untuk memberi derma, jadi dia tetap memberi derma atas permintaan awal Akel Zainal iaitu keluarganya dalam kelaparan.
16. Rupanya, mesej tentang “ingin membeli aksesori bedil” dan jawapan “in Sha Allah” besar implikasi kepada pihak PDRM dan Pendakwaan.
17. Asasnya, perbuatan seorang awam berpaksikan “pandangan dan sangkaan mereka” tetapi “perbuatan tersebut” mungkin “terjumlah kepada satu kesalahan di bawah mana-mana undang-undang” (saya akan kongsikan di lain masa).
18. Walaupun terdapat perbualan telegram antara Zulkifli dan Akel Zainal dalam tempoh 5 Feb 2017 sehingga 12 Oktober 2018 tetapi jawapan dari Zulkifli hanyalah setakat waktu beliau memberikan derma iaitu Feb 2017 sahaja.
19. Selepas itu, Zulkifli tidak pernah membuka apa-apa telegram yang dihantar oleh Akel Zainal dan semua bahan-bahan perkongsian video dan artikel IS dibuat pada tempoh tersebut. Bahkan Zulkifli menyangkan Akel Zainal telahpun meninggal dunia dari serangan pihak tentera U.S.
20. Sepanjang tempoh perbualan mereka, Zulkifli hanya melihat satu gambar Akel memakai baju tentera dan memegang senjata yang dikongsikan kepadanya. Tetapi gambar tersebut telahpun tular dalam internet sejak sekian lama dan bukanlah satu maklumat sulit.
21. Seperti yang saya katakan dari awal, apa yang sampaikan ini hanya satu pencerahan dan cuba meneutralkan salah faham baik ke atas Zulkifli mahupun pihak PDRM.
22. Kedua-dua pihak ini menulis pada perspektif dan objektif masing-masing. Pihak Zulkifli ingin mendidik masyarakat agar lebih berhati-hati walaupun berniat sedekah. Pihak PDRM pula perlu membuat penjelasan “bukanlah kerana menderma RM200 itu tetapi ada fakta-fakta lain yang diperolehi sepanjang tempoh siasatan”.
23. Bagi mana-mana pihak yang benar-benar membantu dan menyokong satu aktiviti keganasan, jumlah bukan satu ukuran. Kecil atau besar, semualah salah di sisi undang-undang.
Penjelasan Berkenaan Pengakuan Salah Zulkifli pada 15.11.2019
Berikut adalah pencerahan daripada saya yang berada sepanjang tempoh beliau jatuh dan bangun, sedih dan keliru sehingga beliau boleh menghadapi “suratan” ini dengan Redha.
1. Jika mengambilkira prinsip yang beliau pegang, beliau meminta peguam bersedia untuk berlawan dan beliau akan kekal dengan keputusan “tidak mengaku salah dan minta dibicarakan”.
2. Tetapi, setelah memahami apa yang akan beliau lalui sekiranya memilih untuk melawan kes ini iaitu proses perbicaraan mengambil masa bertahun-tahun, jenis kesalahan yang tidak boleh diikat jamin (non-bailable) dan beliau terpaksa berada di penjara sepanjang tempoh perbicaraan dan rayuan, mengetahui nasib sahabat SOSMA yang telah menang kes tetapi kalah diperingkat rayuan (sehingga dihukum 8 – 12 tahun), jadi pihak peguam diminta untuk membuat satu representasi untuk meminta menyemak pertuduhan dan meminta dituduh di bawah kesalahan yang lebih ringan.
3. Ini kerana kesalahan Seksyen 130N memperuntukkan penjara minimum 7 tahun dan maksimum 30 tahun berbanding kesalahan di bawah seksyen yang tidak memperuntukkan tempoh minimum penjara.
4. Satu representasi kepada pihak Pendakwaan telah dibuat dan terdapat proses rundingan (istilah undang-undang adalah Plea Bargain dan ia dibenarkan di bawah sistem undang-undang jenayah di Malaysia) maka satu pertuduhan yang lebih ringan dibaca semula ke atas Zulkifli.
5. Dengan berat hati (kerana ini bukan pilihan pertama dan bertentangan dengan prinsip hidup beliau) serta memahami pengakuan ini akan membentuk banyak tanggapan negatif tetapi beliau akur memilih mengaku bersalah agar nasib beliau ada penghujungnya.
6. Maksud penghujung di sini adalah MENGAKU SALAH -> JALANI HUKUMAN YANG PASTI -> TERIMA PEREMITAN (PENGURANGAN TEMPOH PENJARA) -> BEBAS DAN JALANI HIDUP DENGAN KELUARGA. (Nota: untuk 1/3 remitan boleh rujuk Seksyen 44, Akta Penjara 1995 serta Peraturan 42(1)(a) Peraturan-Peraturan Penjara 2000).
7. Pembaca juga boleh merujuk perkongsian Zulkifli “Maka pada 15 November 2019 (lebih 1 tahun dipenjara), saya akan buat pengakuan bersalah di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. Walaupun saya tahu, ia akan meninggalkan rekod buruk terhadap nama baik saya, tetapi kasih sayang dan tanggungjawab saya terhadap isteri dan anak-anak saya jauh lebih penting daripada nama baik itu. Biarlah undang-undang menghukum saya, asalkan saya dapat hentikan air mata isteri dan anak-anak saya setiap kali mereka menziarahi saya di sebalik cermin dan tirai besi di penjara. Saya tahu, mereka benar-benar dahagakan kasih sayang, dan merindui kepulangan saya ke pangkuan mereka”
Oleh itu, nasihat mesra dan prihatin saya kepada masyarakat di luar sana:
1. Jika ada ingin mendoakan dan menyokong Zulkifli, silakan.
2. Jika ada yang ingin memberikan pendapat sebaliknya, cuba fikir sejenak perkara berikut:
a. Bagaimana sekiranya anda pula dipilih (oleh Allah) berada di tempat Zulkifli?
b. Bagaimana perasaan keluarga anda yang mendengar kecaman netizen terhadap anda?
c. Bagaimana pula nasib anak-anak yang mendengar tohmahan kepada seorang ayah yang sangat menyayangi mereka?d. Adakah anda sendiri “happy” jika dilemparkan pelbagai tohmahan terhadap diri anda sedangkan anda sendiri tahu apa fakta sebenar hal diri anda.
3. Adakah sesiapa di antara kita yang berani menjamin bahawa kita langsung tidak terdedah menjadi “mangsa atau mangsa keadaan” sampai bila-bila?
4. Oleh itu, janganlah menghukum seseorang sedangkan anda sendiri tidak mengetahui fakta secara penuh atau fakta yang belum ditentukan kesahihannya.
Bertitik tolak dari pengalaman saya mengendalikan kes Zulkifli dan kes-kes lain selama 16 tahun ini, pada 15.11.2019 saya tergerak melancarkan Program Memasyarakatkan Perundangan agar “gap kejahilan di antara Masyarakat dengan Undang-Undang” makin mengecil (untuk info sila rujuk FB HSKEE Law Bangi).
Semoga pencerahan ini dapat memberikan manfaat kepada semua pihak. Sekiranya perkongsian ini satu yang bermanfaat sila sebarkan kepada orang yang anda sayangi.
Sekian, terima kasih
“Memasyarakatkan Perundangan”
Hifdzi Hamzah
Peguam Mohd Zulkifli Shafie
Sumber Asal: FB Page HSKEE Law Bangi