Susah hidup di Malaysia?
Saya masih ingat pesan Dato’ Dr Rusly Abdullah (penulis buku “Jutawan Senyap”) yang maksudnya lebih kurang begini, "kalau duduk di Malaysia tapi tak kaya, malang!” katanya...
Kenapa beliau cakap malang?
Sebab peluang untuk jadi kaya tu bersepah-sepah.
Peluang Sangat Banyak
Malaysia negara kaya. Terpulang kepada diri kita sendiri sahaja sama ada sanggup atau tak sanggup untuk pastikan kekayaan itu masuk ke poket kita.
Lama beliau memerhati bagaimana banyak warga asing datang sehelai sepinggang ke Malaysia untuk berkerja, boleh hantar pulang duit yang banyak ke negara mereka, dan akhirnya kaya raya di Malaysia...
Ini disebabkan peluang untuk kaya tu terlalu banyak.
Hanya kita sanggup atau tak sanggup sahaja.
Sanggup belajar, sanggup explore, sanggup mencuba, sanggup kerja keras, sanggup ketepikan pesepsi “jiran sebelah”, sanggup “tak nampak bergaya”, dan sanggup bekerja keras macam kerbau beberapa tahun!
Bukan masalah boleh atau tak boleh. Tapi sanggup atau tak sanggup!
Orang Asing Kaya Di Malaysia
Ya, sanggup atau tak sanggup sahaja.
2 tahun saya di penjara, saya berpeluang jumpa banyak pendatang tanpa izin yang dipenjarakan hanya kerana mereka datang untuk mencari rezeki di Malaysia...
Mereka sanggup bertaruh nyawa (datang naik bot haram) untuk datang ke Malaysia.
Mereka tak serik walaupun terpaksa keluar masuk penjara di Malaysia berkali-kali!
Sebab apa?
Sebab Malaysia negara kaya.
Ekonomi di Malaysia sangat kondusif bagi siapa yang betul-betul nak cari kekayaan.
Sanggup atau Tak Sanggup?
Bagi golongan pendatang, sampai sahaja di Malaysia, hidup mereka sudah senang.
Dapat peluang berbisnes di Malaysia, mereka kaya raya.
Dapat berkahwin dengan orang tempatan atau dapat status warganegara, mereka jutawan!
Kita?
Habis waktu kerja, sanggup buat bisnes di luar waktu kerja?
Sanggup jadi ejen dan tebalkan muka untuk jual produk orang lain?
Sanggup hadap persepsi orang “belajar tinggi-tinggi tapi terpaksa berniaga secara jalanan”?
Sanggup balik kampung dengan kereta buruk?
Sanggup pergi kerja bawa bekal makanan dari rumah?
Sanggup kerja macam kerbau siang malam selama 3 - 5 tahun?
Pilihan Di Tangan Kita
Kalau tak sanggup, bukan masalah pada negara kita.
Masalahnya adalah pada diri kita yang tak sanggup belajar (untuk jadi kaya) dan tak sanggup berkerja keras.
Kalau di negara kaya dan makmur ini kita masih berkeluh kesah hidup susah sedangkan Tuhan bagi kita sempurna panca indera dan tulang empat kerat, maka apa lagi yang kita mahu?
Ia tak ubah seperti pepatah "ibarat ayam di kepuk mati kelaparan"!…
Zulkifli
Cyberjaya
22 November 2021
17 Rabiul Akhir 1443H
#TabahHadapiMusibah
#MembangunDiri
- Lebih mudah jadi kaya pada zaman sekarang - FB (2017)
- Kekayaan pendatang asing di Malaysia - FB Saiful Nang (2015)
“Zaman sekarang tak macam zaman dulu. Peluang buat duit berlambak-lambak. Main handphone pun boleh buat duit. Ada motorsikal sendiri pun boleh buat duit. Kalau ada kereta, lagilah banyak peluang buat duit. Nampak atau tidak saja.” - FB Mohd Zulkifli Shafie, 8 Januari 2022