Lebih 9 bulan masalah lubang di ruang tempat mesin basuh rumah kami tersumbat. Saya dah pam banyak kali tapi tak selesai.
Saya cuba jolok lubang, masukkan asid dan macam-macam cara pun tak selesai juga masalah tersumbat tu.
Akhir sekali saya minta bantuan pihak management kondominium. Mereka hantar seorang pekerja Bangladesh yang jaga kebersihan kondominium tempat kami tinggal tu untuk tengokkan.
More...
Dah Mencuba, Tapi Tak Berjaya
Dia datang rumah, tengok-tengok, lepas tu dia kata dia boleh selesaikan masalah ni. Tapi bayarannya RM100... Setuju?
Saya terus setuju. Sebab dah berbulan-bulan saya cuba sendiri tapi tak berjaya.
Kalau saya terus cuba-cuba buat sendiri, nanti kos duit dan masa saya pun dah lebih RM100. Silap hari bulan, kalau saya jolok lagi, mungkin saluran paip tu boleh pecah dan saya terpaksa upah orang lain untuk baiki paip tu.
Kosnya pasti lebih mahal!
Jadi saya fikir, lebih baik saya bayar dia untuk selesaikan masalah tu.
Harga Alatan RM15, Bayaran RM100!
Lepas setuju, dia cakap nak turun ke bawah sekejap untuk ambil alat. Kemudian dia datang balik dengan kabel besi (alat untuk jolok lubang).
Saya perhatikan dia masukkan kabel besi tu ke dalam lubang sambil pusing-pusing, kemudian dia tarik keluar semua sampah dan rambut-rambut tersekat dalam lubang tu yang melekat pada kabel besi tu...
Tak sampai 15 minit, masalah saya yang sudah berbulan-bulan tu selesai!
Saya tengok alat yang digunakan tu, rupanya-rupanya ada dijual di kedai serbaneka Mr DIY. Harganya sekitar RM15 sahaja!
Haha... Kalau macam ni caranya, saya pun boleh buat! (Dalam hati saya). Tapi kenapa berbulan-bulan tak boleh selesai?!
Jawabnya ialah saya tiada ILMU (skillset). Yang kedua ialah, saya tiada ALAT (toolset).
Bukan Alatan Yang Mahal, Tapi Ilmu
Itulah sebabnya masalah remeh macam tu pun saya tak boleh selesaikan sendiri, dan terpaksa bayar RM100 untuk orang lain tolong selesaikan!
Yang mahal bukan alatnya tu, tetapi ilmu dan pengalamannya. Itulah bezanya orang berilmu dengan tak berilmu.
- Baca catatan peribadi saya : Harga sebuah pengalaman - FB
Sejak pengalaman tahun 2015 tu saya dapat satu pelajaran yang mahal, iaitu;
"Bila ada ilmu, perkara susah akan jadi mudah. Bila tak ada ilmu, perkara mudah pun akan jadi susah"!
Kalau nak berjaya dalam apa bidang sekalipun, kita tak ada pilihan lain, kecuali mesti bermula dengan ilmu...
Allahu a'lam.
Zulkifli
Cyberjaya
12 Ogos 2023
25 Muharram 1445H
Ilmu penyuluh hidup. Lagi banyak ilmu, lagi teranglah masa depan. Tanpa ilmu, masa depan nampak gelap. Nak ubah hidup, mulakan dengan obses mencari ilmu dan jangan berhenti belajar. Kalau tak belajar, kehidupan akan mengajar kita dengan lebih banyak kesilapan. - FB Mohd Zulkifli Shafie, 21 Oktober 2024
Nak berjaya tak cukup sekadar henyak sampai lunyai (kerja keras). Tapi kena henyak dengan ilmu. Tanpa ilmu, nanti kita lunyai tapi hasilnya tak berbaloi. Ibarat mengapak guna kapak yang tumpul. Asahlah kapak dan mengapaklah bersungguh-sungguh untuk berjaya. - FB Mohd Zulkifli Shafie, 5 Disember 2024
Coretan FB berkaitan:
- Keluar masalah kewangan dengan ilmu - FB (2016)
- Kunci kejayaan pada ilmu - FB (2016)