Penduduk di Malaysia sekitar 30 juta. Manakala Indonesia sekitar 300 juta. Jumlah penduduk di Indonesia 10 kali ganda berbanding Malaysia!
Kalau di Malaysia, banyak taman perumahan yang tersusun rapi dapat dilihat dari pesawat ketika take off dan landing. Tapi di Indonesia, perumahan mereka sangat padat. Rapat-rapat. Hampir tak jumpa pemandangan kawasan perumahan seperti di Malaysia.
More...
Peluang bisnes ada di mana?
Sepanjang saya menyampaikan seminar emas Public Gold di Indonesia, ini adalah pemandangan biasa ketika take off dan landing.
Rumah yang rapat-rapat menunjukkan penduduknya yang sangat padat. Di tempat-tempat yang saya pernah sampai, saya tak pernah kelihatan kawasan perumahan seperti di Malaysia, baik di Jakarta, Surabaya, Jogjakarta, Makassar, Solo ataupun Jember.
Melihatkan penduduk yang begitu ramai, saya ingat tip penting yang pernah diberitahu oleh Chef Li (salah seorang guru bisnes saya) iaitu, "di mana orang berkumpul, di situlah duit berkumpul..."
Maksudnya, di mana ada manusia, di situ ada peluang bisnes.
Penuhi kehendak dan keperluan manusia
Ini kerana, setiap orang ada keperluan dan kehendaknya tersendiri. Manakala bisnes ialah tentang menyelesaikan masalah dan memenuhi kehendak serta keperluan manusia.
Realitinya, tidak ada mana-mana manusia yang boleh hidup sejahtera hanya seorang diri. Dia perlu hidup saling bergantungan dengan orang lain untuk memenuhi keperluan dan kehendaknya sendiri.
Maka sesiapa sahaja dapat bantu sediakan segala keperluan dan kehendak mereka (melalui bisnes), maka dia akan dibayar. Dia akan mendapat keuntungan sebab orang sanggup membayarnya.
Lagi besar masalah yang dapat diselesaikan, lagi banyak keperluan dan kehendak yang dia dapat penuhi, dia akan dibayar lebih mahal!
Customer beruntung, peniaga pun untung! Win-win. InsyaAllah...
Masa depan ekonomi Indonesia
Melihat kepada potensi ekonomi di Indonesia, saya percaya mereka akan jadi gergasi ekonomi seperti China dalam 10 - 20 tahun akan datang.
Satu ketika dahulu mereka mengeksport tenaga kerja ke luar. Tapi pada masa akan datang, mereka akan jadi antara negara pengimport terbesar seperti China.
Mudah-mudahan Public Gold Indonesia akan jadi salah sebuah perusahaan yang menyumbang kepada kemajuan dan kesejahteraan masyarakat di Indonesia pada masa akan datang, insyaAllah.
Manusia berkumpul di dunia digital
Dari satu aspek, selain daripada penduduk di dunia fizikal, manusia hari ini juga berkumpul di dalam dunia digital. Mereka berkumpul di medsos-medsos yang trending mengikut zaman.
Bagi peniaga yang nak 'reach' mereka semua, kita kena gunakan medsos (media sosial) yang sesuai mengikut zaman untuk 'reach' di mana manusia berkumpul tersebut. Kalau tak, kita akan ketinggalan.
15 tahun dulu, manusia berkumpul di blog. Lepas 5 tahun, mereka mula beralih kepada Facebook dan Youtube. 5 tahun kemudian, mereka beralih ke Instagram dan Twitter.
Platform evergreen vs trending
Sekarang, kita semua maklum, manusia beralih kepada TikTok dan konten berbentuk video macam Reels, Youtube Shorts. Itu semua mesdos yang jadi trending di mana banyak manusia berkumpul pada hari ini.
Beberapa tahun akan datang, pasti masyarakat akan berpindah ke dunia digital yang lain pulak.
Yang akan sentiasa kekal evergreen ialah website (dan blog), email (dan database), serta referral (word-of-mouth).
Untuk buat duit yang banyak, perkara pertama dan utama yang kita ingat, tanggungjawab kita ialah selesaikan masalah manusia, dan jadikan hidup mereka lebih baik dengan servis dan produk kita.
Selesaikan masalah manusia
Kalau produk dan servis kita hanyalah 'sampah' yang kita sendiri pun tak yakin dapat selesaikan masalah orang lain, lupakanlah tentang buat duit yang banyak.
Marketing dengan cara 'menipu' tak akan pergi jauh. Dosa-dosa itu akan menghantui peniaga tersebut dan akan membuatkan dia jatuh tersungkur juga! Itu pasti... Hanya persoalan masa sahaja...
Kedua, pastikan produk dan servis kita 'reach' kepada mereka yang memerlukan. Reach more people, and reach right people.
Kenalpasti siapa yang dapat manfaat
Dengan kata lain, kita tahu siapa bakal customer kita.
Kita tahu dengan jelas siapa yang bakal dapat manfaat besar daripada produk dan servis kita. Barulah kita susun strategi marketing supaya dapat 'reach' mereka, seterusnya memenuhi kehendak dan keperluan mereka dengan baik.
Itulah mulianya orang bisnes.
Kerja hakiki orang bisnes ialah selesaikan masalah manusia, penuhi keperluan dan kehendak manusia, dan melepaskan orang lain daripada kesusahan dengan produk dan servis yang mereka sediakan.
Jadi berbisneslah dengan cara yang baik, dengan cara paling baik.
Mudah-mudahan asbab bisnes, Tuhan bebaskan kita daripada kesusahan-kesusahan dunia dan akhirat... Amiin YRA...
Zulkifli
Cyberjaya
5 November 2023
21 Rabiul Akhir 1445H
Daripada Abu Mas'ud Al-Badri r.a., dia berkata, Rasulullah s.a.w. bersabda, "Seseorang daripada umat sebelum kamu akan dihisab, (sedangkan) tidak ada sedikit pun kebaikan pada dirinya, kecuali dia adalah orang yang memudahkan (urusan orang lain), dan dia berinteraksi dengan orang lain, lalu dia menyuruh hambanya memberikan kelapangan kepada orang yang sedang kesulitan. Maka Allah s.w.t. berfirman, "Kami (Tuhan) lebih berhak pada hal itu daripadanya, berilah kelapangan kepadanya"." (HR Muslim) [Rujukan - Riyadus Solihin Karya Bestari, Cetakan 1 - 2017, halaman 828]