Setiap kita ada HAK, dan setiap kita juga ada TANGGUNGJAWAB.
Nak bahagia dalam hidup, kita kena sibuk fikir tentang tanggungjawab (yang perlu kita sempurnakan), melebihi dari hak yang sepatutnya kita akan dapat.
Siapa yang fokus pada haknya, dia akan hilang fokus pada tanggungjawabnya. Mereka yang fokus pada tanggungjawabnya, dia akan berlebih kurang tentang haknya.
More...
Saling sibuk memberi
Suami dan isteri masing-masing ada HAK dalam rumahtangga.
Menurut Ustaz Pahrol, kalau nak bahagia dalam rumahtangga, tak boleh fikir sangat pasal HAK. Kita kena fokus tentang TANGGUNGJAWAB dan peranan kita dalam berkeluarga.
Suami fikir apa terbaik untuk isteri dan anak-anak. Isteri pula fikir macam mana dia boleh bagi terbaik untuk suami dan anak-anak.
Bila masing-masing fikir pasal tanggungjawab, kita akan berlebih kurang dengan HAK. Bila masing-masing sibuk saling MEMBERI, barulah bahagia hidup berumahtangga.
Nak disayangi, kita dulu kena menyayangi. Hanya orang yang menyayangi akan disayangi.
Menjelang hari kematian
Orang yang hidupnya bahagia ialah mereka yang sibuk memberi, memberi, dan memberi. Dia sibuk menyangi. Dia sibuk berikan yang terbaik kepada orang yang dia sayangi. Bukan sibuk mengharapkan apa yang dia patut terima (hak).
Hak kita, pastikan Tuhan akan cukupkan nanti. Tak perlu kita ragu-ragu lagi...
Bila menjelang hari kematian nanti, kita akan fikir tentang tanggungjawab yang belum kita sempurnakan berbanding hak-hak yang belum kita dapat.
Tanggungjawab yang belum disempurnakan dengan baik itulah yang akan menghantui sesiapa sahaja menjelang hari kematian nanti.
Maka sibukkanlah diri untuk menyayangi... Nescaya kita akan disayangi Tuhan...
Yang menyayangi akan disayangi
Sayangi pasangan kita.
Sayangi anak-anak kita.
Sayangi ibubapa, mentua dan ahli keluarga kita.
Sayangi jiran, dan sahabat handai.
Sayangi majikan, rakan sekerja, pekerja-pekerja, dan team kita.
Sayangilah customer-customer kita.
Berikanlah yang terbaik kepada mereka. Sibukkanlah diri untuk menyayangi. Kerana hanya mereka yang menyayangi akan disayangi...
"... Sesiapa yang tidak menyayangi, maka dia tidak akan disayangi" (Muttafaqun 'Alaih)
Sekadar renungan...
Zulkifli
Cyberjaya
4 November 2023
20 Rabiul Akhir 1445H
Daripada Abdullah bin Mas'ud r.a., dia berkata, Rasulullah s.a.w. bersabda:
"Sungguhnya setelah peninggalanku akan ada pemimpin-pemimpin negara yang mementingkan diri sendiri dan membuat keputusan-keputusan yang tidak kamu semua sukai"
Para sahabat bertanya, "Wahai Rasulullah, lantas apa yang kamu perintahkan kepada kami ketika mengalami peristiwa tersebut?"
Baginda menjawab: "Tunaikanlah kewajiban kamu semua dan mintalah hak kamu semua kepada Allah" (Muttafaqun 'Alaih)
[Rujukan - Riyadus Solihin Karya Bestari, Cetakan 1 - 2017, halaman 475]
Daripada Ibnu Umar r.a., daripada Nabi s.a.w, baginda bersabda:
"Setiap kamu adalah pemimpin, dan kamu semua akan dipertanggungjawabkan atas kepimpinannya. Seorang pemimpin adalah pemimpin dan aka dipertanggungjawabkan atas kepimpinannya. Seorang suami adalah pemimpin bagi seluruh keluarganya, dan akan dipertanggungjawabkan atas kepimpinannya. Seorang isteri adalah pemimpin atas rumah suaminya dan akan dipertanggungjawabkan atas kepimpinannya. Pekerja adalah pemimpin dalam menguruskan harta tuannya, dan akan dipertanggungjawabkan atas kepimpinannya. Maka setiap kamu adalah pemimpin dan akan dipertanggungjawabkan atas kepimpinannya" (Muttafaqun 'Alaih)
[Rujukan - Riyadus Solihin Karya Bestari, Cetakan 1 - 2017, halaman 466]
Daripada Abu Hurairah r.a., dia berkata, Rasulullah s.a.w. mencium Al-Hasan bin Ali (cucunya) sedangkan di samping baginda ada Al-Aqra' bin Habis, lalu Al-Aqra' berkata;
"Sesungguhnya aku memiliki 10 orang anak, namun aku tidak pernah mencium mereka walapun sekali pun".
Maka Rasulullah s.a.w. memandangnya dan bersabda;
"Sesiapa yang tidak menyayangi, maka dia tidak akan disayangi"
(Muttafaqun 'Alaih)
[Rujukan - Riyadus Solihin Karya Bestari, Cetakan 1 - 2017, halaman 204]