MohdZulkifli.Com

Motivasi Kewangan & Simpanan Emas

Lihat Masalah Rumah Tangga Orang, Doakanlah Yang Baik-baik

November 28, 2023

Ujian buat mereka, ujian juga buat kita sebagai orang luar. Jangan sampai ujian hidup orang lain, tak pasal-pasal kita terpalit dosa gara-gara lidah tak dapat dijaga.

Setiap kali ada isu poligami ataupun perceraian rumahtangga artis ataupun influencer, masing-masing sibuk nak komen, nak keluarkan pendapat... Tak kurang juga yang ambil kesempatan untuk naikkan reach dan engagement atas masalah rumahtangga orang lain. 

Seolah-olah masing-masing bersorak dan bertepuk tangan atas kesedihan orang lain. 

More...

Realiti setiap rumahtangga

Walhal tak ada rumahtangga yang sunyi dari masalah. Rumahtangga kita sendiri pun tak sunyi dari masalah.

Bahkan mungkin kalau orang tahu hal rumahtangga kita, kita pun rasa aib juga. Apatah lagi kalau orang lain jaja cerita kita sampai jadi buat mulut netizen.

Kita malu, pasangan kita malu, ahli keluarga kita malu, bahkan mungkin anak-anak kita juga turut sama malu.

Saya rasa takut tengok sikap netizen mencari-cari dan menjaja aib orang lain. Walhal itu satu dosa yang bukan kecil.

Saya petik coretan Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri di FB beliau;

Keghairahan berkongsi dan menyelongkar keaiban orang lain serta disebarkan, termasuk dalam perbuatan tajassus yang diharamkan.

‎Kata guru kami, almarhum Syeikh Dr. Wahbah al-Zuhaili: Tajassus dari sudut istilah bermaksud: “Mencari-cari keaiban dan mendedahkan apa yang telah disembunyikan oleh manusia.” (Lihat Tafsir al-Munir, 26/247)


‎Hukum asal bagi perbuatan ini diharamkan berdasarkan firman Allah:


‎وَ لَا تَجَسَّسُواْ وَلَا يَغۡتَب بَّعۡضُكُم بَعۡضًا
Maksudnya: Dan janganlah kalian melakukan tajassus serta janganlah kalian saling mengumpat antara satu sama lain. (
Surah Al-Hujurat 45 : 12)

Peluang suluh diri sendiri

Segala yang terjadi di sekeliling kita sepatutnya itulah peluang untuk kita suluh diri kita sendiri, dan perbetulkanlah diri kita sendiri. Bukan sibuk cari aib dan sebarkan aib orang lain. 

Akan tiba detiknya kita tak ada masa nak sibuk hal orang lain. Masing-masing sibuk tunggu keputusan samada ke Syurga ataupun ke Neraka.

Masing-masing bimbang nasib diri sendiri macam bimbingannya banduan yang bakal terima keputusan (dari hakim) samada dia dihukum gantung sampai mati ataupun dilepaskan dari kesalahan...

Doakanlah yang baik-baik kepada orang lain kerana doa kita itu nanti Allah akan kembalikan kepada kita juga. Amiin...

Dari Abu Darda' r.a. bahawa dia mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda;

“Tiada seorang hamba Muslim yang berdoa untuk saudaranya yang tidak ada di sisinya, melainkan malaikat berkata, 'Engkau juga memperoleh sebagaimana yang engkau doakan itu'.” (HR Muslim)

[Riyadus Solihin (1494), Sahih Muslim (2732), Sunan Abi Daud (1534)]

Zulkifli
Cyberjaya
28 November 2023
15 Jamadil Awwal 1445H

Tentang Penulis

Mohd Zulkifli Shafie

Penulis buku bestseller; Wang Emas, dan Misi Bebas Hutang.

Menulis tentang kewangan sejak 2008. Berpengalaman membimbing lebih 7,000 penyimpan emas secara peribadi di Malaysia, Indonesia, Singapore dan Brunei sejak 2010.

Merupakan pengasas G100 Network; network terbesar dealer Public Gold (syarikat pengeluar emas terbesar di Malaysia), yang memberikan servis kepada lebih 500,000 penyimpan emas di seluruh Asia Tenggara.

{"email":"Email address invalid","url":"Website address invalid","required":"Required field missing"}
>