Saya pun dah lupa, saya pernah lalui zaman miskin sampai tak berani nak order teh-o, dan tak berani ambil lebih dari satu lauk bila makan tengah hari di pejabat...
Saya pun berasal dari golongan B40 - miskin bandar.
Kebanyakan anak muda yang datang dari kampung (berhijrah ke bandar) memulakan kehidupan dari bawah sebagai miskin bandar (B40).
More...
Semua bermula sebagai miskin bandar
Kebanyakan kita dan rakan sebaya kita bermula dari tak ada apa-apa (kecuali dia anak orang kaya).
Tapi lepas 10 - 20 tahun, wujud jurang antara kita dan kawan-kawan sepengajian dengan kita.
Ada yang kekal B40 (golongan miskin), ada yang meningkat jadi golongan M40 (golongan pertengahan), dan ada yang meningkat jadi golongan T20 (golongan atasan), bahkan ada yang jadi golongan T1 (berpendapatan paling tinggi)!
Persoalannya, apa yang membezakan mereka semua?
Pada pemerhatian saya, jurang sebenar antara orang kaya dan miskin ialah ilmu; apa yang mereka TAHU (ilmu), dan apa yang mereka BUAT (usaha).
Jurang sebenar adalah ilmu
Kalau nak ubah hidup, nak keluarkan diri dari kemiskinan, kita kena tahu apa orang kaya tahu, kena buat apa mereka buat. Barulah kita akan dapat apa orang kaya dapat. InsyaAllah...
Pokoknya, kena bermula dengan ilmu... Belajar ilmu tentang kekayaan...
Bila habis pengajian di universiti, bukan bermaksud tempoh belajar dah habis.
Di universiti, kita belajar untuk dapatkan segulung sijil (diploma dan ijazah) dengan harapan dapat pekerjaan yang baik.
Tapi malangnya, sijil tu tak ada kena mengena dengan ilmu kekayaan. Kita tak belajar ilmu kekayaan di universiti. Sebaliknya kita cuma belajar untuk jadi pekerja yang baik.
Nak kaya, kita kena belajar dari orang kaya-kaya.
Nak keluar dari kemiskinan, kita kena dekat dengan orang kaya supaya kita dapat ilmunya. Bukan memusuhinya...
Kenapa si miskin kekal miskin
Hari ni di bawah bimbingan saya ada lebih 1,500 dealer Public Gold aktif.
Ada yang dari golongan B40 (berpendapatan rendah), ada M40 (berpendapatan menengah), dan ada T20 (berpendapatan tinggi).
Jauh di sudut hati saya, tentunya saya nak bantu golongan yang berpendapatan rendah (B40) dulu supaya mereka lebih kaya.
Tapi cabaran terbesar saya, saya dapati kebanyakan golongan B40 ni tak ada keinginan yang kuat untuk belajar.
Mungkin itulah salah satu sebab kenapa golongan miskin kekal miskin. Mereka tak ada keinginan yang kuat untuk belajar.
Saya teringat kata-kata Albert Einstein,
“Once you stop learning, you start dying” - Albert Einstein
Bila kita berhenti belajar, kemajuan hidup kita pun akan terus terhenti!
Berhenti belajar, kemajuan pun terhenti
Saya perhatikan, ada yang datang training tapi tak belajar. Mereka datang kelas dengan gelas yang penuh. Ilmu baru susah nak masuk.
Mereka lebih banyak bercakap berbanding mendengar (belajar). Mereka tak cukup humble untuk absorb ilmu-ilmu baru.
Kalau datang belajar pun satu cabaran, kejayaan tentunya jauh sekali.
Bila ilmu tak bertambah, kemajuan hidup kita tersangkut setakat itu sahaja!
Penat kita bekerja, tapi hasilnya sangat kurang.
Ibarat potong pokok dengan kapak yang tumpul. Sakit tangan kita menakir, tapi pokok tak tumbang-tumbang.
Sebenarnya, kajian menunjukkan majoriti jutawan di dunia hari ni adalah self-made millionaires.
Jutawan pun bermula miskin
Mereka bukan berasal dari keluarga kaya raya.
Mereka pun asalnya orang biasa-biasa, pernah rasa hidup miskin, pernah lalui zaman pokai dan mereka dah berjaya keluar dari kemiskinan.
Nak kaya, kita kena belajar dari mereka (orang kaya).
Kalau kita tak faham apa yang mereka cakap, jangan kecam dulu. Cuba belajar dan cuba fahami dulu...
Mana mungkin anak-anak tadika boleh faham dengan mudah apa professor di universiti cakap.
Kalau tak faham, bukan sebab professor tu salah, tapi ilmu kita belum sampai level mereka. Kena ambil masa untuk faham...
Itulah ibarat kita dengan orang berilmu...
Merendah diri dengan orang berilmu
Nak dapatkan ilmu yang banyak, bersikap rendah dirilah dengan orang berilmu.
Ilmu ibarat air yang mengalir. Air cuma mengalir ke lembah-lembah yang rendah. Air tak sekali-kali memanjat gunung...
Ilmu hanya akan sampai kepada kita bila kita buang ego, kosongkan gelas, dan merendah diri dengan orang ilmu.
Saya sangat percaya, sesiapa pun mampu ubah kehidupan dan jadi lebih kaya kalau dia ada keinginan yang kuat untuk belajar (dan berusaha) tanpa kenal erti putus asa.
Bak kata Zig Ziglar,
“If you are not willing to learn, no one can help you. If you are determined to learn, no one can stop you.” - Zig Ziglar
Dan kata Nelson Mandela,
“Education is the most powerful weapon which you can use to change the world” – Nelson Mandela
Carilah ilmu... Hidup kita pasti akan berubah, insyaAllah...
Allahu a'lam...
Zulkifli
Cyberjaya
6 Ogos 2024
30 Muharram 1446H
Ilmu penyuluh hidup. Lagi banyak ilmu, lagi teranglah masa depan. Tanpa ilmu, masa depan nampak gelap. Nak ubah hidup, mulakan dengan obses mencari ilmu dan jangan berhenti belajar. Kalau tak belajar, kehidupan akan mengajar kita dengan lebih banyak kesilapan. - FB Mohd Zulkifli Shafie, 21 Oktober 2024
Nak berjaya tak cukup sekadar henyak sampai lunyai (kerja keras). Tapi kena henyak dengan ilmu. Tanpa ilmu, nanti kita lunyai tapi hasilnya tak berbaloi. Ibarat mengapak guna kapak yang tumpul. Asahlah kapak dan mengapaklah bersungguh-sungguh untuk berjaya. - FB Mohd Zulkifli Shafie, 5 Disember 2024