Baca Quran biasanya sedikit sebanyak memberikan motivasi. Tetapi malang kerana membaca Quran juga hilang khusyuknya. “Ayat-ayat Cinta dari Tuhan” itu hanya dibaca dimulut, tapi tak dapat membelai jiwa yang sedang kacau bilau. Wirid lepas solat pun senasib. Mulut menyebut, tetapi hati dan fikiran melayang kepada masalah yang sedang melanda. Solat juga jauh dari khusyuk.
Oh, deritanya hidup ketika itu…
Bukan Sibuk, Tetapi Tuhan Campakkan RASA Sibuk
Puas memikirkan, di mana puncanya. Apabila memuhasabah diri, akhirnya Tuhan membuka jalan (alhamdulillah).
Pertamanya, saya semakin kurang ke “majlis ilmu”, iaitu majlis yang mengingatkan saya kepada Tuhan. Apabila terlupa akan Tuhan, mana mungkin hati menjadi tenang. Kerana kesibukan kerja dan aktiviti, kuliah-kuliah di surau dan masjid agak saya kesampingkan. Alasan “standard” ialah S.I.B.U.K – iaitu alasan yang sesiapa pun tak berani membantah…
Keduanya, saya telah meninggalkan Ma’thuraat iaitu wirid yang dipetik dari Hadis Nabi dan Quran oleh Asy-Syahid Hassan Al-Banna, yang diajarkan oleh Nabi kepada kita semua. Sedangkan dalam Ma’thuraat itu mengandungi pelbagai doa dan harapan untuk diluahkan kepada Tuhan. Ia doa-doa dan zikir yang sangat baik untuk seorang hamba meluahkan segalanya kepada Tuhannya.
Membelai Jiwa Dengan Mengingati Tuhan
Ma’thuraat pernah menjadi rutin harian saya. Iaitu diamalkan setiap pagi ketika perjalanan ke tempat kerja. Sambil bermotosikal di Lebuhraya Utara Selatan yang membelah semenanjung itu, dari Sungai Buloh ke Jalan Duta, dengan pemandangan hutan dan bukit bukau yang indah dan mendamaikan, serta udara pagi yang dingin, saat yang sangat indah untuk mengungkapkan “kata-kata Cinta” kepada Tuhan - berzikrullah.
Tetapi malangnya, disaat ujian bertimpa, saya biarkan saat indah itu berlalu tanpa diisi apa-apa.
Ma’thuraat, mengandungi zikir-zikir dan doa-doa yang diajarkan Tuhan (Quran) dan Nabi (Hadis) kepada kita. Rugi benar kalau dikesampingkan zikir ini. Antara doa di dalamnya, meminta supaya; Allah hindarkan dari rasa resah dan bimbang, tak diuji lebih dari apa yang termampu, dilindungkan dari kejahatan manusia dan segala makhluknya, dan terlalu banyak khasiatnya yang lain, kalau kita semak hadis-hadis Nabi.
Ruginya Melupakan Tuhan
Di saat menghadapi ujian, betapa ruginya terlepas pandang akan zikrullah. Sedangkan “zikrullah” itu, Allah selalu sebutkan perkataan “kathiira” di hujungnya – bermaksud “banyak” [Al-Ahzab 33:41]. Allah suruh kita ingatkan Dia banyak-banyak sebab kita selalu lupa dan mudah lupa. Solat, Quran, wirid, dan majlis ilmu. Itu semuanya jalan untuk ingatkan kita akan Dia banyak-banyak. Bila ingatkan Dia, insyaAllah kita tak akan hilang punca. Yang susah akan menjadi mudah…
Manusia yang ingatkan Tuhan, dia akan ingat sesama manusia.
Suami yang ingatkan Tuhan, dia akan ingatkan isterinya. Dia akan ingat akan tanggungjawab terhadap isterinya. Anak yang ingat akan Tuhan, dia akan ingat ibubapanya. Jasa dan pengorbanan ibu akan sentiasa diingatinya, lantas dia berbuat baik kepada mereka. Itulah sebagai contoh, betapa pentingnya kita memperbanyakkan mengingati Tuhan.
Wallahu ‘alam.
Zulkifli
Damansara Heights7 Julai 2008
“Ingatlah kepada Allah banyak-banyak, mudah-mudahan kamu berjaya” [Al-Jumu’ ah 62: 10]
“(yaitu) orang-orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingati Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah-lah hati akan menjadi tenteram.” [Ar-Ra’d 13: 28]
“Dan sesungguhnya mengingati Allah (dengan solat) adalah lebih besar (keutamaannya dari ibadah-ibadah yang lain)” [Al-Ankabuut 29: 45]
[…] (Saya pernah ulas pasal ibadah asas dan kaitannya dengan emosi dan fikiran kita dalam artikel “Rehatkan Diri Dengan Ke Masjid”, “Mencari Damai di Taman Syurga” dan “Apabila Zikrullah Ditinggalkan”) […]
terima kasih atas pesanan dan perkongsian tuan.
Kadang-kadang kita lupa atau “lost”
Bila kembali mengingat Allah,
Kita rasa tenang dan kembali on the track.
Semoga saya terus kekal beristiqamah
Alhamdulillah En. Hanis. InsyaAllah.