Inilah Cara Saya Keluar Dari Kesempitan Wang

by on April 26, 2018

Post image for Inilah Cara Saya Keluar Dari Kesempitan Wang

Ramai yang ada masalah kewangan hubungi saya minta pendapat bagaimana untuk keluar dari masalah kewangan. Bila mereka tahu saya juga pernah lalui zaman kesempitan kewangan seperti mereka, maka soalan yang selalu ditanya ialah, apa pelaburan atau bisnes yang telah saya buat membolehkan saya keluarkan masalah kewangan?

Oh, bila itu soalannya, maksudnya mereka fikir, masalah kewangan boleh diselesaikan dengan mudah kalau buat pelaburan ataupun bisnes. Dan ramai mahu tahu apa pelaburan atau bisnes yang saya buat supaya mereka pun boleh buat perkara yang sama dan bebas dari masalah kewangan mereka sendiri!

Jawab saya, bukan pelaburan atau bisnes itu yang membolehkan saya bebas dari masalah kewangan.

Pelaburan Bukan Penyelesaiannya

Kalau saya berjaya dalam sesuatu pelaburan, bukan bermaksud semua orang akan berjaya kalau buat pelaburan yang sama. Setiap pelaburan, ada yang buat duit, dan ramai yang hilang duit disebabkan kerugian. Maksudnya, bukan pelaburan itu yang menyelesaikan masalah kita. Yang membezakan orang yang berjaya dan gagal dalam sesuatu pelaburan ialah ilmunya tentang pelaburan tersebut.

Kalau ada ilmu, duit akan datang. Kalau ada duit tetapi tidak ada ilmu, duit itu akan habis. Kalau ada ilmu dan duit, duit yang ada itu akan berkembang menjadi lebih banyak! Itulah kuncinya mengikut pengalaman saya.

Jadi kalau ada masalah kewangan, kuncinya yang pertama ialah dapatkan ilmu kewangan – termasuk juga ilmu tentang pelaburan dan bisnes. Bukan buat pelaburan. Kalau masih ada duit yang berbaki, duit itu jangan sesekali dilaburkan. Sebaliknya simpan sahaja duit itu baik-baik. Melabur tanpa ilmu akan membuatkan duit itu “lebur”. Hidup yang simpit semakin terhimpit!

#1 – Dapatkan Ilmu Dulu, Bukan Melabur

Ketika saya dalam kesempitan kewangan dahulu, apa yang saya buat ialah banyak membaca buku. Ya, membaca buku. Buku pertama membuka minda saya tentang kewangan ialah “Jutawan Dari Planet Jupiter” tulisan pakar kewangan Azizi Ali. Itu buku kewangan pertama saya.

Setelah membaca buku itu, saya teruskan lagi membaca buku-buku yang lain. Nak beli banyak buku, saya tidak mampu ketika itu. Nak simpan RM50 sebulan pun saya tidak mampu, apatah lagi nak beli buku-buku yang harganya rata-rata RM40 – RM60 sebuah. Jadi saya hanya mampu membacanya di kedai buku secara percuma (free).

Pernah suatu ketika, hampir setiap hari saya ke kedai buku MPH Book Store di Mid Valley, Kuala Lumpur. MPH ketika itu menyediakan ruang untuk duduk dan membaca buku. Jadi rutin saya setiap kali habis waktu kerja ialah duduk di kedai buku. Saya membaca sampai kedai buku itu tutup jam 10.00 malam, hampir setiap hari!

Dari pembacaan itulah saya nampak masa depan yang lebih baik. Ilmu-ilmu dari buku-buku itu menyuluh masa depan saya. Dan ketika itulah saya sudah memasang cita-cita untuk bebas dari hutang dan seterusnya “bekerja hingga tidak lagi perlu bekerja”, itu menjadi orang yang bebas kewangan (financial freedom). Alhamdulillah.

#2 – Bergaul Dengan Orang Berjaya

Kunci kedua ialah pergaulan, iaitu berkawan dengan orang berjaya ataupun orang yang sama-sama mempunyai matlamat mahu berjaya. Antara nasihat penting dari banyak guru kewangan ialah bergaul dengan orang berjaya. Jadi untuk terus belajar, saya datang ke seminar-seminar dan perjumpaan bisnes.

Ketika tahun 2003 – 2005, saya tak pernah terdedah dengan seminar kewangan atau pelaburan. Saya yakin, memang ketika itu tidak ada seminar kewangan terbuka sepertimana sekarang. Yang banyak hanyalah seminar bisnes, terutamanya direct selling dan MLM (multi-level marketing).

Antara kesempatan yang saya ada ialah datang seminar anjuran direct selling. Kebetulan kawan pejabat saya salah seorang dari ejen direct selling tersebut, jadi saya ikut dia ke seminar-seminar yang dianjurkan. Kebanyakkan seminar adalah percuma atau yurannya mampu dibayar oleh orang seperti saya. Walaupun seminarnya lebih kepada cara menjadi ejen jualan yang berjaya, tetapi ilmu dan pengalaman dari latihan itu sangat berguna dan banyak membentuk siapa saya pada hari ini. Daripada seminar-seminar itu, saya kenal buku-buku tulisan Robert T. Kiyosaki, iaitu antara guru kewangan dan bisnes yang bagus dari Amerika. Banyak siri buku tulisan Robert T. Kiyosaki yang saya beli dan baca. Dulu semuanya bahasa English, sekarang sudah banyak buku beliau diterjemah ke Bahasa Melayu.

Daripada latihan direct selling itulah saya belajar lebih banyak ilmu kewangan, bisnes, motivasi dan kejayaan diri. Saya belum buat duit yang banyak dari bisnes direct selling itu, tetapi yang lebih penting, pergaulan saya dengan rakan-rakan bisnes itu telah banyak membentuk jati diri saya seperti hari ini, alhamdulillah.

Bila berkawan dengan orang bisnes, cara berfikir pun sudah berubah. Dari seorang yang hanya fikir tentang kenaikan gaji dan peningkatan jawatan dalam kerjaya, kepada seorang yang mahu bebas dari hutang dan mencapai kebebasan kewangan! Iaitu seorang yang tidak bekerja pun tetap ada duit, insyaAllah.

#3 – Hubungan Yang Baik Dengan Tuhan

Kunci ketiga ialah hubungan kita dengan Tuhan, iaitu pemilik segala kekayaan. Saya boleh katakan antara punca utama ramai tersepit dengan masalah kewangan disebabkan kita terlalu risau dengan “apa orang kata”, lebih dari “apa yang Tuhan kata”. Sedangkan kalau kita utamakan “apa yang Tuhan kata”, kita lebih tenang membuat apa sahaja keputusan kewangan.

Bila utamakan “apa yang orang kata” melebihi “apa yang Tuhan kata”, maka kita sentiasa nak kelihatan bagus di depan orang lain walaupun ianya sebenarnya menyusahkan hidup kita. Hakikatnya, kita tak akan sama sekali dapat puaskan hati semua orang. Kalau kita susah akan ada orang mengata, dan kalau kita senang sekalipun akan ada juga orang mengata. Jadi kalau kita terlalu fikir apa orang kata, maka kita akan buat banyak kesilapan dalam kewangan.

Contohnya, baru sahaja grad dan dapat kerja, terus beli kereta baru walaupun sebenarnya kita tak perlu pun kereta itu. Tapi sebab nak tunjukkan orang lain yang kita mempunyai kerja yang baik, maka kita ´hadiahkan´diri sendiri dengan BEBAN kewangan membeli kereta! Akhirnya hilang kemampuan menyimpan wang setiap bulan, bahkan tersepit dengan beban kewangan yang baru.

Ketika dalam kesempitan wang dulu, saya banyak muhasabah diri. Bila susah, sesiapa pun akan mencari “super power” yang boleh membantu menyelesaikan masalah. “Super power” itu tidak ada yang lain kecuali Tuhan. Ketika itu, saya sedar banyak kekurangan pada diri yang perlu saya perbaiki. Waktu itu saya tersedar, saya sudah lama tidak ke masjid, kurang membaca Al-Quran dan zikrullah sepertimana amalan saya ketika sedang belajar di universiti. Saya perbaiki diri saya sedikit demi sedikit. Ujian kesempitan itu sebenarnya cara Tuhan paksa saya jadi lebih baik. Alhamdulillah.

Bila ingat semula, kekadang saya rasa bersyukur sebab Tuhan uji saya dengan kesusahan. Kalaulah saya diberi kesenangan berpanjangan tanpa pernah melalui kesusahan, mungkin saya bukan seperti saya pada hari ini. Apa yang saya faham, kesenangan yang Tuhan beri dalam keadaan kita tidak taat pada Tuhan itu dinamakan istidraj. Istidraj maksudnya Tuhan sedang meninggikan tempat jatuh untuk seseorang! Nauzubillahi min zaalik.

Hakikatnya, susah atau senang sebenarnya semua adalah ujian dari Tuhan. Ketika susah, kita diuji pada sabar. Ketika senang, kita diuji pada syukur. Susah senang yang silih berganti, itulah cara Tuhan mendidik kita menjadi manusia yang lebih baik di sisiNya.

#4 – Berbuat Baik Kepada Ibubapa

Kunci ke-4 ialah berbuat baik kepada ibubapa. Antara perkara penting untuk dapat keberkatan dan kemurahan rezeki dalam hidup ialah berbuat baik kepada ibubapa. Iaitu ibubapa kita dan ibubapa isteri kita. Berbuat baik kepada ibubapa sebenarlah salah satu amalan yang paling dicintai oleh Allah s.w.t sebagaimana pesan Nabi s.a.w dalam satu hadis;

Abdullah bin Masúd melaporkan, “Saya bertanya kepada Rasulullah. Manakah amalan yang paling dicintai oleh Allah?, Rasulullah menjawab, solat mengikut waktunya. Saya bertanya lagi, selain itu, apakah lagi? Beliau menjawab, berbakti kepada orang tua. Saya bertanya lagi, selain itu, apa pula? Kemudian berliau menjawab, berjihad pada jalan Allah.” – direkodkan oleh Bukhari Muslim

Jadi ketika dalam kesempitan wang dulu, saya adakan bajet khas untuk ibubapa dan mentua saya setiap bulan untuk berbuat baik kepada mereka. Setiap bulan saya akan simpan. Duit hasil simpanan itu, kami gunakan untuk beri kebaikan kepada ibubapa mengikut cara yang membahagiakan mereka.

Cara Memberi Kebaikan Kepada Ibubapa

Ada ibubapa yang tak perlu duit, tetapi mereka perlukan anak-anak selalu pulang ziarahi mereka. Maka duit itu gunakanlah untuk balik kampung ziarahi mereka. Ada ibubapa yang perlukan duit, maka kita hulurkan duit setiap bulan sebagai tanda ingat kepada mereka. Pokoknya, bajet itu kami gunakan untuk buat baik kepada ibubapa dan mentua.

Ketika dalam kesempitan, saya tidak pernah mengadu masalah kewangan kepada mereka, apatah lagi meminta-minta bantuan dari mereka. Masalah itu saya simpan bersama isteri. Ibu saya hanya tahu saya pernah melalui zaman kesempitan wang hanya setelah keluar buku pertama saya bertajuk Zero Hutang! Iaitu lepas 10 tahun ianya berlalu. Saya fikir, saya harus berdiri di atas kaki sendiri. Pantang sekali memohon simpati. Sebagai anak, tanggungawab saya untuk berbakti, bukan memohon simpati.

Saya masih ingat, ketika saya tak mampu menabung walaupun RM50 sebulan, saya tetap simpan RM50 sebulan untuk ibubapa dan mentua. Ketika itu saya tak mampu berikan komitmen hulurkan duit setiap bulan, tetapi saya tetap simpan duit itu setiap bulan untuk mereka. Dan bajet itu saya tak pernah potong walaupun dalam kesempitan, bahkan kami sentiasa tambah dari semasa ke semasa bila kemampuan kami meningkat. Alhamdulillah.

Dan apa yang penting juga ialah minta ibubapa doakan semoga Allah lapangkan rezeki untuk kita. Ketika ibubapa masih hidup, peluang besar yang kita ada ialah doa dari mereka. Maka mintalah mereka doakan untuk kita. Saya sendiri sering minta ibu doakan untuk saya berjaya dalam kewangan dan bisnes yang saya usahakan. Bahkan saya sentiasa beritahu ibu saya tentang matlamat saya dalam bisnes dari semasa ke semasa supaya ibu tolong doakan untuk saya.

Jadi itulah empat kunci penting yang saya ambil perhatian untuk keluar dari kesempitan wang suatu ketika dahulu. Mudah-mudahan pengalaman saya bermanfaat untuk sahabat pembaca. InsyaAllah.

Zulkifli
Cyberjaya
26 April 2018
10 Syaaban 1439H

FB Live tentang “Cara Keluar Dari Kesempitan Wang” di Page www.fb.com/mohdzulkifli.page

{ 15 comments… read them below or add one }

1 rohaizah khamis April 26, 2018 at 6:16 pm

Assalammualaikum Encik Zulkifli ,

Sejak mula bekerja dari 2002 hingga sekarang , gaji saya setiap bulan saya perbelanjaan pertama saya selepas saving adalah memberi kepada ibu bapa. tanpa gagal. even duit saya cukup atau tidak, pemberian saya tidak pernah tidak ada dengan nilai yang sama atau bertambah , tidak berkurang.

saya yakin sangat dengan keberkatan rezeki melalui pemberian kepada ibu bapa hatta sedikit apatah lagi banyak.

terima kasih di atas perkongsian Encik Zul di atas. saya baca , saya sebak. keempat2 itu TEPAT. sangat TEPAT!

moga kehidupan Encik Zul sekeluarga semakin berkat. Amin .

Reply

2 Mohd Zulkifli Shafie April 26, 2018 at 6:46 pm

Wslm Pn. Rohaizah,

Alhamdulillah.

T.kasih sharing pengalaman puan. Menarik dan menjadi motivasi untuk semua, insyaAllah.

Reply

3 azrinros April 26, 2018 at 9:52 pm

Kisah inspirasi bagi orang diluar sana untuk mengubah nasib dan status kewangan mereka.

Reply

4 Mohd Zulkifli Shafie April 27, 2018 at 9:39 am

Alhamdulillah. Mudah-mudahan bermanfaat, insyaAllah.

Reply

5 ali April 27, 2018 at 10:10 am

Benar skali apa yang dituliskan oleh En. Zul. Kalau diikutkan hati saya ingin balik setiap minggu untuk menziarahi ibubapa. Namun tugas dan kekangan masa, kami pastikan sebulan 2 kali kami mesti balik walaupun sekejap. JB – Melaka. Setiap kali naik gaji saya akan pastikan kenaikan juga untuk sumbangan kepada ibu bapa.

Siapkan keperluan mereka.Masakkan/Belikan makanan kegemaran mereka. Apa peralatan dan kelengkapan yang kita ada di rumah, pastikan mereka juga memakainya. InshaAllah segalanya dipermudahkan, rezeki makin bertambah. Saya sharekan sebab saya telah merasai KEAJAIBANNYA.

Semuga kita semua diberkati.

Reply

6 Mohd Zulkifli Shafie April 27, 2018 at 11:28 am

MasyaAllah.

Terima kasih atas perkongsian En. Ali. Pengalaman yang baru sebagai motivasi kepada kita semua berbuat baik kepada ibubapa, insyaAllah.

Reply

7 Prio Handoko April 27, 2018 at 11:31 am

very inspiring …

Reply

8 Mohd Zulkifli Shafie April 28, 2018 at 5:12 pm

Alhamdulillah.

Reply

9 Wafy COWAY April 27, 2018 at 2:32 pm

Dan yang palain penting bersabar dalam semua perkara yang disebutkan diatas huhu

Reply

10 Mohd Zulkifli Shafie April 28, 2018 at 5:13 pm

Betul En. Wafy.

Reply

11 Bachtiar Pudya May 3, 2018 at 1:05 pm

Terimakasih en Zul…
Sungguh sangat menginspirasi kami di Indonesia
Semoga kami juga bisa seperti en Zul

Reply

12 Mohd Zulkifli Shafie May 7, 2018 at 10:54 pm

Sama2 Pak Bachtiar.

Alhamdulillah.

Reply

13 Norhafizah Abdullah May 4, 2018 at 2:04 pm

Tq en Zul untuk perkongsian ni..inshaa Allah saya akan cuba perbaiki diri ini.

Point 1 dan 2 saya sedang lalui sekarang, tapi point 3 dan 4 saya masih tidak sempurna lagi.

Hubungan dengan Allah terasa masih jauh lagi, hanya solat 5 waktu yang saya jaga, amalan sunat kadang2 buat..kadang2 tak buat..terasa khilaf diri ini.

Hubungan dengan ibu bapa saya masih rasa tidak sempurna, setiap bulan memang ada bagi duit poket tapi jauh di sudut hati saya rasa masih tak cukup dengan hanya beri duit.

Moga Allah permudahkan urusan saya kelak untuk menjadi insan yang baik. Doakan saya en Zul..

Reply

14 Mohd Zulkifli Shafie May 7, 2018 at 10:55 pm

Sama2 Cik Norhafizah.

Tak apa. Letakkan azam untuk pertingkatkan diri sendiri. InsyaAllah semakin lama semakin baik, insyaAllah.

Reply

15 Mdm Zai May 14, 2018 at 9:33 am

Salam tuan,

Setuju sangat dengan penulisan tuan. Bukan tidak setuju dengan bisnes or pelaburan untuk keluar daripada kesempitan hidup tetapi kalau tidak dengan tabiat menyimpan terlebih dahulu, manakan nak datang modal? Pokok pangkal istiqamah dalam membuat tabungan. Tapi saya percaya, setiap orang ada cara nak speed kaya cepat. Tepuk dada tanya poket saku sendiri.

Salam maju jaya semua!

Reply

Leave a Comment

Previous post:

Next post: