MohdZulkifli.Com

Motivasi Kewangan & Simpanan Emas

Pendakwah Tanpa Misi

Pendakwah Tanpa Misi Sabah

Di Sabah, orang yang namanya Islam, tetapi ke gereja, itu perkara biasa terutamanya di kawasan pedalaman dan pergunungan.

Kuliah maghrib di Masjid Damansara Damai malam tadi, disampaikan oleh Ust. Abdul Halim Abas, iaitu salah satu nama yang disebut di dalam buku “Abuya Pemimpin Paling Ajaib Di Zamannya” oleh Ummu Jah (isteri ke-3 Ustaz Ashaari). Beliau dikatakan sebagai salah seorang yang ingin merampas kuasa Abuya sewaktu di dalam Arqam dulu.

Hm.. itu cerita dulu…

20 Hari di Sabah, 10 Hari di Semenanjung

Fokus kuliah semalam tentang pengalaman dakwah beliau di pedalaman Sabah. Rupa-rupanya, beliau sekarang ni sedang bergiat aktif dengan dakwah non-muslim di sana serta dakwah terhadap masyarakat Islam yang dikatakan amat rapuh aqidahnya. Dalam sebulan, 20 hari berada di Sabah, dan 10 hari berada disemenanjung. Begitulah rutin bulanan beliau. Beliau juga turut terlibat aktif dengan dakwah di Indonesia.

Berbondong-bondong Keluar Islam

Menurut beliau, kalau dikatakan 500,000 orang Islam murtad, memang beliau percaya. Di Sabah, orang yang namanya Islam, tetapi ke gereja, itu perkara biasa terutamanya di kawasan pedalaman dan pergunungan. Di sana, orang berbondong-bondong keluar Islam.

Para pendakyah Kristian begitu ramai di sana. Bukan sahaja dari Sabah, tetapi dari Filipina, Korea, Jepun dan sebagainya. Mereka memasuki kawasan pedalaman untuk mengkristiankan orang Islam. Mereka mempunyai DANA yang sangat banyak. Dengan dana itu, mereka mengambil berat KEBAJIKAN sasaran dakyah mereka.

Majoriti Tak Solat Subuh

Menurut beliau lagi, orang Islam di sana, amat rapuh pegangan agamanya. Dalam satu kampung, yang jenis bangun solat subuh cuma 2, 3 orang sahaja. Terlampau banyak masjid dan surau di sana sunyi sepi, berhabuk, tak ada air, berkunci dan menjadi tempat rehat binatang ternak. Ini disebabkan ia jarang dikunjungi oleh manusia.

Tak Ramai Pendakwah

Beliau amat sedih apabila memikirkan fenomena di sana. Tak ramai pendakwah yang sanggup ‘mengotori’ tubuhnya untuk mendekati masyarakat Islam yang jahil. Apatah lagi mendekati non-muslim untuk tujuan dakwah.

Pada pendapat beliau, sebenarnya di sana ada RAMAI USTAZ yang datang dari SEMENANJUNG. Tetapi masalahnya, dakwah bukanlah menjadi agenda utama mereka. Mereka ke sana semata-mata untuk CARI MAKAN sahaja. Mereka semua bercita-cita untuk kembali ke semenanjung. Kalau ada yang menetap pun, kerana disebabkan mereka telah memiliki bisnes di sana, atau beli tanah, serta terkahwin dengan orang sana.

Pendakwah Tanpa Misi

Beliau sedih, kenapa pendakwah jadi begini. Para sahabat Nabi S.A.W dulu katanya, kalau mereka keluar dari Madinah, matlamat mereka ialah ISLAM TERSEBAR di mana sahaja mereka singgah. Sudah tak ada lagi cita-cita kembali ke Madinah. Majoriti para sahabat dan tabi’ien meninggal di luar tanah Hijjaz (Mekah dan Madinah). Menurut beliau, kerana pendakwah seperti merekalah Islam sampai kepada kita hari ini.

Tetapi pendakwah hari ni, misinya “keluar cari makan, dapat makan balik kampung”. Begitulah realitinya. Teguran tersebut sebenarnya tepat kena pada muka saya sendiri. “Islam tersebar” bukanlah menjadi agenda utama saya. Itu hanya AGENDA “PART-TIME” sekadar mengisi waktu lapang sahaja.

Hmm… Saya termenung apabila diberi teguran sebegitu. Betapa lompangnya MISI hidup saya.

Isu Murtad Sekadar Tin Kosong

Beliau juga agak terkilan dengan pendakwah apabila menyentuh isu murtad. Di sana sini sibuk berforum isu murtad. Sibuk menuding jari kesalahan kerajaan yg menyebabkan umat Islam murtad. Tetapi apabila di ajak “AYUH BERDAKWAH”, tak ramai yang menyahut seruan tersebut.

Tindakan kita TAK LENGKAP. Kita hanya sibuk bercakap tentang “PERTAHANAN” aqidah, tetapi kita tak “MENYERANG”. Iaitu bersikap offensive untuk menawan hati orang bukan Islam supaya meminati Islam serta menawan hati ummat Islam yang rapuh aqidahnya. Menawan hati secara PERIBADI, bukannya secara PUBLISITI.

Yayasan Insan Kamil

Begitulah luahan pengalaman dan rasa beliau malam tadi. Beliau sekarang ni bergerak berpayungkan Yayasan Insan Kamil untuk mengutip dana bagi tujuan dakwah di Sabah khususnya. Banyak lagi cerita beliau yang tak sempat saya nukilkan di sini terutamanya tentang strategi gerakan Kristianisasi. Ia amat membimbangkan.

Selepas kuliah, saya berjumpa beliau secara peribadi. Mintak pendapat beliau bagaimana kita disemenanjung harus BERTINDAK. Apakah yang perlu dipertingkatkan dalam dakwah kita di sini. Sedikit pandangan beliau, saya jadikan panduan untuk mempertingkatkan dakwah kita di sini, insyaallah.

Sekadar berkongsi dan peringatan untuk diri sendiri dan teman-teman semua.

Wallahu ‘alam

Zulkifli
Damansara Damai
24 Januari 2007

Tentang Penulis

Mohd Zulkifli Shafie

Penulis buku bestseller; Wang Emas, dan Misi Bebas Hutang.

Menulis tentang kewangan sejak 2008. Berpengalaman membimbing lebih 7,000 penyimpan emas secara peribadi di Malaysia, Indonesia, Singapore dan Brunei sejak 2010.

Merupakan pengasas G100 Network; network terbesar dealer Public Gold (syarikat pengeluar emas terbesar di Malaysia), yang memberikan servis kepada lebih 500,000 penyimpan emas di seluruh Asia Tenggara.

{"email":"Email address invalid","url":"Website address invalid","required":"Required field missing"}
>