MohdZulkifli.Com

Motivasi Kewangan & Simpanan Emas

Anakku Mula Bersekolah

February 2, 2009

“Papa, bila Aisyah boleh pergi sekolah?”

“Em, nanti kita balik KL, Papa hantar Aisyah pergi sekolah yer sayang. Papa janji.”

Minta ke Sekolah

Dah lama benar Aisyah mintak disekolahkan. Seminggu lepas isteri bersalin di Kelantan, kami pulang ke Damansara Damai. 12 Januari 2009, itulah hari pertama Aisyah bersekolah – tadika 5 tahun.

Malam sebelumnya, saya ke PASTI An-Nur untuk dapatkan pakaian dan buku-buku. Aisyah lewat seminggu ke sekolah kerana kami ‘bercuti’ di Kelantan. Mencuba uniformnya yang serba hijau, melihat buku-bukunya, Aisyah kelihatan begitu excited sekali.

Melihat Aisyah yang begitu excited, saya turut sama excited.

“Oh, anak aku dah nak masuk sekolah. Em, aku dah masuk satu lagi fasa hidup”. Saya bercakap sendirian.

Fasa Baru Kehidupan

Aisyah ke sekolah, maknanya kami melalui satu lagi transisi hidup. Beralih ke satu lagi fasa kehidupan. Hati gembira bercampur risau. Risau takut-takut tak sempat bagi perhatian sebaiknya pada pelajaran Aisyah. Harapan saya adalah pada isteri. Sambil jaga anak-anak yang lain, mudah-mudahan dia dapat beri perhatian pada Aisyah.

Komitmen saya terhadap pelajaran Aisyah sebelum ni agak kurang memuaskan. Walaupun kekadang sempat juga mencuri masa mengajar Aisyah modul Iqra, program cepat membaca dengan modul Bacalah Anakku, tetapi ianya bersifat on and off. Tak consistent.

Gembira bercampur sedikit risau hingga terbawa-bawa ke dalam tidur. Tak lena sepanjang malam fikirkan nak berikan yang terbaik untuk Aisyah.

Hari Pertama ke Sekolah

Pagi itu, saya siap-siapkan Aisyah ke sekolah. Isteri tak dapat banyak membantu kerana berpantang. Siapkan makanannya, mandikan dia, mengenakan uniformnya yang baru, pastikan perutnya teralas, dan berikannya sebiji multivitamin supaya dia dapat bagi tumpuan di sekolah.

Tak lupa juga pesanan-pesanan penting; dengar cakap cikgu, main baik-baik dengan kawan-kawan, yang tak baik jangan ikut dsb.

Alhamdulillah, hari ini dah 12 hari Aisyah ke sekolah. Pagi tadi, walaupun demam, Aisyah tetap mahu ke sekolah. Jam 6 pagi tadi, badan Aisyah panas. Suhunya 38.3. Saya berikannya ubat demam. Jam 7.30, suhunya turun ke 37.2. Alhamdulillah, baik sikit.

12 Hari Pertama

Alhamdulillah, 12 hari pertama yang sangat baik. Aisyah sentiasa excited. Komen-komen positif yang selalu keluar dari mulutnya tentang sekolahnya – PASTI An-Nur yang saya dan sahabat-sahabat uruskan.

Papa, cikgu pesan, kalau Papa solat, Aisyah kena ikut papa solat sama”

Papa, cikgu Aisyah nama Lia (Zamlia). Aisyah suka cikgu Aisyah” (Cikgu Lia, isteri kepada Cikgu Azizan – sahabat kami di Damansara Damai).

“Papa, cikgu cakap, kalau Aisyah buat kerja sekolah cantik-cantik, nanti cikgu bagi bintang”

“Papa, bila Aisyah nak pergi sekolah. Esok cuti lagi ke?” rungut Aisyah masa cuti 4 hari Tahun Baru Cina – lama sangat kot.

Membiasakan Pensil Warna dan Kertas

Berbanding dengan Amal, Aisyah agak kurang pick-up (mungkin sebab tak cukup zat masa ibunya mengandung), tetapi Allah jadikan dia seorang yang rajin, bersemangat dan tekun. Hinggakan tak sempat saya penuhi permintaannya untuk diajarkan – Alif Ba Ta, ABC, dan Membaca, Mengira dsb. Melayan adik-adiknya salah satu faktor.

Seperti dilakukan kebanyakan ibubapa, kami biasakan Aisyah dan adik-adiknya dengan pensel warna dan kertas sejak kecil lagi. Alhamdulilah, bila masuk tadika, guru tak perlu lagi ambil masa untuk biasakan mereka dengan menulis.

Satu lagi, pentingnya anak-anak mula disekolahkan sejak 5 tahun lagi kerana di PASTI An-Nur, agak ramai juga pelajar 6 tahun yang tak mengikuti tadika 5 tahun – bermasalah untuk membiasakan dengan pensil. Guru perlu ambil banyak masa untuk ‘melembutkan’ tangan mereka sebelum sessi pembelajaran boleh bermula. Lagi sukar, jika anak itu kurang dibiasakan di rumah dengan pensil atau pensil warna!

Hantar/ Jemput Sendiri Tanda Perhatian

Alhamdulillah, 3 minggu permata yang baik. Cuma sedikit kekecewaan saya ialah tak dapat jemput kepulangan Aisyah dari sekolah – salah satu ‘impian’ hidup yang saya tulis sejak tahun 2005. Saya hanya mampu hantarkannya setiap pagi tetapi dia balik dengan van kerana saya kerja di pejabat.

Dari sudut motivasi anak-anak, tak sama kita hantarkan dan jemput sendiri berbanding orang lain hantarkan dan jemput. Ini kerana salah satu ‘makanan’ jiwa anak-anak ialah PERHATIAN.

Waktu kecil dulu, saya masih ingat lagi betapa gembira dan excitednya balik sekolah bila mama/ abah jemput kepulangan kami adik-beradik di sekolah. Tetapi Aisyah tak merasai itu buat masa ni.

Harapan Untuk Anak-Anak

Untuk anak-anak, kami tak meletakkan apa-apa cita-cita dari sudut kerja. Tak kisahlah nak jadi doktor ker, guru ker, akautan ker, ahli perniagaan ker dsb. Kerjaya mereka, terpulangkan kepada minat dan kecenderungan mereka.

Apa yang paling penting, mereka ada iman dan menjadi orang yang bertaqwa kepada Allah. Kalau ada iman, dan bertaqwa, insyaAllah hidup mereka cukup segala-galanya, insyaAllah.

“Ya Tuhan kami, anugerahkanlah kami pasangan dan zuriat yang menyenangkan hati, dan jadikanlah kami pemimpin bagi orang yang bertaqwa” [Al-Furqan 25: 74]


Zulkifli
Damansara Damai
29 Januari 2009

Tentang Penulis

Mohd Zulkifli Shafie

Penulis buku bestseller; Wang Emas, dan Misi Bebas Hutang.

Menulis tentang kewangan sejak 2008. Berpengalaman membimbing lebih 7,000 penyimpan emas secara peribadi di Malaysia, Indonesia, Singapore dan Brunei sejak 2010.

Merupakan pengasas G100 Network; network terbesar dealer Public Gold (syarikat pengeluar emas terbesar di Malaysia), yang memberikan servis kepada lebih 500,000 penyimpan emas di seluruh Asia Tenggara.

{"email":"Email address invalid","url":"Website address invalid","required":"Required field missing"}
>