Antara perkara yang paling saya tak gemar ialah menunggu orang yang lambat untuk memulakan mesyuarat. Lagi-lagilah kalau menunggu tanpa apa-apa perkara bermanfaat yang boleh saya buat sementara menunggu - seperti membaca buku dsb. Ah, ruginya masa terbuang begitu sahaja...
Orang yang selalu lambat hadir ke mana-mana apointment (dengan sengaja) bagi saya adalah pencuri masa. Dia mencuri masa orang yang datang awal.
Janji Melayu
Saya perhati, lewat memulakan mesyuarat, usrah atau apa-apa perjumpaan dah jadi tabiat orang kita - Melayu. Sebab tu dah jadi satu trade mark "Janji Melayu". Maksudnya, janji yang tak ditepati.
Kalau janji pukul 9.30 malam, majlis biasanya akan bermula jam 10.00 malam. Bahkan kadang-kadang pukul 10.30 malam baru bermula! Setengah jam lewat seolah-olah dah jadi piawai orang Melayu.
Mengubah Tabiat Sebuah Organisasi
Sebenarnya tabiat begini bukan susah untuk dibuang dari organisasi-organisasi kita, kalau kita ada 'kuasa'. Caranya mudah, pengendali mesyuarat (atau perjumpaan) mesti memulakan ON-TIME - sebagaimana dijadualkan. Walau belum ramai yang hadir, majlis mesti tetap dimulakan. Tak perlu tunggu orang yang lewat.
Lama-kelamaan, insyaAllah ahli organisasi kita akan faham, program akan tetap bermula tepat pada waktu. Orang yang lewat tak akan diraikan sama-sekali! Itulah yang biasanya yang saya buat untuk apa-apa perjumpaan yang saya ada 'kuasa' mengendalikannya.
Sukarnya Mengubah Tebiat
Untuk mana-mana perjumpaan di luar 'kuasa' saya, memang saya tak boleh buat apa-apa. Apa yang boleh dibuat cuma bagi teguran sahaja. Tapi teguran pun tak jalan juga sebab ia dah jadi TABIAT sebuah kumpulan. Tabiat ni memang susah diubah, hinggakan orang Melayu gelarkan ia "Buang Tebiat" bagi sesiapa yang mengubah kebiasaannya.
Bagi organisasi yang di luar 'kuasa', saya biasanya akan turut hadir lewat - ikut realiti sesuatu kumpulan. Kalau program pukul 9.30 malam, tapi dah jadi rutin ia bermula 10.00 malam, maka saya pilih untuk hadir pukul 10.00 malam.
Ruginya Masa Kalau Menunggu
Daripada menunggu, lebih baik saya buat benda lain yang lebih bermanfaat. Setengah jam cukup berharga untuk layan dan ajar anak-anak. Sempat lagi bawa Anis keluar rumah, pergi kedai atau pusing-pusing Damansara Damai. Sempat mewarna bersama atau ajarkan Aisyah dan Amal - Quran atau pelajarannya.
Kalau penat, setengah jam sangat berharga untuk saya rehatkan badan sebelum terus berprogram. Dan kekadang, boleh saya manfaatkan masa untuk siapkan anak-anak masuk tidur atau mengemas sikit sebelum keluar rumah!
Wah... begitu bernilainya setengah jam...
Lewatkan Perjumpaan Kalau Ahli Ramai Sibuk
Saya faham, kelewatan ahli mesyuarat atau usrah kekadang bukan kerana tabiat lewat ke program, tapi kerana sibuk. Kalau para ustaz, mungkin kena bagi kuliah maghrib di surau-surau atau masjid. Bagi yang sibuk bekerja, ramai juga yang lepas maghrib baru sampai rumah. Hadir ke program atau mesyuarat, walaupun lewat adalah satu pengorbanan. Saya akui realiti ini...
Bagi kumpulan yang majoriti ahlinya sibuk begitu, adalah lebih baik jadual perjumpaan diubah. Jadualkan ia lewat daripada biasa. Kalau realitinya pukul 10.00 malam majlis baru boleh bermula, maka maklumkan kepada semua ahli, program bermula jam 10.00, bukan pukul 9.30 malam.
Ia penting, supaya organisasi kita tak dijadikan 'markaz' melahirkan para pencuri masa!
Zulkifli
Damansara Damai
6 Julai 2009