MohdZulkifli.Com

Motivasi Kewangan & Simpanan Emas

Pakai Selipar Naik Motor?

July 29, 2009

Naik motor
Masa nak datang office pagi tadi, ada kemalangan betul-betul depan One Menerung, Pusat Bandar Damansara. Kesian. Perempuan muda. Mungkin umur dalam 20-an.

Motor dia jatuh, kena himpit kereta. Ada satu kereta tukar lane secara mengejut, dan pastinya tak bagi signal. Tak pasti seteruk mana kecederaan dia, tapi yang pastinya lengan dan kakinya luka. Motornya bengkok handle.

Ada seorang lelaki bermotosikal berhenti tolong angkatkan motor. Saya berhenti tolong kutip SELIPAR dia kat tengah-tengah jalan raya!

Pakai Selipar Naik Motor?

Apa yang menarik perhatian saya pagi tadi ialah perempuan tu naik motosikal pakai SELIPAR! Wah… ini memang lagak ngeri. Dan saya perhati, memang ramai perempuan pakai selipar samada jadi penunggang atau pembonceng!

Kalau tengok tu, rasa macam nak berhenti jer, dan pesan “Kak, bahaya tu pakai selipar! Pakailah kasut masa naik motor”. Kalau suaminya yang menunggang, ingat nak pesan jer suami suruh dia ingatkan isteri pakai kasut. Sayang la kaki yang cantik tu…

Sebenarnya, nasihat saya berdasakan pengalaman beberapa kali terlibat dalam kemalangan masa bermotosikal – sejak lepas SPM.

Nasihat 1: Pakailah Kasut

Ada juga kenalan yang saya pesan suruh pakai kasut, tapi tak pakai juga. Tiba-tiba dapat berita dia terlibat kemalangan bersama isteri masa nak ke pejabat. Oh! Rupa-rupanya dia ambil mudah nasihat saya. Memang ‘habis’ kaki dia dan isteri. Kulit kaki mereka berdua habis ‘dikikis’ jalan raya! Oh… kesian… tanggungjawab saya dah lepas…

Ada dua tiga benda lagi yang saya nak pesan bagi mereka yang selalu bermotorsikal. Semua pesanan ni, untuk elakkan kemalangan, dan meminimumkan kecedaran kalau terlibat dengan kemalangan iaitu:

1. Pakai Kasut. Tak kisah apa jenis kasut, janji kulit kaki ‘terbalut’. Paling baik, pakai stokin sekali.

2. Pakai Glove.
Ada orang ingat pakai glove ni untuk bergaya. Ada juga yang ingat pakai glove ni untuk grip handle motorsikal kemas-kemas. Jadi, kenapa pakai glove? Nanti saya terangkan kemudian.

3. Pakai Reflective Vest.
Ini penting supaya pemandu kereta/ lori mudah nampak kita, terutamanya ketika cuaca malap atau hari gelap. Tak caya, try tanya orang berpengalaman bawa kereta/ lori.

4. Pakai baju lengan panjang tebal
– macam baju sejuk, windbreaker dll. Kalau jatuh motor, insyaAllah selamat la sikit siku tu.

Ada orang ingat saya pakai semua benda tu untuk bergaya. Dan ada yang fikir pakai semua benda tu tak ada ‘class’. Memang pelik dan janggal nampaknya. Ada orang cakap macam “Gaban”. Ada orang cakap macam “Polis”. Ah, saya tak peduli semua tu.

Yang penting, saya tahu itu untuk keselamatan diri saya. Dan kalau orang tu tahu ‘Harga Sebuah Kemalangan’, dia akan setuju dengan saya. Kalau ada masa nanti, saya ingat nak kongsikan artikal ‘Harga Sebuah Kemalangan’ di blog ini!

Nasihat 2: Pakailah Glove (Sarung Tangan)

Ok, apa pentingnya pakai Glove? Haa… saya dah beberapa kali jatuh motor. Dan saya ada kedua-dua pengalaman. Pengalaman kemalangan tanpa glove, dan kemalangan ketika pakai glove. Wow, memang jauh bezanya.

Tahukah anda, orang yang jatuh motor biasanya akan jatuh tapak tangan dulu? Sebab nak tahan badan daripada bergesel atas jalan. Bagi yang tak pakai glove, bila TAPAK TANGAN dia sakit bergesel atas jalan, dia akan jatuhkan SIKU. Bila siku rasa sakit bergesel, dia akan jatuhkan BAHU. Sebab tu orang jatuh motor, biasanya akan cedera tapak tangan, siku dan bahu! Itulah ‘pakej hadiah’ tak pakai glove…

Macam mana kalau pakai glove? InsyaAllah, tapak tangan, siku dan bahu kita akan terselamat. Itu pengalaman saya. Yang mungkin akan ‘tercedera’ cumalah glove sahaja – haus ataupun koyak.

Bukan Kecuaian Penunggang

Kalau ikutkan 6 tahun pengalaman bermotosikal di KL ni, kejadian motor kena himpit ni biasanya sebab pemandu kereta ‘on the phone’ masa memandu.

Saya sendiri pun entah dah berapa kali kena himpit kereta. Bila check-check, 90% faktornya adalah kerana pemandu kereta menelefon atau bersms semasa memandu!

Bila tengok statistik, memang betul. Kebanyakan kemalangan yang melibatkan motosikal, BUKAN kerana kecuaian penunggang. Dan paling malang, majoriti yang mati di jalan raya adalah penunggang motosikal!

Bagi anda yang memandu kereta atau lori, ingatlah jangan menelefon atau bersms ketika memandu. Menelefon atau bersms ketika memandu, mungkin akan menjadikan anda seorang pembunuh (penunggang motosikal)!

Dan percayalah, kalau anda terlibat kemalangan jalan raya, orang pertama yang akan menolong anda – angkat ke tepi jalan, telefon ambulan dsb – adalah penunggang motosikal!

Memang itulah pemerhatian saya…

 

Zulkifli
Damansara Heights
29 Julai 2009

Tentang Penulis

Mohd Zulkifli Shafie

Penulis buku bestseller; Wang Emas, dan Misi Bebas Hutang.

Menulis tentang kewangan sejak 2008. Berpengalaman membimbing lebih 7,000 penyimpan emas secara peribadi di Malaysia, Indonesia, Singapore dan Brunei sejak 2010.

Merupakan pengasas G100 Network; network terbesar dealer Public Gold (syarikat pengeluar emas terbesar di Malaysia), yang memberikan servis kepada lebih 500,000 penyimpan emas di seluruh Asia Tenggara.

  • {"email":"Email address invalid","url":"Website address invalid","required":"Required field missing"}
    >