Bila Izzat sentuh pasal sistem pengangkutan tu, kepala saya terus teringat tentang janji Pak Lah suatu ketika dulu iaitu penjimatan subsidi minyak oleh kerajaan – akan dimanfaatkan untuk meningkatkan kecekapan sistem pengangkutan di Lembah Klang (KL dan Selangor)!
Hm, apa dah jadi dengan janji tersebut?
Persepsi Saya Pada Pemimpin Malaysia
Izzat tanya saya, “Kenapa teruk sangat sistem pengangkutan kat KL?”. Err, serba salah saya dibuatnya. Em, secara sepontan mulut saya menjawab “Em, pemimpin Malaysia ni banyak sangat berpolitik kot. Tak sempat nak fikir pasal kepentingan asas rakyat (perbaiki sistem pengangkutan)”.
Entahlah… jawapan saya langsung tak patriotik. Tapi itulah persepsi saya terhadap pemimpin kita. Tak tahulah negara lain pun sama macam kita ataupun tidak. Kita terlalu banyak berpolitik (banyak ‘taktik’). Dada-dada akhbar, dan kaca televisyen kita tak pernah sunyi dari cerita-cerita politik kepartian, mengatasi berita-berita yang dekat dengan keperluan dan kepentingan rakyat.
Isu Sebenar Rakyat
Isu rakyat terlalu banyak sebenarnya. Rakyat kita yang semakin hari semakin rosak dengan pelbagai gejala – seks bebas, rogol, bunuh, rompak, dadah, dedah, rempit, dera dsb – cukup merisaukan. Boleh dikatakan setiap hari ada saja kes-kes tersebut dilaporkan oleh akhbar ‘terlampau’! Akhbar yang sentiasa mengganggu emosi saya setiap kali membacanya. Perasaan sedih, takut, kesian, marah, risau dan macam-macam lagi timbul bila baca laporan-laporan Akhbar Terlampau.
Isu rosaknya generasi muda dan remaja yang disebabkan oleh kosong dari pengisian yang berfaedah tak begitu merisaukan para pemimpin kita. Entah mereka sedar ataupun tidak, kawasan kediaman golongan berpendapatan rendah yang tak ada fasiliti sukan, rekreasi dan kemudahan aktiviti keremajaan itulah antara lubuk melahirkan mat-mat rempit!
Penempatan Kos Rendah: Universiti Mat Rempit?
Entahlah… mungkin nanti saya akan tulis artikel tentang kebosanan remaja zaman kini yang disebabkan faktor penempatan yang tak mesra remaja – antara faktor penting yang merosakkan mereka. Isu ni banyak bermain difikiran saya terutamanya setiap kali saya balik kerja lewat petang dan melihat kanak-kanak dan remaja di kediaman saya – Apartment Indah, Damansara Damai!
Kesian… saya fikir, kalau saya dibesarkan dalam suasa mereka, mungkin saya tak seperti saya hari ini… Persekitaran mereka dibesarkan tak seperti saya dan generasi saya dibesarkan – dalam persekitaran dan suasana yang mesra kanak-kanak dan remaja.
‘Bebaskan’ Diri Dari Akhbar…
Melihat kepada isu-isu sebenar rakyat, saya rasa muak untuk ikuti berita-berita perdana, baik TV ataupun akhbar. Kalau pun nak baca akhbar, saya cuma baca tajuk sahaja. Isinya tak perlu baca sebab tentunya muak dan membosankan. Daripada baca cerita politik, mungkin lebih baik saya baca buku-buku self-help yang sentiasa membuatkan hari-hari saya lebih baik dari semalam.
Pesan mentor saya, daripada membaca akhbar yang penuh dengan cerita-cerita negatif, lebih baik baca buku-buku, dengar kaset/ CD yang memberi input-input yang positif. Bacalah, dan dengarlah bahan-bahan yang boleh membuatkan masa depan kita menjadi lebih baik.
Bebaskan diri dari akhbar!
Zulkifli
Pasir Mas
30 November 2009