MohdZulkifli.Com

Motivasi Kewangan & Simpanan Emas

Pentingnya Edifikasi dalam Dakwah

January 11, 2010

Berbuka awal
Secara individu, kita memang lemah. Tapi bila berjemaah, kita kuat. Kata Nabi S.A.W, 'tangan' (pertolongan) Allah adalah bersama jemaah.

 

Perjumpaan usrah bersama sahabat kampus lepas subuh semalam, saya diajukan dengan berberapa kemusykilan dari adik kampus.

 

Antaranya tentang rasa rendah diri Nazri (seorang pimpinan kampus) untuk menggerakkan dakwah sedangkan beliau tak begitu cemerlang dalam pelajaran. Rakan-rakan ada yang pandang rendah pada beliau disebabkan kekurangan dari sudut akademik.

 

Sedikit sebanyak pengalaman, saya kongsikan dengan beliau.

 

Allah Jadikan Semua Manusia Hebat

Masa berkursus Mukmin Profesional dengan Ustaz Pahrol beberapa tahun lalu, saya masih ingat pesanan beliau iaitu;

 

"Allah jadikan semua manusia hebat, tapi kehebatan yang Allah beri pada setiap kita adalah dalam bidang yang berbeza".

 

Memang benar, setiap manusia ada kehebatan masing-masing. Mereka yang kurang cemerlang dalam akademik, bukan maksud tak cemerlang. Dia mungkin hebat dalam bidang lain seperti pertukangan, perniagaan, melukis atau apa sahaja kemahiran yang biasanya tak ada pada mereka yang cemerlang dalam akedemik.

 

 

Contohnya Syed Mokhtar Al-Bukhari. Beliau bukan lulusan universiti, tapi beliau adalah Melayu Muslim terkaya di Malaysia! Kenapa beliau hebat? Kerana beliau manfaatkan kelebihan yang Tuhan beri padanya, dan tak berdukacita dengan kekurangn yang ada.

 

 

Sama juga dengan kita. Kita hebat, tapi kehebatan kita adalah dalam bidang yang berbeza.

 

Dakwah dan Kecemerlangan Akademik

Persoalannya, macam mana nak berdakwah sedangkan kita tak cemerlang dalam akademik?

 

 

Saya teringat akan naqib dan mentor saya dalam dakwah masa di universiti iaitu Akhi Dzorif. Akhi Dzorif adalah orang yang banyak menyedarkan dan membimbing saya dalam dakwah. Walaupun beliau bukanlah orang yang begitu cemerlang dalam akademik, tapi 'anak' usrahnya terdiri daripada pelajar-pelajar yang cemerlang dan hebat-hebat belaka!

 

 

Persoalannya kenapa?

 

 

Memang dari sudut akademik beliau tak begitu cemerlang, tapi beliau ada kelebihan yang mana pelajar-pelajar cemerlang tak memilikinya. Beliau hebat dalam menyampaikan tazkirah. Beliau hebat membakar semangat supaya kita beriltizam dengan Islam. Beliau mempunyai akses ramai ustaz dan pendakwah-pendakwah yang hebat! Dan ramai ustaz dan guru-guru para pendakwah kenal dan sayang pada beliau.

 

 

Kelebihan yang beliau miliki, tak ada pada pelajar-pelajar yang cemerlang!

 

Pentingnya Dakwah Secara Berjemaah

Saya ingatkan Nazri, kita berdakwah bukan berseorangan. Secara individu, kita memang lemah. Tapi bila berjemaah kita kuat. Kata Nabi S.A.W, "'Tangan' Allah adalah bersama jemaah". Maksudnya, pertolongan Allah akan datang bila kita berjemaah. Kita ada jemaah, dan kita perlu manfaatkan kekuatan sebuah jemaah.

 

Antara prinsip penting yang diajar oleh mentor kami (dalam bisnes) bila bekerja dalam sebuah kumpulan ialah Edifikasi. Walaupun ianya diajar dalam bentuk bisnes, tapi prinsip ini perlu dimanfaatkan dalam dakwah. Saya pernah jelaskan apa maksud edifikasi dalam artikel lalu iaitu bertajuk "Promotelah Isteri Depan Anak-anak".

 

Pentingnya Edifikasi Dalam Dakwah

Walaupun Nazri tak begitu cemerlang dari sudut akademik, tetapi beliau masih ada kekuatan yang pelajar lain tak ada. Beliau seorang yang benar-benar beriltizam dengan Islam. Beliau mempunyai akses ramai ustaz-ustaz yang hebat. Dan beliau juga orang penting yang menjadi tempat rujuk presiden PMI yang baru!

 

 

Saya nasihatkan beliau supaya sentiasa mempromosikan (edifikasi) orang-orang yang hebat yang beliau mempunyai akses. Ceritakan kehebatan Presiden PMI yang baru contohnya, dan jemput mad'u (sasaran dakwah) berjumpa dengan Presiden. Dan mungkin beliau juga boleh promosikan saya selalu 'abang' dan juga 'mentor' beliau dan bawa mad'unya berjumpa dengan saya.

 

Berikan Kredit 'Respek' Pada Mentor

Kenapa beliau perlu beliau mempromosikan Presiden dan juga mentor beliau kepada mad'u? Tujuannya supaya mad'u respek pada Presiden dan juga mentor, walaupun mad'u tersebut kurang respek pada beliau!

 

 

Seperti yang saya pernah terangkan dulu, edifikasi (promosi) bukanlah mengada-adakan benda yang tiada, tetapi menzahirkan benda yang sepatutnya terzahir.

 

 

Seterusnya, Presiden baru selaku pimpinan dan saya selaku mentor perlu berperanan apabila beliau memperkenalkan mad'u kepada kami? Apabila beliau memberi 'kuasa' kepada saya melalui edifikasi tadi, pastinya saya perlu 'kembalikan' kuasa respek kepada beliau!

Kembalikan Semula Kuasa 'Respek'

Sebabnya, beliaulah yang akan membimbing mad'u tadi apabila 'ketiadaan' saya. Kalau mad'u tersebut respek pada saya, mereka juga patut respek pada Nazri.

 

 

Saya perlu mempromosikan dan menzahirkan kehebatan Nazri kembali kerana saya tahu siapa Nazri. Nazri seorang yang humble, seorang yang warak, berinisiatif, dan seorang benar-benar beriltizam dengan Islam. Kalau bersahabat dengan Nazri, saya yakin, sekurang-kurangnya mereka akan dapat tempias iman yang ada pada Nazri. Rugi benarlah kalau mad'u tersebut tak ikut dan berkawan rapat dengan Nazri.

 

Edifikasi Mewujudkan Kasih Sayang

Sebagaimana kehebatan Nazri terzahir pada mad'unya, begitu jugalah kehebatan naqib terzahir pada saya masa dikampus dahulu. Saya tak pandang pada akademik beliau, tapi saya kagum dengan iltizam beliau. Saya kagum kerana beliau begitu rapat dan senang mendapat akses dengan ustaz-ustaz yang hebat. Itu semua tak ada pada saya walaupun ketika itu saya adalah antara best student di kampus!

 

 

Edifikasi walaupun nampak kecil, tetapi impaknya sangat besar dalam dakwah. Ia akan menjadikan jemaah kita sebagai sebuah kumpulan yang saling angkat-mengangkat antara satu sama lain. Dan suatu hari nanti, akan wujudlah apa yang disebut oleh mentor kami sebagai "unconditional love" - rasa sayang menyayangi antara satu sama lain, insyaAllah.

 

 

Wallahu a'lam.

 

Zulkifli

Damansara Damai

11 Januari 2010

Tentang Penulis

Mohd Zulkifli Shafie

Penulis buku bestseller; Wang Emas, dan Misi Bebas Hutang.

Menulis tentang kewangan sejak 2008. Berpengalaman membimbing lebih 7,000 penyimpan emas secara peribadi di Malaysia, Indonesia, Singapore dan Brunei sejak 2010.

Merupakan pengasas G100 Network; network terbesar dealer Public Gold (syarikat pengeluar emas terbesar di Malaysia), yang memberikan servis kepada lebih 500,000 penyimpan emas di seluruh Asia Tenggara.

{"email":"Email address invalid","url":"Website address invalid","required":"Required field missing"}
>