MohdZulkifli.Com

Motivasi Kewangan & Simpanan Emas

Bila Tak Ada Duit, Pergi Cari Ilmu. Bukan Melabur

Bila tak ada duit, caranya bukan melabur, apatah lagi mengeluh tentang gaji atau mengumpat tentang boss dan majikan... Sebaliknya cari lebih banyak ilmu dan explore peluang-peluang bisnes untuk tambah pendapatan.

Ilmu itulah nanti yang akan membuka jalan untuk kita jadi kaya.

Saya pernah hidup sebagai miskin bandar di Kuala Lumpur. Bukan sekadar gaji kecil dan tak ada harta, tetapi lebih menekan ialah ada hutang yang banyak.

Duit gaji tolak dengan perbelanjaan, bakinya negatif! Aliran tunai negatif. Jumlah harta tolak jumlah hutang, bakinya adalah hutang! Maksudnya bukan sekadar pendapatan bulanan tak cukup, ada hutang lagi nak kena bayar!

Nak harapkan kenaikan gaji? Bertuah sangat kalau dapat kenaikan gaji RM200 setahun.

Cari Penyelesaian Dengan Membaca Buku

Kos sara hidup naik dari tahun ke tahun sangat cepat dengan pertambahan anak setiap 18 - 24 bulan seorang. Aduh... Gaji bergerak macam siput, tapi perbelanjaan menyondol macam babi! Siput dan babi...

Jadi apa yang saya buat? Cari ilmu...

Di sebalik kesusahan, Allah tunjukkan jalan.

Allah bagi kesusahan untuk ajar erti kepandaian dan ketabahan. Ketika susah itulah saya cari jalan dengan membaca buku-buku kewangan.

Antara buku yang mengubah hidup saya ialah buku "Jutawan Dari Planet Jupiter", tulisan mentor kewangan no. 1 Malaysia, iaitu Tuan Azizi Ali. Dan lagi satu ialah "Jutawan Senyap" tulisan seorang jutawan bisnes makan, Chef Li (Dato Dr Rusly Abdullah).

Antara buku yang telah mengubah hidup saya. Buku "Jutawan Senyap" dan "Jutawan Dari Planet Jupiter". Buku Jutawan Dari Planet Jupiter versi 2021, boleh dapatkan di PG Mall. KLIK DI SINI.

Hadiri Seminar dan Pergaulan Yang Betul

Kedua ialah hadiri seminar-seminar bisnes.

Lepas saya buat banyak kesilapan-kesilapan bodoh dalam bisnes, saya angkat tangan! Saya rehat dari bisnes beberapa ketika dan pergi cari ilmu. Saya banyar yuran kecerdikan yang tinggi supaya elak membayar yuran kebodohan yang mahal!

Ini antara fail kursus yang masih saya simpan dengan baik.

Beberapa siri kursus bersama Chef Li tahun 2006 - 2007 dulu untuk belajar cara buat duit dengan bisnes makanan dari rumah. Belajar ilmu bisnes makanan dengan jutawan dalam bisnes makanan. Dato Dr Rusly Abdullah, penulis buku "Jutawan Senyap".

Ketika tu, saya masih dalam usaha bebaskan dari dari hutang. Saya tak mengharapkan kenaikan gaji sebab itu di luar kawalan saya. Sebaliknya cari jalan besarkan pendapatan dengan mencari peluang-peluang bisnes.

Hasil dari ilmu beliau, alhamdulillah saya dan isteri dapat buat pendapatan sampingan yang agak lumayan. Antara yang saya masih ingat, setiap kali musim raya, isteri saya dapat buat 'duit raya' at least RM3,000 - RM4,000 dalam tempoh hanya 2 minggu!

Alhamdulillah.

Bila Ada Ilmu, Duit Akan Datang

Secara peribadi, saya tak melabur waktu tak ada duit. Pelaburan saya hanyalah ilmu.

Itu adalah pelaburan yang paling rendah risiko tetapi paling tinggi potensi keuntungannya. Ia dengan membeli buku-buku kewangan dan hadir ke seminar serta bengkel tentang bisnes.

Bila ada ilmu, dan "pendapatan" di dalam kawalan kita sendiri, itulah waktunya kita layak untuk melabur. Melabur dengan senang hati tanpa ada sebarang tekanan untuk mendapat keuntungan besar dalam pelaburan.

Hakikat yang perlu kita tahu, untung dalam pelaburan sangatlah kecil berbanding dengan perniagaan. Untung 20% dalam pelaburan dianggap luar biasa. Tapi untung 200% dalam bisnes itu biasa-biasa saja.

Orang kaya-kaya melabur sebab ada duit lebih, bukan sebab nak cari duit lebih.

Kalau tak ada duit lebih, caranya pergi cari ilmu, explore peluang-peluang bisnes, dan tingkatkan kemahiran diri supaya orang bisnes (majikan) sanggup bayar kita dengan gaji yang lebih mahal.

Ingat, tak akan sama orang berilmu dengan yang tak berilmu.

Ada ilmu, duit akan datang. Tak ada ilmu, duit yang ada pun akan hilang!

Zulkifli
Cyberjaya
1 Jun 2021
20 Syawal 1442H

#MotivasiKewangan #BukuMisiBebasHutang

“Bila ada masalah kewangan, jangan sesekali melabur. Melabur bukan untuk orang yang nak cari duit lebih. Tapi untuk yang ada duit lebih. Bila melabur, rugi dalam tangan. Untung belum tentu. Jangan sesekali melabur dengan duit yang kita tak sanggup lebur.” - FB Mohd Zulkifli Shafie, 18 Januari 2024

Ilmu penyuluh hidup. Lagi banyak ilmu, lagi teranglah masa depan. Tanpa ilmu, masa depan nampak gelap. Nak ubah hidup, mulakan dengan obses mencari ilmu dan jangan berhenti belajar. Kalau tak belajar, kehidupan akan mengajar kita dengan lebih banyak kesilapan. - FB Mohd Zulkifli Shafie, 21 Oktober 2024

Tentang Penulis

Mohd Zulkifli Shafie

Penulis buku bestseller; Wang Emas, dan Misi Bebas Hutang.

Menulis tentang kewangan sejak 2008. Berpengalaman membimbing lebih 7,000 penyimpan emas secara peribadi di Malaysia, Indonesia, Singapore dan Brunei sejak 2010.

Merupakan pengasas G100 Network; network terbesar dealer Public Gold (syarikat pengeluar emas terbesar di Malaysia), yang memberikan servis kepada lebih 500,000 penyimpan emas di seluruh Asia Tenggara.

  • {"email":"Email address invalid","url":"Website address invalid","required":"Required field missing"}
    >