MohdZulkifli.Com

Motivasi Kewangan & Simpanan Emas

Nilai Sejambak Bunga Buat Isteri

March 1, 2023

"Buat apalah bagi sejambak bunga hidup. Lepas seminggu nanti bunga tu akan mati (kering)... 

Lebih baik bagi bunga plastik. Tahan lama...

Atau bunga hidup dalam pasu sahaja. Boleh tahan bertahun-tahun..."

Itu cara berfikir logik orang lelaki. Orang lelaki fikir secara logik. Tapi berbeza dengan wanita. Wanita kekuatan mereka pada emosi dan perasaan.

More...

Berbeza Bentuk Hadiah

Kalau nak bagi hadiah kepada suami, bagi hadiah barang yang dia boleh guna atau pakai.

Tapi kalau nak bagi hadiah kepada isteri, bagi hadiah yang boleh membelai perasaannya. Bukan ikut logik lelaki...

Kalau tak tahu perbezaan ini, kita akan sentiasa konflik.

Isteri rasa dia tidak sayangi. Suami pula rasa dia tidak difahami. Walaupun pada hakikatnya sama-sama saling mencintai...

Saya hanya sedar perbezaan ni setelah membaca buku "Men Are From Mars, Women Are From Venus" tulisan John Gray, iaitu setelah berbelas tahun mendirikan rumahtangga...

Kalau saya tahu, itulah antara buku terawal yang patut saya baca ketika mendirikan rumahtangga. Supaya faham tentang perbezaan ini kerana memang Tuhan jadikan lelaki dan perempuan itu tidak sama... Tapi saling melengkapi...

Bertanggungjawab Sahaja Tidak Cukup

Sebelum saya baca buku-buku tentang psikologi dalam rumahtangga, saya fikir perkahwinan adalah tentang tanggungjawab (nafkah makan minum, tempat tinggal dan pakaian) sahaja.

Kalau ianya disempurnakan, maka rumahtangga akan bahagia...

Tapi sebenarnya tak cukup...

Walaupun suami yang sudah bekerja keras untuk mencukupkan keperluan isteri, tetapi isteri tetap rasa kosong jiwanya kalau suami itu tak faham bahasa cinta.

Bila baca hadis-hadis tentang rumahtangga Rasulullah s.a.w, saya dapati baginda bukan sahaja suami yang bertanggungjawab, tapi baginda juga adalah suami yang romantik terhadap isteri-isterinya.

Sikap romantik itu rupa-rupanya termasuk juga dalam "nafkah batin" yang selalunya hanya difahami sebagai memenuhi keperluan seksual sahaja.

Hakikatnya "nafkah batin" adalah lebih daripada itu.

Bertanggungjawab Lagi Romantik

Tanpa faham ilmu-ilmu tersebut, lelaki kebanyakan terpecah kepada dua golongan. Iaitu lelaki yang bertanggungjawab tapi tak romantik. Dan lelaki yang romantik tapi tak bertanggungjawab...

Dulu saya termasuk golongan yang pertama...

Setelah membaca kisah-kisah rumah tangga Rasulullah s.a.w, saya sentiasa berusaha lengkap diri dengan kedua-duanya.

Kerana pesan baginda s.a.w, "...sebaik-baik kalian adalah yang paling baik pada isterinya.” (HR At-Tirmizi)

(Ingatlah) ketika isteri Imran berkata:

"Tuhanku! Sesungguhnya aku nazarkan kepadaMu anak yang ada dalam kandunganku sebagai seorang yang bebas (dari segala urusan dunia untuk berkhidmat kepadaMu semata-mata), maka terimalah nazarku; sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.”

Maka apabila dia melahirkannya, berkatalah dia:

“Wahai Tuhanku! Sesungguhnya aku telah melahirkan seorang anak perempuan (sedang yang aku harap-harapkan ialah anak lelaki), – dan Allah memang mengetahui akan apa yang dilahirkannya itu – dan memanglah tidak sama anak lelaki dengan anak perempuan; dan bahawasanya aku telah menamakannya Maryam, dan aku melindungi dia dengan peliharaanMu, demikian juga zuriat keturunannya, dari godaan syaitan yang kena rejam (yang dikutuk dan disingkirkan)”.(Surah Ali Imran 3 : 35 - 36)

Zulkifli
Cyberjaya
1 Mac 2023
8 Syaaban 1444H

Syukur dengan rahmat Allah. Usia perkahwinan kami sudah masuk tahun ke-20. Rasa cepatnya waktu berlalu. Alhamdulillah.

Tentang Penulis

Mohd Zulkifli Shafie

Penulis buku bestseller; Wang Emas, dan Misi Bebas Hutang.

Menulis tentang kewangan sejak 2008. Berpengalaman membimbing lebih 7,000 penyimpan emas secara peribadi di Malaysia, Indonesia, Singapore dan Brunei sejak 2010.

Merupakan pengasas G100 Network; network terbesar dealer Public Gold (syarikat pengeluar emas terbesar di Malaysia), yang memberikan servis kepada lebih 500,000 penyimpan emas di seluruh Asia Tenggara.

{"email":"Email address invalid","url":"Website address invalid","required":"Required field missing"}
>