[Kemaskini 6 November 2024]
Berita suami isteri lebur duit pencen RM542,000 gara-gara pelaburan membuatkan saya sangat simpati.
Hasil titik peluh mereka bekerja 30 tahun lesap dalam sekelip mata!
Atas kebimbangan inilah saya sentiasa ingatkan; "Miskin di usia muda, itu pengalaman yang mahal. Tapi miskin diusia tua, itu penjara kehidupan!"
Kalau jatuh terduduk ketika usia tua, dah tak banyak perkara yang boleh kita buat untuk bangkit.
Saya sangat simpati... Ia bukan sahaja tentang kehilangan duit, bahkan boleh jadi gila dibuatnya...
Mudah-mudahan Allah berikan ketabahan buat pakcik makcik yang jadi mangsa. Semoga jadi iktibar juga buat kita semua.
- Baca berita : Lebih RM542,000 wang persaraan lesap kerana pelaburan kripto tak wujud - Berita Harian
Kesilapan besar dalam kewangan
Kita semua pun tahu...
Berdasarkan survey yang dibuat oleh KWSP, kebanyakan orang pencen habis semua duit pencen yang mereka usahakan bertahun-tahun dalam tempoh kurang dari 3 tahun sahaja!
Nak kumpul ambil masa 30 tahun. Tapi dihabiskan cuma dalam masa 3 tahun...
Kenapa boleh habis terlalu cepat?
Mudah sahaja. Ini yang sering saya ingatkan berkali-kali.
"Setiap kita akan buat kesilapan besar dalam kewangan bila kita ada duit (ataupun mudah dapat pinjaman) sedangkan pada ketika itu kita tak ada ilmu".
Punca utamanya ialah ilmu.
Tanpa ilmu, duit banyak akan habis
Bila tak ada ilmu, kita akan buat banyak kesilapan.
Kesilapan-kesilapan dalam kewangan bukanlah terjadi masa kita tak ada duit, tapi masa kita ada duit sedangkan kita tak ada ilmu.
Masa tak ada duit, kita tak buat kesilapan. Masa tak ada duit, kita tak akan kena scam (penipuan).
Kita mudah kena scam (atau scam diri sendiri) bila ada duit, tapi tak ada ilmu.
Bila kita ada duit, waktu tu kita rasa kita bijak dan pandai. Waktu tu macam-macam idea 'bernas' akan muncul; melabur, buat bisnes, bahkan buat kebajikan.
Nampak bijak dan baik, tapi tanpa ilmu, semua idea-idea yang kita fikir ianya bernas itulah yang membuatkan duit kita habis dalam masa yang sangat singkat!
Dan terperangkap dalam masalah kewangan yang besar.
Prinsip penting sebelum melabur
Jadi bagi siapa yang rasa 'gatal tangan' nak melabur, atau rasa tak boleh tahan diri dari melabur, ingat betul-betul nasihat yang sering saya ungkapkan tentang pelaburan ni;
- Rugi dalam tangan, tapi untung belum tentu. Jangan sesekali melabur dengan duit yang kita tak sanggup lebur.
- Jangan sesekali meletakkan duit dalam pelaburan yang kita tak faham hujung pangkalnya. Melabur tanpa ilmu adalah cara tercepat membuatkan duit kita lebur.
- Sejauh mana keuntungan dalam sesuatu pelaburan bergantung sebanyak mana ilmu kita tentang pelaburan tersebut. Kalau tak ada ilmu (tak minat baca buku, datang kelas atau seminar), letak duit dalam ASB atau Tabung Haji jauh lebih baik.
- Semua pelaburan yang berikan keuntungan lebih 15% setahun adalah scam. Kecuali dibuktikan sebaliknya oleh pakar kewangan atau pelaburan.
- Pelaburan bukanlah untuk orang yang nak cari duit lebih. Tapi untuk sesiapa yang ada duit lebih. Bagi yang makan gaji, dia dah ada lebih dari tabungan minimum 6 bulan gaji. Yang kerja sendiri, minimum 12 bulan pendapatan.
- Kalau nak cari duit lebih, pelaburan bukanlah jalannya. Kalau nak cari duit lebih, kena kerja lebih kuat (lebih masa, lebih mahir) atau buat bisnes. Pelaburan bukanlah untuk siapa yang nak cari duit lebih.
Lebih kaya kalau tak melabur
Sebab tak faham 6 prinsip inilah punca kenapa saya katakan, kebanyakan orang sebenarnya akan lebih kaya kalau dia tak melabur.
Sebab kebanyakan pelaburan yang dia buat tak membuatkan dia bertambah kaya. Sebaliknya pelaburan itulah yang membuatkan duit dia lebur...
Semakin miskin...
Akhir sekali, setiap kali nak melabur, kena ingat satu prinsip penting yang diajarkan oleh Tuan Azizi Ali (Pakar Kewangan No. 1 Malaysia), katanya, jadi kaya itu penting. Tapi yang lebih penting ialah tak jatuh miskin!
Duit 'talian hayat terakhir' (bagi orang pencen) tu sepatutnya dijadikan kubu pertahanan terakhir supaya tak jatuh miskin di usia tua.
Tak kaya pun tak apalah... Asalkan jangan sampai jatuh miskin...
Zulkifli
Cyberjaya
31 Julai 2023
13 Muharram 1445H
“Lagi banyak duit kita ada, lagi besar risiko kita buat kesilapan dalam kewangan. Kajian menunjukkan banyak orang pencen habiskan duit simpanan KWSP hasil titik peluhnya selama 30 tahun hanya dalam masa 3 tahun sahaja! Tanpa ilmu, duit yang banyak pun akan habis” - FB Mohd Zulkifli Shafie, 24 Januari 2024
“Bila ada masalah kewangan, jangan sesekali melabur. Melabur bukan untuk orang yang nak cari duit lebih. Tapi untuk yang ada duit lebih. Bila melabur, rugi dalam tangan. Untung belum tentu. Jangan sesekali melabur dengan duit yang kita tak sanggup lebur.” - FB Mohd Zulkifli Shafie, 18 Januari 2024
Coretan FB berkaitan:
- Kes rugi melabur guna duit pinjaman! - FB (2024)
Artikel berkaitan:
- Pelaburan Terbaik Untuk Orang Pencen
- Fokus Bisnes Dulu, Jangan Buang Masa Dengan Pelaburan
- Buat Pelaburan, Pastikan Kita Mampu Tidur Lena
- Cara Betul Semak Cashflow Sendiri dan Bebas Masalah Kewangan
- Risiko Besar Bila Percaya Bulat-bulat Ejen Kewangan
- Untuk Pencen Umur 30 Tahun, Inilah Yang Pelajar Universiti Perlu Lakukan