MohdZulkifli.Com

Motivasi Kewangan & Simpanan Emas

Syukur, Mee Maggi Berkuahkan Kuah Roti Canai!

July 30, 2023

Semalam isteri dan anak-anak order bihun sup dari Grab. Bila saya balik, saya tengok ada bekas sup yang masih ada sisa kuah atas kabinet. Dan ada lagi semangkuk sisa kuah sup dekat singki yang bekasnya tunggu nak dibasuh...

Saya terus kutip semua bekas-bekas sisa tu, tuangkan ke dalam satu bekas dan simpan dalam peti sejuk.

More...

Petang tadi, saya hangatkan semula sisa kuah sup tu, dan masukkan 2 paket maggie (mee segera) dalam periuk sekali sisa kuah sup tu. Dan masukkan sebiji telur... Saya makan dengan 3 anak yang paling kecil.

Habis licin! Alhamdulillah...

Makanan Ketika Di Penjara

Sebenarnya itu saya belajar dari pengalaman ketika 2 tahun dipenjarakan.

Dalam penjara susah nak dapat peluang makan sedap. Bila ada peluang, kami pastikan peluang rasa makan sedap tu bertahan lebih lama.

Kalau sebulan sekali isteri saya datang ziarah dan bagi duit untuk belanja (limit RM150 sekali ziarah), antara yang saya akan beli ialah kuew teow goreng.

Kalau sekali makan terus habis, rasa sedap tu cuma sekali jer.

Nikmatnya Makan Kuew Teow

Jadi saya bahagikan sebungkus kuew teow tu kepada 3 bahagian. Setiap satu bahagian, saya gaulkan dengan sebungkus meggi. Maka dapat la rasa sedap makan kuew teow tu 3 kali waktu makan...

Bila dapat rasa makan sedap tu, makanan penjara tu memang tolak ketepi... Bagi orang lain...

Dan setiap kali ada peluang dapat belanja, saya akan beli 3 bungkus kuew teow.

Lagi dua bungkus tu saya sedekahkan kepada kawan-kawan rapat, terutamanya yang keluarga mereka jarang datang melawat. 2 bungkus tu boleh la bagi kepada 6 orang. Masing-masing dapat rasa dan campur dengan meggi dalam sel masing-masing... 

Sedapnya tu... MasyaAllah...

Tak Ada Makanan Tengah Hari

Kuew teow yang orang kebanyakan anggap biasa tu kami rasa sangat sedap....

Ada pernah sekali saya dan rakan saya di Penjara Tapah iaitu Ustaz Zulkarnain GreenBird buat kerja di Blok Pentadbiran urusan surat pengampunan Agong tahanan #SOSMA. Kami di escort keluar dari block tahanan sebelah pagi. Petang baru balik...

Makanan tengahari kami dihantar ke Block Tahanan, bukan di Blok Pengurusan.

Dalam penjara, banduan tak boleh bergerak bebas. Semua kena dapat keizinan pergerakan walaupun nak pergi ke blok bangunan sebelah sahaja. Jadi kami tak ada makanan tengah hari.

Maggi Berkuahkan Kuah Roti Canai

Kami standby maggi jer dengan air kosong (bukan air panas). Bila lapar, kami rendam maggi tu dalam air sejuk tu. Tunggu lama sikit dia akan kembang.

Boleh la makan buat alas perut supaya tak kebulur...

Kebetulan sebelah bilik kami buat kerja hari tu, ada Banduan Akhir yang baru lepas makan (lepas jumpa ahli keluarga mereka). Ustaz Zulqarnain jenguk ke bilik tempat mereka makan tu dan minta sisa kuah roti canai yang mereka belum sentuh ada satu mangkuk...

Happynya kami hari tu... MasyaAllah....

Kami gaul maggi yang kami rendam tu dengan kuah dal roti canai tu...

MasyaAllah... Sedapnya... Rasa nak menangis dapat nikmat makan meggi berkuahkan roti canai hari tu...

Nikmat Kecil Terasa Besar

Bila terkenang balik pengalaman hidup susah dalam penjara tu, timbul rasa bersyukur.... Itu antara nikmat besar yang sangat saya syukuri...

Walaupun banyak nikmat yang orang kebanyakan nampak ianya kecil macam sisa kuah sup ataupun kuah roti canai tu... Tapi pengalaman hidup susah tu mengajar saya supaya bersyukur dengan nikmat tersebut.

Nikmat kecil tapi saya rasa ianya sangat besar...

Sampai saya rasa, orang miskin yang hidup bebas sebenarnya jauh lebih kaya dan mewah berbanding pengalaman kami waktu terpenjara dulu...

Bukan Banyaknya Harta, Tapi Hati

Mungkin inilah antara maksud hadis Nabi s.a.w yang maksudnya;

“Bukanlah kekayaan itu kerana banyaknya harta, akan tetapi kekayaan itu adalah kaya hati (jiwa).” (HR Bukhari No: 5965)

Kaya hati dengan penuh rasa syukur...

Mudah-mudahan Tuhan didik jiwa kita semua dengan rasa penuh kesyukuran. Supaya kita tak sesekali meremehkan setiap nikmat yang Tuhan berikan.

Dan rasa betapa besarnya nikmat yang orang lain anggap ianya kecil...

Amiin ya Rabbal Alamiin...

Zulkifli
Cyberjaya
2 Julai 2023
13 Zulhijjah 1444H

#IslahDiri #TabahHadapiMusibah

Tentang Penulis

Mohd Zulkifli Shafie

Penulis buku bestseller; Wang Emas, dan Misi Bebas Hutang.

Menulis tentang kewangan sejak 2008. Berpengalaman membimbing lebih 7,000 penyimpan emas secara peribadi di Malaysia, Indonesia, Singapore dan Brunei sejak 2010.

Merupakan pengasas G100 Network; network terbesar dealer Public Gold (syarikat pengeluar emas terbesar di Malaysia), yang memberikan servis kepada lebih 500,000 penyimpan emas di seluruh Asia Tenggara.

{"email":"Email address invalid","url":"Website address invalid","required":"Required field missing"}
>