MohdZulkifli.Com

Motivasi Kewangan & Simpanan Emas

Berduit Itu Penting, Tapi Rasa Berduit Itu Berbahaya!

July 28, 2024

Berduit tu penting. Tapi rasa berduit tu berbahaya.

Kita cenderung belanja berlebihan dan tak berkira-kira bila rasa berduit. Akhirnya membuatkan duit kita bocor, membazir dan mengsia-siakan harta. 

More...

Lubang kebocoran makin besar  

Jujurnya, walaupun hari ini pendapatan saya sangat besar berbanding dulu, tapi saya rasa bimbang dengan cara kami sekeluarga berbelanja. 

Dulu kami berkira-kira setiap sen yang kami belanjakan. Belanja 10 sen pun saya akan rekod.

Tapi hari ni kami dah tak rekod perbelanjaan setiap sen. Malas benda yang renyah-renyah ni.

Walaupun pendapatan besar, bahagian tabungan pun kami dah asingkan siap-siap, tapi bila bila rasa berduit, perbelanjaan bulanan pun jadi makin besar.

Kalau tak hati-hati, kekayaan kami bocor. Kalau dibiarkan, makin lama lubang kebocoran tu makin besar.

Walaupun berbelanja tak salah, tapi kalau berbelanja sampai membazir dan mengsia-siakan harta, itu dah jadi satu dosa.

Kerana dalam harta kita, ada hak orang lain di dalamnya; tanggungjawab nafkah, zakat dan sedekah.

Penyakit bila rasa berduit

Antara 'penyakit' yang datang bila rasa berduit;

1 - Berbelanja tanpa berkira-kira dan tak tengok harga

Berapa sahaja harga, bayar sahaja. Malas nak tawar menawar.

Bahkan kalau orang ketuk harga pun, kita tak ambil kisah sebab kita rasa kita berduit untuk bayar berapa pun harganya.

2 - Tak cari alternatif yang lebih menjimatkan

Pilih naik Grab sebab lebih mudah, tapi kosnya mencecah 10 kali ganda berbanding naik MRT.

Makan pun malas dah nak masak. Semua pesan pakai Grab Food. Walhal kalau masak sendiri di rumah, dapat jimat sampai 80% berbanding order pakai Grab.

Duit 'penyakit' ni kalau tak dikawal, lama-lama duit kita akan bocor dalam jumlah yang banyak. 

Sepatutnya, berapa kaya sekali pun, prinsip kewangan yang betul tetap kena amalkan sama macam dulu - ketika susah.

Walaupun makin berduit, kita tetap kena kekalkan rasa tak berduit supaya kekayaan kita makin lama makin bertambah.

Tip kurangkan rasa berduit

Antara tip yang saya amalkan untuk kurangkan rasa berduit:

  1. Menabung secara auto-debit atau standing instructions. Supaya duit yang sepatutnya kita tabungkan dah dipotong siap-siap sebelum sampai ke tangan kita.
  2. Duit simpanan jangka panjang, simpanlah dalam bentuk emas. Walaupun emas pun duit juga, tapi bila dah bertukar jadi emas, kita akan rasa tak lagi berduit.
  3. Bila dapat kenaikan gaji, terus tambah potongan gaji untuk dijadikan tabungan. Supaya kita tak nampak 'duit lebih' bila dapat kenaikan gaji.
  4. Gunakan teknik sampul. Bila dapat gaji, asing-asing siap-siap setiap perbelanjaan mengikut sampul. Supaya kita sedar, kita sebenarnya tak ada duit lebih dan tak lagi rasa berduit (bila tengok duit selonggok banyak).
  5. Jangan gunakan kad kredit, kecuali sebagai kaedah transaksi sahaja. Kad kredit membuatkan kita rasa berduit dan tak sedar duit kita sedang mengalir keluar. Jangan gunakan kad kredit sebagai pinjaman (sebab tak ada duit), sebaliknya guna sebagai kaedah transaksi sahaja. Lepas guna, terus bayar secepat mungkin.

Sentiasalah berhati-hati setiap kali rasa berduit.

Kesilapan besar ketika berduit 

Setiap kali rasa berduit, ingatlah itulah waktunya kekayaan kita akan bocor - dalam jumlah yang banyak.

Bahkan bukan itu sahaja, sebenarnya banyak orang akan buat kesilapan yang besar bila rasa berduit.

Jatuh lingkup dalam bisnes dan pelaburan, kena tipu dengan skim cepat kaya, bagi orang pinjam duit yang akhirnya tak berbayar, itu semua risiko yang hanya terkena pada orang yang berduit dan rasa berduit!

Setiap kali rasa berduit, berhati-hatilah...

Nak cari duit bukan mudah. Maka pastikan setiap duit yang kita dapat tidak dibazirkan dan tidak disia-siakan.

Supaya jangan sampai Tuhan tarik semula kesenangan yang Dia kurniakan kepada kita gara-gara tidak bersyukur dengan apa yang Dia kurniakan...

Moga Tuhan masukkan kita ke dalam golongan hambaNya yang bersyukur... Amiin ya Rabbal 'Aalamiiin.

Zulkifli
Cyberjaya
28 Julai 2024
21 Muharram 1446H

Berduit tu penting. Tapi rasa berduit tu berbahaya. Kita cenderung belanja berlebihan dan tak berkira-kira bila rasa berduit. Akhirnya membuatkan duit kita bocor dan membazir.

Yang tak berduit tapi rasa berduit tu lebih berbahaya. Dia berbelanja lebih dengan duit yang dia belum dapat yang akhirnya dia terjerat dengan masalah hutang yang banyak. #TipKewanganPeribadi

Tentang Penulis

Mohd Zulkifli Shafie

Penulis buku bestseller; Wang Emas, dan Misi Bebas Hutang.

Menulis tentang kewangan sejak 2008. Berpengalaman membimbing lebih 7,000 penyimpan emas secara peribadi di Malaysia, Indonesia, Singapore dan Brunei sejak 2010.

Merupakan pengasas G100 Network; network terbesar dealer Public Gold (syarikat pengeluar emas terbesar di Malaysia), yang memberikan servis kepada lebih 500,000 penyimpan emas di seluruh Asia Tenggara.

{"email":"Email address invalid","url":"Website address invalid","required":"Required field missing"}
>