[Kemaskini 25 Oktober 2024]
1 dinar (emas ketulenan 999.9, berat 4.25 gram) sekarang ni boleh buat backup belanja hangus sekitar RM1,000.
Penyimpan emas yang nak pakai duit, boleh pergi pajak emas ni ke ar-rahnu untuk dapatkan pinjaman bercagarkan emas.
1 dinar boleh dapat pinjaman RM1,000 on the spot (margin pinjaman 65% dari nilai harga emas).
Lepas tu bayarlah balik untuk tebus emas tu dalam masa 6 - 12 bulan.
Kesan psikologi penyimpan emas
Tapi saya percaya, tak lama lepas selesai urusan dia nak pakai duit, mesti dia akan tebus balik secepat mungkin. Sebab sayang...
Sebab takut kena caj lebih mahal kalau lambat tebus...
Bila ada sahaja duit lebih, kita akan fikir nak tebus emas ni dulu.
Bila nak berbelanja yang bukan keperluan, kita akan berkira-kira... Sebab kita akan fikir lebih baik pergi tebus emas dulu...
Bahkan kita akan kreatif cari income tambahan untuk tebus balik emas tu.
Akhir sekali, keperluan perbelanjaan dapat diselesaikan, emas pun dapat balik!
Maksud backup belanja hangus
Itulah maksud sebenar "backup belanja hangus" yang saya popular sejak 2016 lagi dalam tulisan-tulisan dan seminar saya tentang emas.
Bukannya guna semua gaji buat pergi beli emas. Lepas tu pergi pajak dan belanja duit pinjaman tu untuk perbelanjaan habus bulanan.
Bukan...
- Sila baca : Emas Sebagai Backup Belanja Hangus (2016)
Teknik ni saya popularkan bila tengok realiti, banyak orang susah nak disiplinkan diri menabung. Tapi mereka sangat berdisiplin bayar hutang.
Berkesan elak tabungan mudah bocor
Kalau menabung pulak, sekali dia tarah (belanja) duit tabungan tu, duit tu hangus...
Konon niat dia nak ganti balik, tapi sampai ke sudah tak berganti!...
Bila terdesak nak pakai duit, dia terpaksa buat loan sana sini; personal loan, kad kredit, skim 'beli dulu menyesal kemudian', yang langsung tak ada backup dengan "aset" macam emas.
Maka teknik ni sesuai untuk mereka.
Pertama, mereka tak akan pajak emas, kecuali untuk tujuan yang penting-penting sahaja. Kalau setakat nak tukar langsir baru, mereka tak akan pajak emas.
Kedua, bila pajak, mereka akan tebus cepat-cepat. Sebab mereka sayang dan tak nak kehilangan emas mereka. Lagi satu, lagi cepat mereka tebus, lebih jimat dari dikenakan "upah simpan" (caj pinjaman).
Patut pajak ataupun terus jual?
Berbeza dengan buat pinjaman bank. Kalau bayar cepat pun, tak dapat apa-apa penjimatan. Bahkan ada bank kenakan caj "penalti" kalau settle loan dalam tempoh "lock in period" tersebut.
Tapi kalau buat pajakan ar-rahnu, ianya lebih fleksibel.
Teknik ni berkesan untuk elakkan simpanan kita bocor daripada dengan mudah, insyaAllah...
Walaubagaimana pun, teknik ni cuma sesuai bagi yang mampu tebus emas tu dalam masa 6 - 12 bulan.
Kalau memang tak ada sumber duit nak tebus, teknik ni tak sesuai.
Lebih baik jual sahaja...
Emas makin mahal
Dan paling penting, harga emas semakin lama semakin mahal.
Sejarah 20 tahun menunjukkan harga emas naik secara purata sekitar 10% setahun.
Dengan kata lain, walaupun kita cagarkan emas di ar-rahnu, emas itu masih milik kita dan nilainya makin lama makin meningkat.
Emas yang sama kalau digunakan berkali-kali, makin lama makin besar jumlah pinjaman yang kita akan dapat.
Masa saya mula-mula menabung emas pada tahun 2010 dulu, 1 dinar harganya sekitar RM600.
Sekarang 1 dinar yang sama harganya sudah cecah RM1,600!
Selain dapat elakkan duit kita hangus dibelanjakan, teknik ni juga dapat tingkatkan nilai tabungan kita dalam jangka panjang.
Allahu a'lam.