MohdZulkifli.Com

Motivasi Kewangan & Simpanan Emas

7 Strategi Elak Kebocoran Wang

December 29, 2013

[Kemaskini 7 Mac 2024]

Kewangan bukan sekadar matematik, tapi juga tentang mengurus emosi.

Banyak feedback yang saya dapat pasal masalah menyimpan. Bukan sebab tak cukup duit. Kerja bertahun-tahun, gaji makin lama makin besar, tapi tabiat dan desakan emosi tu yang menyebabkan susah nak menyimpan. 

Simpan, simpan... Bocor... Simpan, simpan, korek balik...

Pupuk tabiat kumpul harta 

Salah satu sebab kena saya sarankan simpan emas supaya selesaikan masalah tak ada simpanan. Emas dapat kawal emosi berbelanja dan dapat pupuk tabiat suka menyimpan. 

Simpan emas bukan sekadar untung kenaikan harga emas dalam jangka panjang, tapi yang lebih penting, emas dapat pupuk sikap yang ada pada orang kaya-kaya, iaitu suka kumpul harta.

Walaupun mungkin ada tahun yang ASB dan Tabung Haji lebih untung dari simpan emas, tapi saya percaya siapa simpan emas, kekayaan dia lebih bertahan lama.

Cuba perhatikan apa orang akan buat bila dapat dividen Tabung Haji atau ASB?

Majoriti akan belanjakan dividen tu habis licin tak sampai sebulan! Bahkan belum dapat duit, dah siap-siap fikir nak beli apa. Itu masalah biasa bila simpan duit kertas.

Kekayaan mudah bocor... 

Kumpul harta, bukan cari makan

Orang dulu-dulu tak simpan duit (kertas), tapi mereka simpan emas. Bila tiba musim menuai, hasil tuaian pertanian mereka gunakan untuk beli emas (barang kemas). 

Bila emas mereka banyak, mereka beli tanah-tahan kebun. Kekayaan mereka disimpan dalam bentuk harta sebenar macam emas dan tanah kebun (ataupun rumah-rumah sewa).

Bila mati, duit tunai berbaki biasanya tak banyak. Yang mereka wariskan cuma harta-harta sebenar - emas, tanah dan rumah. Kalaulah mereka cuma simpan dalam bentuk tunai, saya yakin duit-duit tu dah lama habis. Tak ada apa-apa harta yang boleh diwariskan.

Ada seorang kawan saya masa sembang beberapa bulan lepas katanya, orang tua dia pesan, “Kalau berkerja, letak matlamat nak kumpul harta. Bukan sekadar cari makan”.

Maksudnya, bila dapat duit, tukar duit tu ke dalam bentuk harta sebenar macam emas, tanah atau rumah-rumah sewa. Sebab harta-harta tu akan membuatkan kita kaya dan boleh jana hasil (pendapatan pasif) daripada harta-harta tersebut.

Duit yang kita simpan dalam bentuk tunai, risiko kebocorannya sangat tinggi! Kerja bertahun-tahun akhirnya tak ada apa-apa simpanan!...

Matematik kalah dengan emosi

Sebabnya bila simpan duit kertas, kita biasanya kalah dengan desakan EMOSI untuk berbelanja. Ada saja barang yang kita rasa perlu beli.

Bila ada yang berkenan, otak kita mesti match dengan nombor-nombor duit yang kita ada. Tengok barang RM500, otak kita mesti matchkan dengan duit simpanan dalam akaun bank. Bila dah match, duit tu mesti bocor.

Alah... RM500 jer. Kalau belanja pun, ada lagi RM2,500... Kita berbisik pada diri sendiri nak sedapkan hati.

Tapi kalau simpan emas (dan harta-harta sebenar), otak kita tak boleh match. Kita rasa kita tak ada duit walaupun hakikatnya kita boleh jual atau pajak emas-emas tu bila-bila masa nak pakai duit.

Jadi simpan emas bukan sekadar nak untung kenaikan harga jangka panjang, tapi untuk pupuk sikap orang kaya-kaya iaitu suka kumpul harta.

Emas adalah 'harta' yang mudah dibeli walaupun dengan modal kecil. Sekali beli, rasa nak beli lagi sebab ianya cantik dan fitrah manusia memang sukakan emas. Bila nak pakai duit, rasa sayang nak jual. Bila terpaksa jual, kita akan cari duit untuk beli balik emas tu.

Itu tabiat biasa penyimpan-penyimpan emas. Suka kumpul harta dan rasa sayang nak belanjakan harta. Akhir sekali, kita lebih kaya sebab sikap suka kumpul harta macam orang kaya-kaya (bukan macam orang kebanyakan yang suku kumpul beban hutang). 

Pertahankan Kubu Kewangan

Kalau ikutkan Robert Kiyosaki dalam bukunya "Rich Dad Poor Dad" katanya, orang kaya kumpul harta dan pertahankan harta macam tentera pertahankan kubu dalam peperangan. Apa-apa pun, kubu mesti dipertahankan dulu.

Bila dapat duit, bayar (simpan) diri sendiri dulu. Selebihnya baru berbelanja.

Tapi orang kebanyakan, dia belanja dulu, selebihnya baru simpan... Itulah antara perbezaan ketara orang kaya dengan orang kebanyakan.

7 strategi elak kebocoran wang

Jadi kalau nak kaya, kita kena kawal emosi dengan cara semaikan tabiat-tabiat yang boleh elakkan kekayaan kita daripada bocor. Antaranya: 

Strategi #1 – Bayar Diri Sendiri Dulu

Bila dapat duit, bayar diri sendiri dulu dengan tambahkan simpanan. Selebihnya baru berbelanja. Bukan berbelanja dulu, lepas tu tunggu duit lebih baru simpan.

Kalau tunggu duit lebih, alamatnya memang tak akan menyimpan.

Strategi #2 – Tukar Duit Kepada Harta Sebenar

Kalau ada duit simpanan jangka panjang, tukar duit tu ke dalam bentuk harta sebenar macam emas, tanah, atau rumah-rumah sewa.

Jangan biarkan duit tu terbiar dalam bentuk tunai kecuali duit "Simpanan Kecemasan" berjumlah 3 bulan gaji sahaja.

Strategi #3 – Potong Semua Kad Kredit

Potong semua kad kredit kecuali satu.

Kad kredit tu cara buat hutang paling mudah. Ia hutang yang kita tak sedar, bahkan ia jadi simbol status.

Memang nampak hebat kalau ada kad kredit Platinum, ataupun Black Card. Tapi kad kredit boleh jadi ‘kanser’ kewangan sebab kita tak terasa duit kita bocor.

Nanti tahu-tahu hutang dah banyak. Dah la interest paling tinggi berbanding pinjaman lain, interest dia compounding (berganda) pulak tu.

Strategi #4 – Berbelanja Secara Tunai

Kalau nak beli barang, pastikan beli secara tunai supaya kita betul-betul terasa setiap sen duit yang keluar.

Jauhkan segala bentuk yang namanya "ansuran", "beli dulu bayar kemudian", "skim bayaran mudah", hatta "zero interest payment" sekalipun. Walaupun mungkin zero interest payment tu secara matematiknya macam untung , tapi ia memupuk tabiat suka berhutang.

Dalam jangka panjang, ia memakan diri kita sendiri.

Strategi #5 – Langsaikan Hutang Paling Kecil

Bila nak langsaikan hutang, target hutang yang jumlahnya paling kecil dulu. Gunakan "Teknik Snow Ball".

Bila satu hutang dah settle, ia jadi motivasi untuk langsaikan hutang-hutang lain. Bila dah bebas hutang, kita rasa berat untuk buat hutang lagi kecuali “hutang baik” yang membuatkan kita lebih kaya.

Tapi kalau ada dua (2) hutang yang jumlahnya lebih kurang sama, settlekan hutang yang interest rate paling tinggi dulu, yang boleh bagi kita 'penjimatan' paling besar.

Strategi #6 – Buat “Hutang Baik”, Tambah Harta

Bila dapat kenaikan gaji, atau pendapatan dah meningkat, manfaatkan kenaikan tu untuk buat "hutang-hutang baik" seperti tambah rumah sewa, beli tanah dan sebagainya. Bukan tukar kereta baru!

Saya perhati ramai yang bermasalah nak simpan duit walaupun kalau ikutkan kira-kiranya, dia sepatutnya boleh menyimpan. Bukan senang nak paksa diri simpan duit. Tapi kalau hutang, kita terpaksa bayar!

Kalau buat "hutang baik", kita terpaksa bayar untuk jadi lebih kaya! Tapi syaratnya, hutang-hutang tu mesti diurus dengan baik.

Strategi #7 – Tinggalkan “Window Shopping”

Tinggalkan sikap suka merayau-rayau di shopping complex, suka terapi diri dengan bershopping, suka semak brosur-brosur promosi dalam post box atau surat khabar, pergi ronda-ronda pasar malam, atau suka scroll barang-barang dalam platfrom e-commerce dan sebagainya. 

Sikap ni saya dah tinggalkan dah bertahun-tahun. Ia terbukti membuatkan duit kita senang sangat bocor - beli barang yang tak perlu. Kalau asalnya cuma nak dibeli 10 barang, tapi akhir sekali kita beli at least 15 barang! Kenapa macam tu?

Sebab mengurus kewangan sebenarnya bukan sekadar matematik, tapi juga tentang mengurus emosi... 

Bila kita saja-saja tengok barang-barang yang kita tak perlu, mesti ada yang kita jatuh hati dan akhirnya terbeli. 

Tabiat-tabiat yang saya senaraikan ni antara cara saya tutup emosi berbelanja dan mengelakkan kekayaan daripada bocor. Bila lubang-lubang kebocoran wang ni kita tutup rapat-rapat, insyaAllah kekayaan kita senang berkembang walaupun mungkin pendapatan bulanan kita tak sebesar mana.

Jangan ingat orang income besar tu kaya raya sebab saya jumpa ramai orang incomenya 5 angka sebulan, tapi duit simpanan kecemasan pun tak ada!

Wallahu a’lam.

Zulkifli
Damansara Damai
28 Disember 2013
24 Safar 1435

“Faktor utama yang menentukan masa depan kewangan kita bukan ekonomi, tetapi psikologi” – Jim Rohn

Tentang Penulis

Mohd Zulkifli Shafie

Penulis buku bestseller; Wang Emas, dan Misi Bebas Hutang.

Menulis tentang kewangan sejak 2008. Berpengalaman membimbing lebih 7,000 penyimpan emas secara peribadi di Malaysia, Indonesia, Singapore dan Brunei sejak 2010.

Merupakan pengasas G100 Network; network terbesar dealer Public Gold (syarikat pengeluar emas terbesar di Malaysia), yang memberikan servis kepada lebih 500,000 penyimpan emas di seluruh Asia Tenggara.

  • Saya setuju dengan pandangan tuan,
    Terima kasih atas nasihat dan ilmu emas yg tuan beri..
    Semoga tuhan dapat memberkati nya..

    • Wslm Pn. Zuriyana,

      Dari sudut keutamaan, kena cukupkan cover ibubapa dulu. Pastikan ada cover cukup untuk penyakit kritikal dan pampasan kematian atau hilang upaya kekal jika berlaku kemalangan. Insuran pendidikan tu kemudian. Insuran pendidikan bagi saya bagus bagi ibubapa yang ada disiplinkan diri menyimpan untuk anak-anak.

      Saya tak ambil insuran pendidikan anak-anak. Saya cover utamakan cover untuk kami suami isteri. Kalau apa-apa berlaku kepada kami, insyaAllah duit pampasan tu boleh cover untuk pendidikan anak-anak nanti.

      Wallahu a’lam.

  • Alhamdulillah saya dah takde kad kredit. Saya pernah guna sekali dan memang betul kad kredit sangat menjerat. Akhirnya saya potong dua , dan langsaikan semua baki.

    Sekarang lebih selesa guna kemudahan kad debit sahaja.

    • Salam tuan Zul..
      Minta pandangan… Ada yang mengatakan, dengan adanya kad kredit ia memudahkan seseorang itu membuat loan di bank… Saya belum pernah memohon kad kredit, so far Alhamdulillah segala hutang saya dapat diurus dengan baik… Saya pun ingin membuat “hutang baik” juga tetapi permohonan kerapkali gagal… Adakah saya perlu memohon kad kredit terlebih dahulu?

      • Wslm Puan,

        Bagi orang yang tak ada rekod hutang, memang dengan adanya kad kredit tu cara memudahkan bank kenalpasti tabiat kita tentang hutang. Kalau tak pernah ada rekod hutang, mungkin susah untuk bank luluskan sebab andaian bank, mungkin kita tak layak dapat pinjaman. Tapi kalau ada rekod pinjaman dan kita bayar mengikut jadual, bank tahu yang kita adalah peminjam yang baik.

        Wallahu a’lam.

        • Saya usaha google bagaimana cara pembayaran balik apabila menggunakan kad kredit terutama Maybank… Bantu saya dalam mendalami ilmu penggunaan kad kredit dengan bijak kot2 ada tatacara penggunaannya (cara penggunaan kredit, cara bayaran balik, berapa amaunnya dsb)… Saya tak tahu langsung zero-zero…

          • Salam puan,

            Cara terbaik guna kad kredit ialah jadikan ia hanya untuk memudahkan mode of transaction, bukan sebagai hutang. Maksudnya, kita dah ada duit cuma kita pakai kad kredit untuk mudahkan urusan pembayaran. Lepas urusniaga, terus bayar hutang tu. Tak perlu tunggu keluar statement.

            Wallahu a’lam.

  • Assalam en.zul,
    Alhamdulillah suka dng tulisan En.Zul.Sangat memberi manfaat dan membuka minda. Saya ada satu tabiat kebocoran wang saya ialah suka sangat beli buku,kalau saya terjumpa buku yang saya minat,saya akan terus beli.Kalau pergi kedai buku,paling sedikit saya belanja rm100.Pernah cuba selesaikan taksub saya dng buku,bawa family pergi library,tapi jauhnya,mcm tak berbaloi pergi tiap2 minggu.dan buku yg dah pinjam tak boleh nak ulang2 baca sebab dah kena pulangkan.Sekarang lagi parah sebab semua buku yg saya nak,boleh beli secara online.Rumah saya tak de TV,so masa lapang saya mmg suka baca buku @ baca blog kat internet. Kalau tukar buku dng emas,dah banyak agaknya emas saya…:-)…

    • Salam puan Effa,

      tahniah sebab duit puan bocor kepada wang. Itu adalah tanda puan sukakan ilmu.
      Untuk pengetahuna puan, kita berkongsi minat yang sama. duit bocor utk buku. Saya tak kisah berapa harga buku, mesti saya beli. saya mesti simpan. semua buku-buku saya bersifat non fiction.

      Pelaburan terhadap buku sangatlah baik sebab idea di dalam buku adalah hasil ilmu penulisnya. kita tak tahu apakah potensi keuntungan dengan satu ilmu yang kita perolehi di dalam buku tersebut. Macam saya. saya minat emas. tapi saya lebih minat buku tentang ilmu emas. once dapat ilmu baru ambil tindakan.

      I’ll trade gold for knowledge.

      • Alhamdulillah, saya juga seorang yang suka baca buku, beli buku dan baca berlang kali, dari ilmu itu boleh tambah wang, tambah pendapatan.

        Alhamdulillah saya baru dapat bonus Dec lepas dan gaji awal Jan, simpanan agak banyak masa ini, saya ingat nak beli emas 10gm dengan public gold yang 22K, sebelum wang simpanan saya bocor ke lain.

        Saya ni suka bisnes, duit dari bonus dah pakai sikit tuk modal tambah stok produk yang bisnes ni.

        Hanya berkongsi dan nak dapatkan pandangan yang pakar En Syukor Hashim dan tuan punya blog En Mohd Zulkifli Shafie

        Terima kasih,
        Assalamualaikum w.b.t

  • Salam Tuan,

    saya ingin meminta pendapat tuan berkaitan pembelian rumah sewa sebagai aset pelaburan. Apa yang saya faham, sekarang bank negara dah tetapkan pinjaman bank maximum 10 tahun (berbanding dahulu selama 30 tahun). Jadi, kalau kita nak beli rumah flat contohnya RM80k, kita terpaksa bayar mahal untuk harga bulanan dan kemungkinan akan rugi. Mohon pandangan tuan dalam perkara ini.

    Terima kasih.

    • Wslm En. Hakim,

      Pinjaman bank maksimum 10 tahun tu hanya untuk personal loan, bukan housing loan. Bila buat investment, kita kena maksimumkan tempoh loan supaya ansuran rendah dan boleh jalan positive cash flow.

      Wallahu a’lam.

  • Salam tuan Zul,

    Dalam keadaan harga emas menurun / mendatar yang sudah nak masuk tahun ke3 ni, apa strategi tuan? Rasanya yang main arrahnu dah abis dah gadai.
    Kita tak tahu harga akan naik / turun lepas ni.
    Adakah dengan membeli sahaja sudah cukup buat masa ini?

    • Wslm Pn. Rohana,

      Strategi saya, beli jer. Ada duit beli lagi. Lagi harga turun, lagi saya seronok beli. Saya kumpul harta, bukan sekadar turun naik harga emas. “Keuntungan” turun naik harga emas ni sifatnya sementara jer. Akhir sekali kekayaan sebenar tu ada pada emas, bukan duit kertas yang kita simpan.

      Hakikatnya, nilai duit kertas tu pada emas, bukan emas nilainya pada duit kertas. Saya lebih risau turun naik kuasa beli duit kertas berbanding turun naik harga emas. Ringgit Malaysia makin lama makin menyusut. Beberapa tahun lepas SGD1 (Singapore Dollar) = RM2.25. Tapi hari ni dah jadi RM2.60. Walaupun nombornya tetap sama, tapi kuasa beli makin mengecil. Risiko jauh lebih besar berbanding simpan emas. Kalau berlaku lagi seperti tahun 1997, ringgit Malaysia tergolek sekitar 50%. Kuasa beli jatuh 50%. Nombor tetap sama, tapi kuasa beli dah jatuh.

      Emas tak terjejas dengan turun naik tukaran wang asing begini. Kuasa belinya kekal sepanjang zaman. Harga turun naik tu sifatnya sementara jer. Emas jatuh macam mana pun, belum pernah ada zaman emas tu dianggap murah. Ia sentiasa mahal sebab ia emas.

      Wallahu a’lam.

      • Saya bersetuju dengan tuan, tahun lepas saya ke Singapore dapat tukar duit SGD1= RM2.47, sekarang dah RM2.60.
        Ringgit kita tak mengukuh malahan semakin lemah.

        Tuan Zul, Boleh tuan tulis berkenaan bagaimana harga emas dunia boleh turun naik? Siapa tangan2 disebalik harga kitco itu? Dimana pergerakan itu sebenarnya berlaku?
        Ada urusniaga ke sebenarnya?

        • Betul tu Puan Rohana. Ringgit makin lemah, kekakayaan kita hilang dalam tak sedar.

          Pasal isu “manipulasi” harga emas tu, En. Syukor Hashim (www.jutawanemas.com) dan En. Shufaad bakal keluarkan buku khas berkenaan isu tu. Penurunan harga emas memang meresahkan bagi sesiapa pandanga pada nombor, tapi bagi siapa tahu apa yang berlaku sebaliknya, sebenarnya ini peluang besar untuk tambah harta.

          Wallahu a’lam.

  • Salam tuan Zulkifli.

    Maaf out off topic. Saja nak tanya ttg gold delay. Apa sebenarnya benda ni? Mohon pencerahan ringkas. TQ..

    • Wslm En. Farid,

      Saya tak expert tentang delay. Cuma saya syak ianya money game.

      Kalau beli emas, pastikan dapat emas dan emas tu kita simpan sendiri. Kalau penjual simpankan / laburkan, itu akan ada problem. Kalau dia bagi income bulan-bulan, itu lagi problem.

      Wallahu a’lam.

  • Salam Tuan
    Saya telah beli beberapa dinar dan dirham PG bulan lepas selepas saya tercari-cari satu pelaburan jangka masa panjang yang baik dan betul.

    Bilakah perlu saya simpan brg itu di safe deposit box di bank? Kadar (upah simpan) berbeza?

    Saya baru tahu bahawa perak lebih bernilai lagi emas. Saya berhasrat untuk membuat pelaburan (tidak jual beli) perak lebih lagi dari emas di PG. Mohon pandangan.

    Terima kasih.

    • Wslm Pn. Asmawati,

      Perlu simpan di safe box bila emas tu dah banyak dan tak selesa untuk tidur malam / tinggalkan rumah. Caj sewa box tu sekitar RM100 – RM500 mengikut saiz.

      Ilmu perak sedikit berbeza berbanding emas. Ini nota ringkasnya:

      SILVER : 4 TIPS PANTAS

      (1) Harga silver lebih volatile (tak stabil)

      Dari sudut pergerakan harga, bila emas naik, silver akan naik 2, 3 kali ganda lebih banyak daripada emas. Bila turun pun sama. Tahun 2010 – 2011, silver naik 100%. Masa tu ramai orang beli silver. Lepas tu dia jatuh balik 50%.

      (2) Potensi lebih besar

      Dari sudut potensi kenaikan, pakar precious metal meramalkan silver akan jadi “gold in future”. Maksudnya, peratusan kenaikan dia akan jauh menandingi emas. Ini disebabkan silver diperlukan untuk industri, sedangkan dah tak ada lombong silver, dan silver biasanya terbuang (dalam alat elektronik) tanpa di recycle sebagaimana emas sebab kosnya yang tak bebaloi.

      Kedua, nisbah emas : silver sekarang ni sekitar 1 : 65. Satu Oz emas boleh beli 65 oz silver. Nisbah ini dijangka naik kepada 1 : 16 sebagaimana sebelum tahun 1980 dulu.

      (3) Silver lebih rendah kecairan

      Silver lebih rendah kecairan berbanding emas. Maksudnya, bila nak jual, tak banyak tempat sanggup beli silver kecuali pengeluarnya sendiri. Kalau emas, kita boleh jual di mana-mana kedai emas seluruh dunia pada bila-bila masa.

      Silver tak boleh dipajak sebagaimana emas. Setakat ni, cuma Ar-Rahnu Koperasi Dagangan Emas (KDE) di Penang jer yang terima pajak silver, itu pun silver keluaran Public Gold sahaja.

      (4) Penyimpanan lebih susah

      Silver ni berat. Dari sudut penyimpanan agak susah berbanding emas. Kalau sewa Safe Deposit Box, memang cepat la penuh box tu. Kena sewa Safe Box yang besar baru sesuai untuk simpan silver.

      Dari sudut simpanan saya syorkan simpan emas dulu. Ada balance baru beli silver. Saya simpan 70% emas, 30% silver.

      Wallahu a’lam.

  • saya terbaca artikel en zul..yang ada orang berpendapatan 5 angka tapi duit simpanan x cukup..,saya rasa malu kerana saya termasuk dalam golongan tersebut. Saya dah lama berpendapatan 5 angka tapi duit simpanan asyik cair sahaja..,maklumlah isteri xkerja..dan anak 6 orang semuanya bersekolah, saya ada rumah teres ,kereta mewah,superbike dan lainlain..,tapi rasanya perlu orang seperti en zul untuk berikan tips dan nasihat kepada saya untuk mula menabung seperti en.zul…sekian terima kasih

  • sy bercadang utk bergiat di bidang pertanian selepas pencen 10 tahun lg dgn izin Allah. Jd sy bercadang utk membeli sebidang tanah pertanian. Adakah sy perlu membuat pinjaman bank atau menabung sehingga beberapa tahun utk membeli tanah kerana nilai tanah semakin tinggi pd masa akan datang. Yg mana lebih menguntungkan sy? mohon pendapat tuan.

    • Pn. Ejah, saya syorkan buat pinjaman bank. Tak perlu risau buat hutang untuk beli aset yang nilainya sentiasa meningkat sebab ia membuatkan kita lebih kaya. Kalau terdesak suatu hari nant dan tak mampu bayar loan tu, boleh jual jer balik tanah tu dengan harga yang lebih mahal dari harga yang puan beli.

      Wallahu a’lam.

  • Terima kasih Tuan Zulkifli di atas perkongsian ilmu yang amat bermanafaat ini.
    Saya doakan tuan sekeluarga terus sukses dunia dan akhirat.

    Teruskan perkongsian ilmu ini.

    terima kasih

  • Assalamualaikum Tuan Zul,

    Artikel & kupasan yang menarik dari Tuan Zul. Untuk pengetahuan tuan saya baru membeli sebuah rumah apartment yang harganya dibawah harga pasaran semasa. Saya bercadang untuk menjualnya kembali dalam tempoh setahun. Duit hasil jualan rumah tu akan saya gunakan untuk melangsaikan segala hutang saya yang bertimbun. Apa pendapat Tuan Zul? Pada masa yang sama saya ada sebuah lagi rumah tapi telah disewakan. Saya juga ada membeli silver 1kg pada tahun 2011 dengan harga yang sangat tinggi dalam RM4800 dan satu dinar emas. Saya bercadang untuk pajakkan silver untuk membeli dinar emas menggunakan wang hasil pajakan. Saya nk mintak pendapat Tuan Zul dalam perkara ini. Sekian. Assalamualaikum.

    • Wslm En. Faisal,

      1. Saya tak pasti apa yang terbaik. Bagi saya, kalau kedua-dua rumah tu boleh bagi positive cashflow, manfaatkan duit tu untuk bayar ansuran hutang tu. Anggap rumah tu yang bayar segala hutang yang ada. Tapi kalau hutang memang terlalu banyak, ada baiknya juga jual sebuah rumah yang beli bawah market price tu.

      2. Ar-rahnu tak terima pajakan silver kecuali Ar-Rahnu KDE. Itupun dia terima silver keluaran Public Gold sahaja. Saya tak syorkan beli pajakan untuk beli lagi emas kecuali En. Ahmad dah buat kira-kira ianya memang menguntungkan. En. Ahmad boleh rujuk artikel saya di http://www.bit.ly/manipulasiarrahnu untuk faham topik ni.

      Wallahu a’lam.

  • Assalamualaikum..

    Tuan, saya nak tanya, sekiranya saya ada cash 30-50k, apakah bentuk pelaburan yang sesuai? sama ada biarkan di asb, beli aset (rumah/tanah) atau beli emas? T.kasih..

    • Wslm Pn. Aishah,

      Secara jujurnya, saya tak pasti apa yang terbaik untuk puan. Ia terpulang kepada matlamat kewangan dan kesanggupan mengambil risiko masing-masing. Bagi saya:

      (1) ASB / Tabung Haji tempat untuk simpanan jangka pendek, simpanan kecemasan dan ianya tiada risiko. Dividennya sekadar cukup untuk cover kadar inflasi.

      (2) Emas bagi saya untuk simpanan jangka panjang. Kalau ada duit tunai yang memang tak dimanfaatkan untuk rolling bisnes, atau pelaburan lain, guna duit tu untuk beli emas. Duit kalau dibiarkan dalam bentuk tunai, ianya sangat berisiko duit itu akan dibelanjakan. Dan emas juga bagi saya adalah simpanan tunai sebab bila-bila masa kita perlukan duit, kita boleh jual atau pajak jer emas tu.

      (3) Hartanah adalah peluang memanfaatkan hutang untuk membina kekayaan. Ia dipanggil “hutang baik”, iaitu hutang yang akan membuatkan kita lebih kaya. Dengan hartanah juga kita boleh jana pendapatan “pencen” dengan cara menyewakan rumah.

      Bagi saya, itu semua adalah “alat kewangan”. Ia terpulang pada strategi masing-masing. Kalau saya, kesemuanya saya gunakan.

      Wallahu a’lam.

  • pandangan yang menarik harap saya akan dapat praktikan apa yang cik zul sampai kan ini…semoga Allah sentiasa memberkati hidup cik zul keluarga..

  • Assalam En Zul,
    Dlm reply kpd pertanyaan, En Zul ada inform yg dahulukan byr hutang sblm beli emas disebabkan kadar interest yg tinggi.
    Mcm mana dgn hutang yang tiada interest seperti saya yg ada pinjaman pelajaran MARA, dimana tiada bayaran tambahan dikenakan kpd peminjam.
    Saya diberikan schedule utk membayar pinjaman tersebut yg hanya akan habis pada thn 2019. Adakah saya cuma ikut schedule bayaran tersebut dan beli emas sikit2 utk disimpan. ataupun perlu langsai hutang baru boleh beli emas.

    Mohon pencerahan.

    Terima kasih.

  • Terimakasih atas perkongsian Tuan.
    Semoga dapat mendisiplinkan diri selepas ini
    Benar sgt pandangan tuan bukan income kita yg mempengaruhi jumlah simpanan kita tapi cara kita mengelola keuangan dan mengawal emosi kita
    Dulu ingat bila saya start bekerja..boleh lah gaji saya, saya simpan bulat-bulat
    tapi setelah 3 tahun bekerja sy dapati sy malah x mampu menyimpan lebih dri biasa yg syselalu simpan sebelum bekerja…
    Gaya hidup jdi berubah pergaulan juga slah satu faktor yg amat mempengaruhi…
    sejak berkerja ni selalu gi keluar dgn kawan2 seoffice..tiap2 bulan terlajak beli barangan yg sebenarnya diluar keperluan, kos2 yg sebenarnya tdk diperlukan sama sekali pun bertambah….kadang2 keluar main bowling lah, gi mengurut lah,,pi salon lah, shopping centre lah…..tiap2 minggu selalu rutinitas ni hanya sy lakukan 3 bulan sekali…..memang betul lah susah sgt nak disiplin kan diri buat menyimpan..
    sebab tu susah nak kaya kot..!!!

  • […] Simpan duit kertas, kesan psikologinya berbeza. Seronoknya duit bukan pada menyimpan, tapi pada membelanjakannya. Sebab tu bila orang mati, jarang sekali kita jumpa mereka ada simpanan tunai yang banyak. Yang ada cuma harta-harta fizikal macam rumah, tanah dan emas. Duit tak boleh bertahan lama sebab secara psikologinya, kita ‘kalah’ dengan duit. […]

  • […] Simpan duit kertas, kesan psikologinya berbeza. Seronoknya duit kertas bukan pada menyimpan, tapi pada membelanjakannya. Sebab tu bila orang mati, jarang sekali kita dengar mereka ada simpanan tunai yang banyak. Yang ada cuma harta-harta fizikal macam rumah, tanah dan emas. Duit tak boleh bertahan lama sebab secara psikologinya, kita ‘kalah’ dengan duit. […]

  • Assalamualaikum wbt…
    En. Zul, apa pandangan tuan berkenaan rumah saya yg saya beli, byrn bulanan kpd bank rm600 selama 25 thn. Umur saya 31 thn. Tapi sewaan utk kawasan tersebut hanya rm400 sebulan. Jadi saya perlu top up rm200 lagi sebulan. Adakah ini dikira bed debt.
    Apa pilihin terbaik yg perlu saya ambil.
    Terima kasih tuan atas pandangan yg diberikan.

    • Wslm Pn Ida,

      Kalau sesuai, cari jalan untuk naikkan sewaan, antaranya;

      1. Sewa mengikut bilik,
      2. Lengkapkan rumah tu jadi “fully furnished”,
      3. Sewa mengikut kepala, jadikan macam asrama tapi rumah mesti lengkap dan sesuai macam asrama,
      4. Cantikkan rumah tu e.g. cat baru.

      Seboleh-bolehnya rumah tu simpan jadikan mesin duit untuk masa depan. Dalam jangka panjang, saya percaya ianya berbaloi, insyaAllah.

  • Terima Kasih Tuan atas informasi bernas yang dapat membantu pelajar seperti saya yang baru melihat kepentingan menyimpan wang.. Semoga Allah permudahkan segala urusan Tuan dan digandakan rezeki, InsyaAllah.

  • Salam, sy ingin meminta pandangan tuan zul. Semasa bujang sy seorang yg mempunyai kesedaran dlm mengurus kewangan secara berhemah. Tapi sejak berkahwin, sy merasakan sgt susah utk menyimpan duit.

    Sy sudah bekerja selama 7 thn dan berjaya mengumpul sebanyak 15K. Sy berkahwin pd tahun lepas dan membelanjakan 12K utk kedua-dua majlis. Sepatutnya ada lebihan, tapi semasa nak kahwin, ada kos2 yg terpaksa ditambah, & akhirnya sy telah menggunakan hampir kesemuanya. Kini setelah 7 bulan berkahwin sy tiada simpanan langsung. Masalah sy setelah berkahwin ialah, gagal menyimpan duit dan gagal membayar pinjaman PTPTN (semasa bujang sy sentiasa berjaya membayarnya). Ini agak menghairankan kerana jika mengikut bajet sy, sepatutnya sy berjaya
    menunaikan semua komitmen dan masih ada BAKI yg boleh dibelanjakan.

    Pendapatan sy lbh kurang 2300 (bersih) dan isteri 1800 shj. Komitmen bulanan sy merangkumi sewa rumah, bil2, internet, water filter, takaful sy dan isteri sekali,belanja dapur, pemberian utk ibu, & simpanan 10%. Sy tidak memiliki kereta & rumah sendiri. Manakala isteri pula hanya mempunyai lebihan yg sgt sedikit kerana komitmen beliau lebih bnyk & penting. Jadi sy membayar semua sewa, bil, takaful dll. kerana isteri tak dpt membantu berkongsi dgn saya.

    Masalah sy selepas berkahwin ini ialah kami sering mengalami lebihan perbelanjaan kerana tak dpt mengawal wang keluar (sepatutnya ada lebihan, spt yg tercatat dlm bajet) didorong oleh perkara2 yg tak dpt dielakkan. Ini merisaukan sy kerana sy gagal menyimpan duit sejak berkahwin, (jika simpan pun, terpaksa dikeluarkan balik). Sy juga tidak dpt membayar balik pinjaman PTPTN. Ini mendukacitakan sy kerana sy tidak ada hutang lain spt kereta & rumah & seharusnya sy MAMPU menyimpan wang dgn baik, spt zaman bujang. Sy kini tiada simpanan langsung dlm Tabung Haji. Sy berimpian hendak mengurus kewangan dgn baik tapi masih gagal hingga sekarang. Banyak perkara2 yg mengganggu cita2 sy.

    Apakah yg harus sy buat? Sy risau jika tiada simpanan kecemasan, ia akan menyusahkan kami kerana isteri juga tiada simpanan. Sy juga risau jika lambat membeli rumah (impian besar masa bujang) harganya akan meningkat sedangkan simpanan KWSP akaun 2 sy masih belum cukup
    utk digunakan. Satu lagi perkara, perlukah sy membuat pinjaman ASB utk memudahkan pembelian rumah? Ini kerana sy ada akaun ASB tetapi telah dipindahkan simpanan ke Tabung Haji atas dasar tak patuh syariah.

    Harap tuan sudi membantu sy berkenaan cara2 menguruskan kewangan dgn berkesan. Sy ingin jadi spt dulu, berjaya mengawal perbelanjaan. Terima kasih.

    • Wslm Tuan,

      Cadangan saya:

      1. Banyak membaca buku-buku kewangan. Lebih banyak ilmu kewangan, lebih banyak kita mampu menyimpan, insyaAllah. Dengan ilmu, banyak keajaiban yang boleh berlaku.

      2. Buat satu buku catatan, senaraikan segala perbelanjaan setiap hari walaupun sekecil item berharga 10 sen. Tulis secara konsisten at least 6 bulan. Nanti tuan akan tahu ke mana duit itu bocor.

      3. Buat kira-kira berapa sepatutnya ada duit lebihan setiap bulan. Buat potongan gaji masuk ke dalam akaun Tabung Haji. Buku Tabung Haji tu hantarkan balik kampung, atau bakar terus! 3 – 5 tahun akan datang baru buat permohonan untuk buat buku baru dan semak baki semasa.

      Itulah sedikit cadangan dari saya.

      Allahu a’lam.

  • Assalam

    Maaf saya ingin bertanya.alhmdulilah..skg saya dan suami baru boleh menyimpan anggaran 1k dlam sebulan.(skg dlm asb baru tersimpan 3K)….baru2 ini kami merancang untuk menyimpan wang tersebut bagi deposit rumah anggaran 150k – 200k ..jadi kami sekarang ada masalah sama ada ingin menyimpan wang tersebut d asb atau perlukah kami membuat loan Asb 100k atau 150k (terminte 3tahun).

    soalan saya mana 1 yang berbaloi untuk di laksanakan supaya kami ada simpanan yang mencukupi untuk membli rumah dalam masa 2-3 tahun lg. atau Tuan ada pandangan yang lebih baik.?

    terima kasih.

  • […] Simpan duit kertas, kesan psikologinya berbeza. Seronoknya duit kertas bukan pada menyimpan, tapi pada membelanjakannya. Sebab tu bila orang mati, jarang sekali kita dengar mereka ada simpanan tunai yang banyak. Yang ada cuma harta-harta fizikal macam rumah, tanah dan emas. Duit tak boleh bertahan lama sebab secara psikologinya, kita ‘kalah’ dengan duit. […]

  • {"email":"Email address invalid","url":"Website address invalid","required":"Required field missing"}
    >