Bila nampak orang kaya, kita selalu tertanya-tanya, dia kerja apa?
Apa bisnes yang dia buat? Dan apa pelaburan yang dia join?
Kita fikir, kerjaya dia, bisnes dia, dan pelaburan dia itulah yang membuatkan dia jadi kaya raya.
Walhal ada persoalan yang lebih penting daripada tu.
Iaitu, macam mana dia berusaha (melalui kerjaya, bisnes dan pelaburan) sampai dia jadi kaya raya?
More...
Masa mula-mula nak keluarkan dari dari kesempitan (dan nak bina kekayaan), mindset saya macam kebanyakan orang — nak kaya cepat, nak duit banyak, tapi tak nak berpenat-penat...
Saya fikir bina kekayaan tu macam baling bola dadu... Cari kerja yang bagus, buat bisnes yang menguntungkan, dan join pelaburan yang paling untung.
Kalau 'kena' dengan nasib, kayalah nanti...
Bina kekayaan dengan mentaliti judi...
Bukan tentang angka
Saya fikir kekayaan tu cuma nombor dalam poket.
Tapi lepas 20 tahun pengalaman bina kekayaan (dan bantu ratusan murid saya capai financial freedom - tak kerja pun ada duit), saya boleh buat satu kesimpulan penting...
Kekayaan sebenar bukan terletak pada poket, tapi pada diri kita sendiri.
Iaitu pada mindset kita, pada ilmu dan pengalaman kita. Serta pada tabiat, sikap dan rutin kita setiap hari.
Kekayaan sebenar ada di situ...
Kalau sekadar poket, bagilah duit banyak mana sekali pun. Duit tu tetap akan habis.
Bukit pun boleh gondol kalau ditarah. Tarah sikit-sikit, lama-lama habis gondol bukit tu.
Macam tu jugalah dengan poket kita - yang mana keinginan kita (untuk berbelanja mewah) sentiasa lebih besar dari jumlah duit dalam poket kita.
Ilmu dulu, duit datang kemudian
Saya ingat balik, masa awal-awal belajar nak bina kekayaan, kerja keras saya ialah pada mencari ilmu.
Saya obses ke sana sini cari ilmu;
✅ baca banyak buku,
✅ dengar banyak audio (tentang bisnes, kewangan dan kejayaan),
✅ pergi kelas, hadir training, dengar sharing orang berjaya dan mencari guru.
Bertahun-tahun kerja keras saya ialah pada mencari ilmu.
Sebab bila ada ilmu, barulah jalan masa depan nampak terang benderang.
Walaupun duit belum banyak, tapi masa depan nampak cerah. Dan semangat nak ubah hidup sangat kuat.
Rupa-rupayanya, duit banyak tu datang bila kita berjaya ubah diri. Ubah diri jadi diri kita dalam versi lebih baik.
Iaitu FIKIR macam orang berjaya fikir (mindest). Tahu apa yang orang berjaya TAHU (ilmu dan pengalaman). Dan buat apa yang orang berjaya BUAT.
Buat berkali-kali sampai jadi TABIAT, SIKAP dan RUTIN yang tak dapat ditinggalkan lagi.
Barulah duit yang banyak akan datang menyerah diri...
Ubah diri dulu, duit datang kemudian
Ramai orang nak ubah hidup, tapi tak sanggup ubah diri.
Kalau buat pun tak sabar... Tak cukup sabar 'berperang' dengan diri sendiri...
Usaha berlebih kurang, tapi nak hasilnya cepat...
Kalau diri tak berubah — malas belajar, tak sanggup kosongkan gelas (untuk terima input baru), tangguh-tangguh, asyik salahkan orang lain dan salahkan takdir — tak kira berapa banyak pun duit masuk, akhirnya akan habis juga.
Habis kena tarah oleh diri sendiri...
Tapi bila kita berjaya ubah diri:
✅ obses belajar - untuk sentiasa dapatkan ilmu baru
✅ buang ego dan merendah diri - untuk dapatkan ilmu dari orang yang lebih berjaya
✅ stop input negatif
✅ sentiasa overload fikiran dengan input-input positif
✅ mula berkawan dengan orang yang lebih berjaya
✅ obses melihat kejayaan orang lain
✅ rutinkan diri dengan buat perkara betul - walaupun terpaksa pada permulaannya
✅ sentiasa cabar diri dengan impian dan target yang besar
Barulah hidup mula berubah...
Kekayaan kekal bila diri dah kaya
Bila kita ubah diri, barulah Tuhan akan ubah nasib kita...
Bila kekayaan ada dalam diri kita, barulah duit mengalir tak putus-putus ke poket kita, insyaAllah...
Duit yang banyak boleh habis. Duit kita orang boleh ambil, orang boleh rampas...
Tapi jati diri kita (sebagai orang kaya) akan tetap bersama kita.
Mindset kita, ilmu dan pengalaman kita, sikap dan tabiat kita akan kekal bersama kita...
Itulah yang akan membuatkan duit terus mengalir ke poket kita.
Banyak kita dengar kisah orang kaya yang pernah jatuh bankrap, tapi dalam masa beberapa tahun lepas tu dia bangkit balik!
Kenapa?
Sebab kekayaan sebenar ada dalam diri dia.
Dia masih berfikir cara orang kaya berfikir... Dia masih ada ilmu dan pengalaman untuk jadi kaya.
Dia ada tabiat dan sikap orang berjaya. Dia ada prinsip hidup yang dia pegang yang masih tak berubah.
Mudah untuk bangkit dari kejatuhan
Kalau dia pernah kaya sebelum ni, tak susah untuk dia bina semula kekayaan dia untuk kali kedua.
Bahkan selalunya dia akan berjaya bina kejayaan yang lebih besar berbanding sebelumnya...
Asalkan kejatuhan dia sebelum ni bukan sebab dia buat jahat kepada sesiapa, tak susah untuk dia bangkit semula.
Sebab tu orang yang sabar membangunkan diri, akhirnya dia akan kaya juga.
Sebaliknya orang yang cuma kejar duit, tapi tak serius bangunkan diri dia sendiri, dia akan penat berlari di tempat yang sama.
Buatlah apa usaha sekali pun, buatlah 10 jenis bisnes sekalipun, dia tetap dapat hasil yang sama. Sebab diri dia masih diri yang sama. Masih belum berubah...
Bak kata bijak pandai,
"How you do anything is how you do everything" - T. Harv Eker, Secrets of the Millionaire Mind
Bagaimana kita buat sesuatu perkara, ia cerminan bagaimana kita akan buat dalam perkara-perkara lain.
Walaupun nampak kecil dan remeh pada sesuatu perkara, tapi sebenarnya ia berikan impak besar dalam seluruh hidup kita - dalam jangka panjang.
Bina jati diri seperti helang
Akhirnya, bina kekayaan ni bukanlah macam isi baldi dengan duit. Tapi tentang mengubah diri.
Ubah dari dari seekor ayam daging (yang kalau kena jerkah pun boleh mati!), kepada seekor helang yang megah terbang tinggi!
Helang tak perlu diberi makan... Dia tahu cari makanan dia sendiri...
Helang tak makan bangkai... Tapi dia makan makanan fresh (mangsa hidup) pilihan dia sendiri... Dia ada jati diri dia sendiri...
Ketika burung-burung lain menyorok berteduh di bawah pokok saat hujan dan petir, helang cabar diri terbang tinggi di atas awan...
Helang tak perlu terbang ikut beramai-ramai... Dia boleh terbang megah seorang diri...
Jadi sabarlah mengubah diri jadi diri kita dalam versi lebih baik...
Bila kita berjaya ubah diri, cepat atau lambat, kekayaan akan datang menyerah diri... InsyaAllah...
"...Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri..."
Allahu a'lam.
Zulkifli
Cyberjaya
23 Julai 2025
27 Muharram 1447H
Artikel berkaitan:
- Ubah Kebiasaan Hari Ini, Masa Depan Kita Akan Berubah
- Kenapa Si Pokai Kembali Pokai Walaupun Diberi Duit RM1 Juta?
- Nak Ubah Masa Depan, Kena Ubah Circle (Pergaulan) Kita Dulu
- Ubah Diri, Tuhan Akan Ubah Nasib Kita
- Nak Kaya, Kena Ubah Diri Jadi Lebih Baik
- Ubah Mindset, Masa Depan Akan Berubah
- Ubah Impian, Ubah Masa Depan!


